backup og meta

Pernah Dengar Yis Pemakanan? Tak Sama Dengan Yis Buat Roti, Ini 4 Manfaatnya!

Pernah Dengar Yis Pemakanan? Tak Sama Dengan Yis Buat Roti, Ini 4 Manfaatnya!

Bagi anda yang selalu membuat kek atau kuih, anda pasti sudah biasa dengan penggunaan yis. Namun, pernahkah anda mendengar jenis yis kering yang satu ini iaitu yis pemakanan? Tahukah anda bahawa yis pemakanan tidak sama cara penggunaannya dengan yis yang biasa anda gunakan. 

Ini fakta nutrisi berkenaan yis pemakanan yang anda mungkin ingin tahu.

Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Pemakanan Sihat, anda boleh klik di sini.

Apakah itu yis pemakanan?

Yis pemakanan atau disebut nutritional yeast, merupakan sejenis yis yang telah dinyahaktif dan digunakan sebagai bahan perasa dan makanan tambahan.

Salah satu kegunaannya yang paling popular adalah sebagai pengganti berasaskan tumbuhan kepada keju.

Tidak seperti jenis yis kering yang biasa digunakan dalam pembuatan roti, yis pemakanan tidak menyebabkan makanan mengembang atau ‘naik’, tetapi ia hanya berfungsi menambahkan rasa selain menyediakan beberapa nutrien penting.

Ini kandungan nutrisi yang terdapat dalam yis kering atau pemakanan

yis kering

Bagi setiap 16 gram atau satu setengah sudu makan yis pemakanan, ia mengandungi kandungan nutrisi seperti berikut:

Bagi setiap satu setengah sudu jenis yis kering ini, ia mengandungi 5 gram karbohidrat.

Daripada jumlah tersebut, 3 gram adalah kandungan serat. Yis ini memberikan kita jenis serat larut yang bermanfaat kepada kesihatan, disebut sebagai beta-glukan.

Kebanyakan jenama yis pemakanan ini juga secara semula jadinya bebas kandungan lemak.

Selain itu, kebanyakan produk yis ini telah diperkaya dengan kandungan vitamin B tambahan.

Ia juga mempunyai 1000% nilai harian untuk kandungan vitamin B12.

Yis pemakanan turut mempunyai beberapa kandungan kalsium, tiamin, zat besi, dan juga kalium.

Adakah terdapat manfaat tertentu pengambilan yis kering ini?

Dalam jumlah hidangan yang kecil, yis pemakanan ini sangat kaya dengan nutrisi yang membantu memenuhi kekurangan nutrien dalam badan dan menggalakkan kesihatan yang lebih optimum.

Berikut adalah beberapa manfaat kesihatan yang boleh anda dapati apabila mengambil yis pemakanan:

#1. Menyokong kesihatan jantung

yis kering

Yis pemakanan mengandungi bahan yang dipanggil sebagai beta-glukan.

Untuk pengetahuan anda, beta-glukan ialah sejenis karbohidrat yang terdapat dalam dinding sel tumbuhan, bakteria dan juga kulat.

Pengambilan beta-glukan yang lebih tinggi boleh membantu menggalakkan kesihatan kardiovaskular atau jantung.

Ini termasuklah membantu menurunkan kolesterol jahat dan meningkatkan paras kolesterol baik dalam badan kita.

Di samping itu, kebanyakan jenama yis pemakanan turut mengandungi kalium yang membantu mengurangkan tekanan darah.

Yis ini juga berperanan sebagai bahan perasa rendah garam yang sangat baik untuk kesihatan jantung dalam jangka masa panjang. 

#2. Mengurangkan risiko alami anemia

Apabila menyebut berkenaan penyakit anemia, nutrien pertama yang muncul dalam fikiran kita adalah zat besi.

Ini kerana, anemia biasa berlaku disebabkan kekurangan zat besi dalam badan.

Walau bagaimanapun, folat atau vitamin B12 yang tidak mencukupi juga boleh menyebabkan anemia.

Kebanyakan jenama yis kering ini telah diperkaya dengan B12, dan boleh memberikan lebih 500% daripada nilai harian bagi setiap hidangan.

Oleh sebab B12 bersifat larut air, ia tidak mungkin menyebabkan ketoksikan walaupun diambil dalam dos yang tinggi melalui makanan.

Individu yang mengamalkan pemakanan vegetarian biasanya mengalami kekurangan vitamin ini.

Oleh itu, pengambilan yis pemakanan boleh berfungsi sebagai sumber utama B12 untuk tubuh mereka. 

#3. Mengelakkan masalah sembelit

yis kering

Serat adalah sangat penting, namun masih ramai individu yang mengalami kekurangan pengambilan serat setiap hari.

Saranan pengambilan serat yang sepatutnya adalah sekurang-kurangnya 25 hingga 35 gram sehari.

Untuk pengetahuan anda, serat mengawal pergerakan usus dengan menarik air ke dalam usus besar dan menambah pukal dan kelembutan pada najis.

Yis pemakanan memberikan sebanyak 3 gram serat bagi pengambilan 16 gram yis.

Oleh itu, pengambilan yis jenis ini boleh membantu anda mencapai jumlah serat yang diperlukan oleh tubuh badan setiap hari. 

#4. Mungkin boleh menggalakkan fungsi sistem imun tubuh

Walaupun lebih banyak kajian diperlukan, namun beberapa kajian menunjukkan beta-glukan yang berasal daripada yis telah bertindak sebagai penguat imun.

Penyelidik mengaitkan kesan positif ini kepada aktiviti penapaian bakteria beta-glukan dalam usus.

Selain itu, beta-glukan juga dilihat boleh merangsang aktiviti sel sistem imun yang penting seperti makrofaj (macrophages).

Kajian terhadap haiwan juga telah menunjukkan potensi keupayaan beta-glukan dalam melengkapkan sistem imun untuk melawan jangkitan antraks.

Di mana boleh dapatkan yis kering jenis ini?

Ia mungkin tidak dijual di kedai-kedai runcit biasa.

Namun, anda boleh pergi ke kedai-kedai yang menjual barangan makanan organik atau makanan vegetarian.

Selain itu, anda juga boleh mendapatkannya menerusi servis pembelian dan penghantaran barangan runcit dalam talian.

Untuk cara yang lebih mudah, anda boleh terus mendapatkannya menerusi aplikasi beli-belah online dengan pilihan jenama yang lebih banyak.

Selamat mencuba!

[embed-health-tool-bmi]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Nutritional Yeast – Nourishing or No-Go?. https://www.umassmed.edu/nutrition/blog/blog-posts/2020/2/nutritional-yeast–nourishing-or-no-go/. Accessed on August 12, 2022. 

Stier, H., Ebbeskotte, V., & Gruenwald, J. (2014). Immune-modulatory effects of dietary Yeast Beta-1,3/1,6-D-glucan. Nutrition journal, 13, 38. https://doi.org/10.1186/1475-2891-13-38. Accessed on August 12, 2022.

Bashir, K., & Choi, J. S. (2017). Clinical and Physiological Perspectives of β-Glucans: The Past, Present, and Future. International journal of molecular sciences, 18(9), 1906. https://doi.org/10.3390/ijms18091906. Accessed on August 12, 2022.

Vitamin B12. https://ods.od.nih.gov/factsheets/VitaminB12-HealthProfessional/. Accessed on August 12, 2022.

Nutritional Yeast. https://fdc.nal.usda.gov/fdc-app.html#/food-details/1744022/nutrients. Accessed on August 12, 2022.

Versi Terbaru

06/05/2024

Ditulis oleh Muhammad Wa'iz

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman

Diperbaharui oleh: Nurul Nazrah Nazarudin


Artikel Berkaitan

Pssttt... Rahsia Untuk Kurangkan Risiko Dapat Diabetes Jenis 2, Amalkan Pengambilan Serat!

Tubuh Kuat Bermula Dari Usus Yang Baik! Ini 6 Manfaat Minuman Probiotik, Selain Untuk Usus!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Ahmad Wazir Aiman

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 06/05/2024

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan