backup og meta

Rahsia Gula Darah Terkawal, Penghidap Kencing Manis MESTI Amal Diet Terapeutik!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 17/10/2022

    Rahsia Gula Darah Terkawal, Penghidap Kencing Manis MESTI Amal Diet Terapeutik!

    Bagi pesakit diabetes, pernahkah anda mendengar mengenai diet terapeutik untuk diabetes? Secara umumnya, diet terapeutik ini bermaksud diet untuk keperluan khas pesakit diabetes. Apakah jenis-jenis diet untuk kencing manis yang boleh diamalkan?

    Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Kencing Manis, anda boleh klik di sini.

    Apakah itu diet terapeutik untuk diabetes?

    Diet terapeutik merupakan sejenis pelan pemakanan yang mengawal pengambilan makanan atau nutrien tertentu dalam jangka masa panjang.

    Ia adalah sebahagian daripada rawatan bagi penyakit tertentu dan biasanya ditetapkan oleh doktor yang merawat dan dirancang oleh pakar pemakanan.

    Diet terapeutik biasanya merupakan pengubahsuaian daripada diet biasa. Ia diubah suai atau disesuaikan untuk memenuhi keperluan pemakanan seseorang yang menghidap penyakit.

    Bagi pesakit diabetes, diet ini merupakan diet yang mengutamakan pengambilan makanan paling sihat dalam jumlah sederhana selain mengikuti waktu makan seperti biasa.

    Diet untuk kencing manis ini ialah rancangan pemakanan sihat yang kaya dengan nutrien dan rendah lemak serta kalori.

    Elemen utama bagi diet terapeutik untuk diabetes ialah buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin penuh.

    Apakah perkara penting dalam diet untuk kencing manis ini?

    Diet diabetes berasaskan kepada rutin waktu makan tiga kali sehari pada waktu yang sama.

    Kaedah ini boleh membantu pesakit diabetes untuk menggunakan insulin yang dihasilkan tubuh atau melalui suntikan insulin dengan sebaiknya.

    diet terapeutik untuk diabetes

    Selain itu, pakar pemakanan akan membantu penghidap diabetes membuat satu pelan diet khusus yang berasaskan kepada gaya hidup, citarasa dan matlamat kesihatan seseorang individu.

    Pakar pemakanan akan memberitahu bagaimana seseorang pesakit diabetes boleh memperbaiki tabiat pemakanan berdasarkan kepada saiz dan tahap aktiviti hariannya. 

    Apakah yang terkandung dalam diet terapeutik untuk diabetes?

    diet terapeutik untuk diabetes

    Terdapat empat elemen utama yang perlu difokuskan dalam diet untuk kencing manis. Empat elemen tersebut ialah:

    #1. Karbohidrat sihat

    Sewaktu proses pencernaan, gula (karbohidrat ringkas) dan juga kanji (karbohidrat kompleks) akan diuraikan menjadi glukosa darah.

    Oleh itu, pastikan anda mengambil sumber karbohidrat yang sihat seperti buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin penuh, kekacang dan produk tenusu rendah lemak.

    Elakkan sumber karbohidrat yang tidak sihat seperti makanan dengan lemak, gula dan garam tambahan.

    #2. Makanan yang kaya serat

    Salah satu elemen penting diet terapeutik untuk diabetes ialah serat. Serat pemakanan meliputi kesemua bahagian makanan berasaskan tumbuhan yang tidak boleh dicerna oleh tubuh.

    Serat berperanan mengawal cara tubuh mencerna makanan selain mengawal paras gula darah.

    Antara jenis makanan yang tinggi kandungan serat adalah seperti sayuran, buah-buahan, dan bijirin penuh.

    #3. Sumber ikan yang baik untuk jantung

    Ambil sumber ikan yang baik untuk kesihatan jantung anda sekurang-kurangnya dua kali dalam seminggu.

    Antara ikan yang baik untuk jantung ialah seperti ikan salmon, ikan tenggiri, ikan kembung dan ikan sardin.

    Kesemua jenis ikan ini amat kaya dengan kandungan asid lemak omega-3 yang boleh mencegah penyakit jantung.

    Namun, cuba elakkan hidangan ikan yang digoreng dan gunakan kaedah memasak yang lebih sihat. 

    #4. Ambil sumber lemak sihat

    Elemen terakhir diet terapeutik untuk diabetes ialah lemak sihat. Untuk makluman anda, tidak semua jenis lemak itu tidak sihat. Ada juga jenis lemak sihat yang baik untuk tubuh pesakit diabetes.

    Makanan yang mengandungi lemak sihat dan lemak tidak tepu boleh membantu menurunkan paras kolesterol dalam badan.

    Antara jenis lemak sihat yang boleh diambil ialah seperti buah avokado, kekacang, minyak kanola, minyak kacang tanah dan minyak zaitun

    Makanan yang perlu dielakkan dalam diet untuk kencing manis

    diet terapeutik untuk diabetes

    Terdapat beberapa elemen makanan yang perlu dielakkan dalam diet terapeutik untuk diabetes. Antaranya ialah:

    • Lemak trans: Lemak trans banyak terdapat dalam snek, pastri, kek dan juga marjerin
    • Lemak tepu: Lemak seperti ini banyak didapati dalam produk tenusu yang tinggi lemak dan juga sumber protein berasaskan haiwan. Antaranya ialah seperti mentega, sosej, daging kisar, dan juga daging lembu
    • Garam: Pastikan pengambilan garam harian tidak melebihi 2,300 miligram sehari. Malah, lebih baik jika had pengambilan lebih rendah daripada jumlah tersebut
    • Kolesterol: Kolesterol mudah didapati daripada produk tenusu tinggi lemak dan produk protein berasaskan haiwan. Ini termasuklah kuning telur, organ dalaman dan lain-lain lagi. 

    Makanan yang mempunyai elemen seperti di atas boleh menyebabkan arteri atau salur darah tersumbat dan mengeras.

    Jika ini berlaku, ia boleh meningkatkan risiko anda untuk mendapat penyakit jantung dan juga strok. 

    Kesimpulan

    Setiap individu atau pesakit diabetes mempunyai pelan diet terapeutik yang tersendiri, berdasarkan saranan dan cadangan yang dibuat oleh doktor dan pakar pemakanan.

    Ia dirangka berdasarkan keperluan diri, gaya hidup dan matlamat kesihatan anda.

    Walaupun pelan makanan ini berbeza-beza bagi setiap pesakit, namun secara amnya ia mempunyai elemen-elemen yang sama seperti di atas. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 17/10/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan