backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan

Cucuk Vitamin C, Jalan Pintas Nak Cerahkan Kulit! Ini 3 Bahaya Jika Berterusan Buat

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 21/06/2022

    Cucuk Vitamin C, Jalan Pintas Nak Cerahkan Kulit! Ini 3 Bahaya Jika Berterusan Buat

    Sebelum ini, wujud trend di mana seseorang itu mendapatkan khidmat suntik vitamin C dengan tujuan mencerahkan kulit. Cucuk vitamin C ini dilakukan kerana didakwa memberikan kesan yang pantas dalam mencerahkan kulit.

    Namun ramai yang tidak tahu, bahawa suntikan seperti ini hanya mengundang mudarat disebabkan dos yang berlebihan. Ini kesan buruk servis suntik vitamin C yang anda perlu tahu. 

    Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Kesihatan Kulit, anda boleh klik di sini.

    Apakah vitamin C dan fungsinya pada tubuh?

    cucuk vitamin c

    Vitamin C yang juga dikenali sebagai asid askorbik, adalah nutrien larut air yang terdapat dalam sesetengah jenis makanan.

    Dalam tubuh badan manusia, ia bertindak sebagai antioksidan yang membantu melindungi sel daripada kerosakan yang disebabkan oleh radikal bebas.

    Bagi anda yang belum tahu, radikal bebas adalah sebatian yang terbentuk apabila badan kita menukarkan makanan yang kita makan kepada tenaga.

    Selain itu, radikal bebas juga boleh diperoleh daripada persekitaran kita seperti asap rokok, pencemaran udara, dan cahaya ultraungu daripada matahari.

    Selain itu, tubuh badan juga memerlukan vitamin C untuk membuat kolagen, iaitu protein yang diperlukan untuk membantu penyembuhan luka.

    Bukan itu sahaja, vitamin C juga meningkatkan penyerapan zat besi daripada makanan berasaskan tumbuhan dan membantu sistem imun berfungsi dengan baik untuk melindungi tubuh daripada penyakit.

    Berapakah jumlah vitamin C yang diperlukan oleh tubuh?

    Sebenarnya, jumlah vitamin C yang diperlukan oleh tubuh bergantung kepada umur seseorang.

    Sebagai contoh, kanak-kanak memerlukan kuantiti vitamin C yang berbeza daripada orang dewasa.

    Untuk memahaminya dengan lebih mudah, anda boleh melihat kepada senarai di bawah ini:

    • Bayi baru lahir hingga 6 bulan: 40 mg
    • Bayi 7 hingga 12 bulan: 50 mg
    • Kanak-kanak 1 hingga 3 tahun: 15 mg
    • Kanak-kanak 4 hingga 8 tahun: 25 mg
    • Kanak-kanak 9 hingga 13 tahun: 45 mg
    • Remaja 14 hingga 18 tahun (lelaki): 75 mg
    • Remaja 14 hingga 18 tahun (perempuan): 65 mg
    • Dewasa (lelaki): 90 mg
    • Dewasa (wanita): 75 mg
    • Remaja hamil: 80 mg
    • Wanita hamil: 85 mg
    • Remaja yang menyusukan bayi: 115 mg
    • Wanita yang menyusukan bayi: 120 mg

    Cucuk vitamin C: Digunakan untuk penyakit skurvi

    cucuk vitamin c

    Kaedah suntik vitamin C biasa digunakan sebagai salah satu rawatan penyakit skurvi.

    Penyakit skurvi berpunca daripada kekurangan vitamin C dalam tubuh badan.

    Antara tanda seseorang itu mengalami kekurangan vitamin C ialah seperti gusi yang berdarah atau bengkak, keletihan, sakit sendi, muncul tompok berwarna pada kulit dan luka yang lambat sembuh.

    Walau bagaimanapun, kaedah suntik vitamin C biasanya hanya digunakan apabila tahap vitamin C perlu ditingkatkan dengan cepat.

    Ia juga digunakan apabila suplemen oral vitamin C tidak boleh diambil disebabkan masalah penyerapan atau sebab-sebab lain.

    Kesan sampingan cucuk vitamin C

    Di negara kita, ramai individu yang tidak berdaftar menyediakan perkhidmatan suntik vitamin C dengan tujuan kosmetik semata-mata.

    Ia diiklankan secara meluas di media-media sosial bagi tujuan pencerahan kulit secara total dalam masa yang singkat.

    Promosi-promosi dengan memaparkan kebaikan vitamin C telah menarik ramai orang awam untuk mencuba servis cucuk vitamin C ini bagi mencantikkan kulit.

    Ramai yang tidak tahu, dos servis suntik vitamin C yang diberikan itu sebenarnya sudah berlebihan dan ia boleh mengundang bahaya kepada tubuh.

    Antara kesannya ialah:

    Kerosakan pada buah pinggang

    Vitamin C meningkatkan penyerapan zat besi daripada makanan yang anda makan.

    Jika anda mengambil vitamin C dengan dos yang sangat tinggi, badan anda mungkin akan menyerap terlalu banyak zat besi.

    Ini boleh menjadi satu masalah sekiranya tubuh badan anda sudah mempunyai tahap zat besi yang tinggi.

    Jika anda mempunyai penyakit buah pinggang, dos vitamin C yang berlebihan mungkin boleh mengakibatkan kerosakan buah pinggang.

    Selain itu, dos vitamin C yang tinggi juga boleh meningkatkan risiko anda untuk mendapat batu karang.

    Individu yang pernah mempunyai batu karang sebelum ini lebih berisiko untuk mengalaminya sekali lagi. 

    cucuk vitamin c

    Bahaya untuk pesakit G6PD

    Laporan kes telah menunjukkan bahawa pesakit dengan penyakit keturunan yang dikenali sebagai kekurangan G6PD tidak boleh diberikan dos vitamin C yang tinggi.

    Ini kerana mereka berisiko untuk mengalami hemolisis; satu keadaan di mana sel darah merah dimusnahkan. 

    Beri kesan kepada ubat-ubatan lain

    Untuk pengetahuan anda, vitamin C juga boleh mempengaruhi keberkesanan ubat-ubatan yang anda ambil.

    Vitamin C boleh menjadikan air kencing anda lebih berasid.

    Dalam sesetengah kes, ini boleh mengubah cara badan anda menyingkirkan ubat-ubatan tertentu.

    Hal ini seterusnya boleh mengubah tahap beberapa ubat dalam badan anda dan mengakibatkan penurunan keberkesanan atau peningkatan kesan sampingan.

    Antara jenis ubat yang mungkin terkesan dengan dos vitamin C yang tinggi ialah:

    • Fluphenazine (Prolixin)
    • Magnesium salisilat (Novasal)
    • Mexiletine (Mexitil)
    • Salsalate

    Servis cucuk vitamin C hanya diberikan oleh pengamal kesihatan berdaftar

    Jika anda pernah atau sedang mengambil khidmat cucuk vitamin C untuk tujuan kosmetik, sila hentikan dengan segera.

    Ini kerana, mereka yang menyediakan perkhidmatan sebegini bukan sahaja tidak berdaftar, malah tidak tahu dos yang diperlukan oleh tubuh badan anda.

    Ingat, dos vitamin C yang berlebihan boleh memberikan risiko kesihatan kepada anda, apatah lagi jika dilakukan dengan kerap. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 21/06/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan