backup og meta

Psst.. Ini 7 Rahsia Garam Potassium Yang Harus Anda Tahu!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Nana Muhammad · Disemak pada 29/09/2021

    Psst.. Ini 7 Rahsia Garam Potassium Yang Harus Anda Tahu!

    Blood pressure aku naik lagi, lecehlah nak diet makan makanan tanpa garam ini,” keluh Farid dengan kehampaan. Farid mesti akan melonjak kegembiraan kalau dia tahu apa manfaat kalium daripada artikel ini. Sudah tidak perlu diet terlampau, lagi!

    Artikel ini akan memberikan informasi yang terperinci mengenai kalium dan manfaatnya untuk kesihatan anda.

    Apakah itu kalium?

    Kalium, atau potassium ialah sejenis garam mineral yang diperlukan oleh tubuh kita untuk berfungsi sepenuhnya.

    Ia merupakan sumber mineral ketiga paling banyak di dalam tubuh kita.

    Kira-kira, 98% kalium dalam tubuh kita terdapat dalam sel. Daripada jumlah ini, 80% ada di dalam sel otot, sementara 20% lagi terdapat di sel tulang, hati dan darah merah anda.

    Sumber makanan tinggi kalium

    makanan tinggi potassium

    Kalium senang dijumpai dalam banyak makanan, terutamanya buah-buahan, sayur-sayuran dan ikan.

    Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mencadangkan pengambilan kalium sebanyak 3,500 hingga 4,700 mg merupakan jumlah yang optimum dalam sehari.

    Mengikut Food Data, makanan yang tinggi potassium termasuklah :

    • Bayam
    • Kangkung
    • Kacang pis
    • Tomato
    • Keledek
    • Avokado
    • Pisang
    • Cendawan Portobello
    • Bit hijau
    • Ikan salmon

    Sebaliknya, pengambilan suplemen tambahan tidak digalakkan untuk meningkatkan jumlah kalium anda.

    Jumlah kalium yang dibenarkan dalam suplemen tidak melebihi had 99 mg dan ia jauh lebih sedikit jika dibandingkan dengan jumlah yang anda boleh perolehi daripada makanan yang kaya dengan kalium di atas.

    Manfaat kalium untuk kesihatan

    Banyak kajian membuktikan manfaat kalium berkait rapat dengan kesihatan tubuh kita.

    #1 Pengawalan cecair dalam badan

    Tubuh kita mengandungi kira-kira 60% air. 40% daripada jumlah ini terdapat dalam sel yang digelar cecair intraselular (ICF).

    Selebihnya dijumpai di luar sel, seperti darah, cecair tulang belakang dan antara sel. Cecair ini pula dipanggil cecair ekstraselular (ECF).

    Menariknya, jumlah air di ICF dan ECF dipengaruhi oleh kepekatan elektrolitnya, terutamanya kalium dan natrium.

    Kalium adalah elektrolit utama dalam ICF dan ia menentukan jumlah air di dalam sel.

    Sebaliknya, natrium adalah elektrolit utama dalam ECF dan ia penting bagi jumlah air di luar sel.

    Jumlah air di dalam dan luar sel selalunya sama. Jika terdapat ketidakseimbangan, ia boleh mengakibatkan sel mengecut atau mengembang dan pecah.

    Selain itu, ia juga boleh menyebabkan dehidrasi yang seterusnya mempengaruhi jantung dan buah pinggang.

    #2 Mengurangkan pengekalan air

    Pengekalan air berlaku apabila lebihan cecair terkumpul dalam badan. Kalium sering digunakan untuk merawat keadaan ini.

    Kajian mendedahkan pengambilan kalium yang tinggi boleh mengurangkan pengekalan air dengan meningkatkan jumlah air kencing dan mengurangkan kadar natrium dalam tubuh.

    #3 Kalium penting untuk sistem saraf

    Kalium memainkan peranan yang penting dalam mengaktifkan rangsangan saraf dalam tubuh.

    Ia boleh membantu untuk mengatur kontraksi otot, degupan jantung, refleks dan sebagainya.

    Kalium penting untuk mengekalkan degupan jantung yang tetap. Tahap kalium yang rendah dalam darah boleh mengubah degupan jantung.

    Apabila jantung tidak berdegup dengan betul, pengepaman darah ke organ tidak akan sama seperti biasa.

    Dalam beberapa kes, aritmia jantung atau degupan jantung yang tidak teratur boleh membawa maut.

    #4 Mengurangkan tekanan darah

    Tekanan darah tinggi merupakan faktor risiko penyakit jantung dan punca kematian utama di seluruh dunia.

    Diet tinggi kalium dapat mengurangkan tekanan darah dengan membantu tubuh untuk membuang natrium yang berlebihan.

    Analisis daripada 33 kajian mendedahkan, ketika pesakit hipertensi meningkatkan pengambilan kalium mereka, tekanan darah mereka menurun secara drastik.

    #5 Mengurangkan risiko strok

    Mengikut kajian, strok adalah salah satu daripada lima penyebab utama kematian di Malaysia.

    Sejak tahun 2005, peratusan kematian strok di hospital umum berada dalam lingkungan 6.6% hingga 8.4%.

    Namun, beberapa kajian lain mendapati bahawa diet tinggi kalium dapat mengurangkan risiko strok.

    Dalam analisis 33 kajian merangkumi 128,644 orang peserta, saintis mendapati peserta yang banyak mengambil makanan tinggi potassium mempunyai risiko strok 24% lebih rendah daripada peserta yang lain.

    Jom cuba mencapai target anda dengan menggunakan kalkulator BMI kami, di sini.

    #6 Mencegah osteoporosis

    Osteoporosis ialah masalah kesihatan yang bercirikan tulang yang lompong dan poros. Ia sering dikaitkan dengan tahap kalsium rendah.

    Namun, terdapat kajian menunjukkan diet kaya kalium boleh membantu mencegahnya dengan mengurangkan jumlah kalsium yang hilang daripada tubuh melalui air kencing.

    #7 Mengurangkan risiko batu karang

    manfaat kalium

    Kalsium ialah sumber mineral yang kerap dikaitkan dengan pembentukan batu karang.

    Beberapa kajian membuktikan kalium sitrat boleh menurunkan kadar kalsium dalam air kencing. Dengan cara ini, kalium dapat mencegah pembentukan batu karang.

    Sebuah kajian yang dijalankan selama 4 tahun mendedahkan, dalam 45,619 lelaki yang terlibat, 51% mempunyai risiko batu karang yang lebih rendah kerana diet yang kaya dengan kalium.

    Konklusi

    Tidak semua garam akan memudaratkan kesihatan anda jika diambil dalam jumlah yang sederhana.

    Tambahkanlah makanan yang tinggi potassium dalam pemakanan seharian anda untuk mendapatkan manfaatnya. Jangan lupa kongsi informasi ini dengan rakan-rakan anda, ya!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nana Muhammad · Disemak pada 29/09/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan