backup og meta

Kolesterol Tinggi, Tapi Sudah Jaga Diet? Ini 5 Punca Lain Masalah Kolesterol, Ramai Tak Tahu!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 14/06/2023

    Kolesterol Tinggi, Tapi Sudah Jaga Diet? Ini 5 Punca Lain Masalah Kolesterol, Ramai Tak Tahu!

    Apakah punca kolestrol tinggi dalam badan? Adakah masalah kolesterol berlaku disebabkan makanan berlemak semata-mata? Jawapannya adalah tidak! Ada banyak punca kolestrol tinggi, kebanyakannya mungkin anda tidak tahu!

    Kolesterol merupakan sejenis bahan yang dihasilkan oleh hati untuk melindungi saraf, menghasilkan tisu sel dan juga hormon tertentu. Badan kita boleh mendapatkan kolesterol daripada makanan seperti telur, daging dan produk tenusu.

    Ada dua jenis kolesterol iaitu kolesterol jahat dan kolesterol baik. Terlalu banyak kolesterol jahat boleh mendatangkan mudarat terhadap kesihatan anda.

    Ada banyak faktor yang boleh meningkatkan tahap kolesterol dalam badan seseorang. Namun, dalam artikel kali ini, kami ingin mengetengahkan beberapa punca masalah kolesterol tinggi yang mungkin ramai tidak tahu.

    Jika anda ingin tahu lebih lanjut, mari ikuti penjelasan kami di bawah.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Jantung, sila dapatkannya di sini.

    5 punca kolestrol tinggi yang ramai orang tidak tahu

    punca kolestrol tinggi

    Semua orang tahu, punca utama masalah kolesterol adalah daripada pemakanan yang tidak sihat.

    Jika anda suka mengambil makanan yang berlemak, jarang bersenam, mempunyai berat badan berlebihan, sering merokok dan minum minuman beralkohol, anda berisiko mendapat masalah kolesterol tinggi.

    Namun, masalah kolesterol bukannya berasal daripada pemakanan semata-mata! Malah, ada beberapa penyebab lain yang boleh menyebabkan kolesterol anda meningkat dengan drastik. Antaranya:

    1. Stres yang berpanjangan

    Tahukah anda, stres yang kronik boleh menjadi penyebab pelbagai jenis penyakit, termasuklah kolesterol tinggi? Kajian menunjukkan, stres boleh meningkatkan tahap kolesterol jahat (LDL) dalam badan dan mengurangkan tahap kolesterol baik (HDL).

    Hormon stres seperti adrenalin dan kortisol juga boleh meningkatkan kadar gula dalam darah. Lama-kelamaan, organ hati akan mengepam lebih banyak kolesterol dan lemak yang dikenali sebagai trigliserida ke dalam darah lalu menyebabkan masalah kolesterol.

    Baca juga:

    2. Ubat-ubatan punca kolestrol tinggi

    Ada beberapa jenis ubat-ubatan yang boleh membuatkan kolesterol badan menjadi tinggi. Sebagai contoh, ubat seperti pil perancang, retinoid, kortikosteroid, antiviral dan antisawan mungkin mempunyai kesan yang tidak disangka-sangka pada badan.

    Bukan itu sahaja, ubat tekanan darah tinggi seperti diuretik dan beta-blockers juga boleh menjadi punca kolestrol tinggi dalam badan.

    Jika ini yang berlaku, berbincanglah dengan doktor mengenai ubat yang diambil. Doktor dapat mencadangkan ubat lain yang tidak akan menyebabkan peningkatan kolesterol dalam badan anda.

    3. Terlalu banyak duduk

    punca kolestrol tinggi

    Anda duduk sahaja sepanjang hari? Tahukah anda, duduk yang berpanjangan boleh mendatangkan bahaya terhadap kesihatan? Malah, ia boleh menyebabkan obesiti, penyakit jantung dan juga kolesterol tinggi.

    Apabila anda duduk terlalu lama, enzim yang menukarkan kolesterol jahat kepada kolesterol baik akan berkurangan sebanyak 95%.

    Jadi, untuk melindungi jantung anda, banyak-banyakkanlah bersenam. Cuba berjalan selama 5 minit untuk pastikan badan anda sentiasa aktif dan cergas.

    4. Kehamilan

    Ketika hamil, badan akan menggunakan kolesterol untuk membantu janin membesar dan berkembang.

    Sebab itulah, tahap kolesterol dalam badan ibu yang mengandung akan meningkat dengan drastik pada semester kedua dan ketiga. Malah, tahap kolesterol ini juga akan kekal tinggi walaupun selepas melahirkan anak.

    Peningkatan kolesterol ini selalunya tidak akan mendatangkan bahaya terhadap ibu atau anak dalam kandungan. Walau bagaimanapun, jika anda telah mempunyai masalah kolesterol tinggi, doktor mungkin akan memantau kondisi anda.

    5. Diet tinggi gula punca kolestrol tinggi

    Anda suka mengambil makanan yang manis? Jangan terkejut, bukan lemak sahaja yang boleh menyebabkan kolesterol tinggi, gula pun sama juga ya!

    Diet yang tinggi gula boleh menyebabkan hati anda menghasilkan lebih banyak kolesterol dan trigliserida dalam badan.

    Menurut sebuah kajian, individu yang mendapatkan 10% kalori mereka daripada gula mempunyai risiko 3 kali ganda untuk mengalami masalah kolesterol tinggi.

    Apakah cara terbaik untuk mengurangkan kolesterol badan?

    punca kolestrol tinggi

    Cara terbaik sudah tentulah dengan mengawal pemakanan masing-masing.

    Kurangkan pengambilan makanan berasaskan haiwan termasuklah susu, mentega dan krim cheese. Tambahkan makanan yang dapat mengurangkan tahap kolesterol LDL anda seperti kacang almond dan walnut.

    Jika punca kolesterol tinggi yang anda alami adalah disebabkan pemakanan, pengambilan diet yang sihat dan seimbang merupakan cara yang termudah untuk mengurangkan kadar kolesterol badan.

    Walau bagaimanapun, jika anda mempunyai masalah untuk menurunkan tahap kolesterol badan walaupun sudah berdiet, cuba lakukan senaman dengan lebih kerap. Senaman juga terbukti dapat mengurangkan kolesterol secara semula jadi.

    Jika semuanya tidak berkesan, jumpalah doktor secepat mungkin. Mungkin ubat dapat membantu mengekalkan tahap kolesterol anda dalam julat yang sihat. Doktor juga boleh mengenal pasti apakah punca kolesterol tinggi dalam badan anda.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 14/06/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan