backup og meta

Buah Pala Bukan Rempah Biasa-Biasa, Tapi Bagus Untuk Penjagaan Kulit & Anti Kanser!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 17/04/2023

    Buah Pala Bukan Rempah Biasa-Biasa, Tapi Bagus Untuk Penjagaan Kulit & Anti Kanser!

    Anda tentu biasa memakan jeruk isi buah pala yang boleh didapati di gerai-gerai atau kedai yang menjual manisan. Jom ketahui apakah kebaikan buah ini kepada kesihatan.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Pemakanan Sihat, sila dapatkannya di sini.

    Bagaimanakah rempah buah pala dihasilkan?

    Buah pala adalah rempah yang diperbuat daripada benih atau biji pokok pala atau dengan nama saintifiknya, Myristica fragrans.

    Pohon hijau yang berasal dari Indonesia ini adalah sumber kepada dua jenis rempah iaitu biji pala dan mace; selaput berwarna merah yang meliputi biji pala tersebut.

    Walaupun rasa keduanya hampir sama, biji pala dikatakan mempunyai rasa yang lebih hangat, dan lebih pedas berbanding daripada mace.

    Bijinya dikeringkan secara perlahan-lahan dibawah cahaya matahari dalam tempoh selama enam hingga lapan minggu.

    buah pala

    Pada masa ini, ia mengecut daripada biji benih yang keras sehinggalah lapisan kernel didalamnya boleh menghasilkan bunyi apabila digoncang apabila telah kering sepenuhnya.

    Manfaat kesihatan

    Berikut antara beberapa khasiat buah pala yang mungkin ramai tidak mengetahuinya:

    Mengandungi antioksidan yang baik

    Biji pala adalah kaya dengan sebatian tumbuhan yang bertindak sebagai antioksidan dalam tubuh anda.

    Antioksidan adalah sebatian yang melindungi sel anda daripada kerosakan yang disebabkan oleh radikal bebas.

    Radikal bebas adalah molekul-molekul yang mempunyai elektron yang tidak berpasangan, yang menjadikannya tidak stabil dan reaktif.

    Apabila tahap radikal bebas menjadi terlalu tinggi dalam badan anda, tekanan oksidatif akan berlaku.

    Ia dikaitkan dengan permulaan dan perkembangan banyak keadaan kronik, seperti kanser tertentu, penyakit jantung dan penyakit neurodegeneratif.

    Antioksidan meneutralkan radikal bebas, menghalang kerosakan sel dan mengekalkan tahap radikal bebas tubuh anda.

    Rempah buah pala mempunyai sifat antikeradangan

    Keradangan yang kronik dikaitkan dengan pelbagai keadaan kesihatan yang teruk, seperti penyakit jantung, diabetes, dan arthritis.

    Buah ini kaya dengan sebatian anti-radang yang disebut monoterpenes, termasuklah sabinene, terpineol, dan pinene.

    Sebatian ini boleh membantu mengurangkan keradangan dalam badan anda dan memberi manfaat kepada mereka yang mempunyai masalah keradangan.

    Tambahan lagi, pelbagai antioksidan yang terdapat dalam buah ini seperti cyanidin dan sebatian fenolik, juga mempunyai ciri-ciri antiradang yang kuat. 

    Buah ini mengurangkan keradangan dengan cara menghalang enzim yang menggalakkan keradangan untuk berlaku. 

    Baca juga:

    Mempunyai sifat antibakteria

    Buah ini telah terbukti mempunyai kesan antibakteria terhadap bakteria yang berpotensi membahayakan kesihatan manusia.

    Bakteria seperti Streptococcus mutans dan Agregatibacter actinomycetemcomitans boleh menyebabkan kaviti pada gigi dan penyakit gusi.

    Buah ini juga didapati boleh menghalang pertumbuhan bakteria E. coli yang berbahaya, seperti O157, yang boleh menyebabkan penyakit yang teruk dan juga kematian terhadap manusia.

    Manfaat rempah buah pala bantu mengurangkan kesakitan

    Individu yang menderita penyakit kronik seperti kanser, penyakit keradangan dan diabetes sering mengalami kesakitan yang berterusan.

    Menurut National Center for Biotechnology Information, U.S. National Library of Medicine, minyak buah ini yang dihasilkan daripada biji buahnya, telah terbukti fungsinya sebagai analgesik dan memberikan kelegaan terhadap penyakit kronik.

    Berkesan terhadap kesihatan oral

    Satu kajian pada tahun 2012 telah menunjukkan bahawa pala mempunyai sifat antibakteria.

    Ia juga mempunyai potensi untuk menghalang aktiviti bakteria seperti Porphyromonas gingivalis yang menyebabkan periodontitis dan Streptococcus mutans yang berkaitan dengan kerosakan gigi.

    Ekstrak metanol yang terdapat dalam pala pula mempunyai sifat anti karies dan membantu mencegah kerosakan gigi dan karies gigi.

    Macelignan, agen antibakteria lain yang terdapat di rempah ini, juga membantu menghalang aktiviti bakteria yang menyebabkan kaviti.

    Melegakan insomnia

    Selama berabad-abad, buah ini disarankan untuk digunakan sebagai remedi bagi masalah tidur dan insomnia.

    Caranya adalah dengan meletakkan secubit serbuk buah ini kedalam susu dan meminumnya sebelum tidur.

    buah pala

    Mempunyai sifat antidepresi

    Ekstrak pala telah menunjukkan aktiviti antidepresan.

    Selain itu, ia juga mempunyai kesan sampingan yang lebih sedikit berbanding daripada ubat allopathic konvensional.

    Mempunyai potensi sebagai anti kanser

    Kualiti buah ini yang kurang dikenali adalah penggunaan potensinya terhadap sel kanser.

    Myristicin yang terdapat dalam pala mempunyai sifat-sifat menghalang pembentukan sel kanser.

    Ia didapati menyebabkan kematian sel (apoptosis) dalam sel-sel leukemia.

    Hal ini dapat membantu mencegah pertumbuhan sel-sel kanser dan metastasis leukemia yang biasanya memberi kesan terhadap kanak-kanak.

    Rempah buah pala berpotensi melegakan cirit birit

    Pala telah biasa digunakan dalam memberikan kelegaan daripada cirit-birit.

    Ia kaya dengan sifat carminative dan membantu menggalakkan pencernaan. Ia boleh digunakan secara topikal atau dimakan dengan halia dan air sejuk.

    Satu kajian yang dijalankan dan diterbitkan dalam jurnal Methods and Findings in Experimental and Clinical Pharmacology telah menunjukkan bahawa pala boleh mengurangkan najis berbentuk cecair.

    Oleh itu, ekstrak pala boleh dianggap mengandungi kesan antidiarrhea yang baik.

    buah pala

    Baik untuk penjagaan kulit yang cantik

    Menurut kajian yang dilaksanakan pada tahun 2016, pala telah menunjukkan tindak balas positif dalam merawat jangkitan kulit.

    Menariknya, penyelidikan tersebut telah mendapati bahawa pala dan sebatian bioaktif yang didapati daripada seperti macelignan.

    Ia membantu melambatkan penuaan pramatang yang disebabkan oleh pendedahan yang berpanjangan kepada cahaya ultraviolet (UV).

    Minyak buah ini turut mendapat perhatian disebabkan oleh sifat-sifatnya yang bermanfaat terhadap kulit.

    Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan mengenai manfaat buah ini, berundinglah dengan doktor untuk lebih kepastian.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 17/04/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan