backup og meta

Kenapa Perlu Hadkan Pengambilan Karbo Harian? Ini Saranan #SukuSukuSeparuh

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 21/06/2022

    Kenapa Perlu Hadkan Pengambilan Karbo Harian? Ini Saranan #SukuSukuSeparuh

    Tahukah anda, kedudukan karbohidrat Piramid Makanan Malaysia telah bertukar pada tahun 2020? Perubahan ini sebenarnya boleh difahami dan diamalkan dengan lebih mudah melalui Pinggan Sihat Malaysia.

    Jadi, apakah perubahan tersebut?

    Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Pemakanan Sihat, anda boleh klik di sini

    Apakah itu karbohidrat Piramid Makanan Malaysia?

    Karbohidrat yang juga disebut karbo, merupakan sejenis nutrien yang berada dalam sesetengah jenis makanan dan minuman.

    Antara contoh karbohidrat ialah seperti kanji, gula dan juga serat.

    Tubuh badan manusia memerlukan karbohidrat untuk kelangsungan fungsi tubuh yang sihat.

    Namun, pengambilan terlalu banyak karbohidrat tanpa kawalan juga boleh menyebabkan kesan negatif kepada tubuh. 

    Pertukaran kedudukan karbohidrat Piramid Makanan Malaysia

    karbohidrat piramid makanan

    Jika anda melihat kepada Piramid Makanan 2010, karbohidrat berada pada bahagian yang paling bawah piramid tersebut.

    Ini menunjukkan, karbohidrat dan bijirin merupakan sumber makanan yang perlu diambil dengan jumlah yang paling banyak berbanding sayuran dan buah-buahan.

    Namun, karbohidrat Piramid Makanan Malaysia kini telah ditukar kedudukannya.

    Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengeluarkan Piramid Makanan Malaysia 2020 yang merupakan semakan semula kepada versi 2010.

    Semakan semula ini adalah berdasarkan kepada bukti saintifik dan keadaan semasa pemakanan rakyat Malaysia.

    Dalam Piramid Makanan Malaysia 2020, sayuran dan buah-buahan berada pada bahagian yang paling bawah piramid makanan.

    Manakala karbohidrat pula berada di kedudukan kedua, menggantikan kedudukan asal sayuran dan buah-buahan.

    Ini bermakna, karbohidrat Piramid Makanan Malaysia yang terkini disarankan untuk diambil dengan jumlah yang lebih sedikit berbanding sayuran dan buah-buahan. 

    Mengapa kedudukan karbohidrat Piramid Makanan Malaysia ini ditukar?

    karbohidrat piramid makanan

    Dalam Piramid Makanan Malaysia 2020, ia lebih menekankan pengambilan sayuran dan buah-buahan dalam diet seharian.

    Sebelum ini, Piramid Makanan Malaysia 2010 menekankan sumber makanan karbohidrat dan bijirin sebagai diet utama.

    Cadangan pemakanan pada tahun 2010 ini membuatkan ramai individu berasa keliru kerana menganggap sumber karbohidrat perlu diambil dengan jumlah yang tinggi dalam pemakanan seharian.

    Namun seiring dengan kajian semasa dan trend pemakanan rakyat Malaysia, pengambilan karbohidrat secara berlebihan boleh merisikokan diri kepada peningkatan berat badan dan juga obesiti.

    Selain itu, ia juga boleh meningkatkan risiko penyakit kronik seperti diabetes.

    Kini, karbohidrat piramid makanan telah disarankan untuk dikurangkan pengambilannya.

    Sayuran dan juga buah-buahan perlu diambil lebih banyak berbanding karbohidrat, protein dan juga lemak.

    Anda disarankan untuk mengambil sekurang-kurangnya tiga hidangan sayuran dan dua hidangan buah-buahan setiap hari.

    Untuk memahami jumlah pengambilannya dengan lebih mudah, kita boleh melihat kepada konsep #sukusukuseparuh atau Pinggan Sihat Malaysia. 

    Apa itu Pinggan Sihat Malaysia?

    Kaedah visual Pinggan Sihat Malaysia ini dihasilkan sebagai panduan untuk kita menyediakan hidangan yang seimbang dengan lebih mudah.

    Ia adalah gambaran daripada Piramid Makanan Malaysia 2020 yang lebih mudah untuk difahami oleh semua orang.

    Serupa dengan Piramid Makanan Malaysia, ia digunakan untuk menyampaikan mesej jumlah kumpulan makanan yang sepatutnya diambil dalam setiap hidangan setiap hari.

    Cara ini dengan mudahnya mengajar kita bagaimana untuk menyukat jumlah karbohidrat, protein, lemak dan vitamin dalam sepinggan nasi. 

    Bagaimana untuk menggunakan kaedah Pinggan Sihat Malaysia ini?

    Pinggan Sihat Malaysia menyarankan kepada kita untuk mengambil lebih banyak sayuran dan juga buah-buahan.

    Selain itu, karbohidrat dan protein juga perlu diambil, tetapi mestilah dengan jumlah yang lebih sedikit.

    Frasa yang dipopularkan bagi penggunaan pinggan sihat ini ialah #sukusukuseparuh.

    karbohidrat piramid makanan

    Ini bermakna, anda perlu mengambil hanya suku atau ¼ sumber karbohidrat daripada saiz pinggan yang digunakan.

    Suku kedua atau ¼ lagi diisi dengan sumber protein dan juga lemak.

    Manakala baki separuh pinggan atau ½ diisi dengan hidangan sayur-sayuran dan juga buah-buahan.

    Berdasarkan amalan Pinggan Sihat Malaysia ini, kita hanya mengambil ¼ sumber karbohidrat sahaja daripada keseluruhan hidangan yang kita makan.

    Kaedah ini amat mudah untuk dipraktikkan kerana anda dapat menyukat saiz karbohidrat yang ingin diambil terus daripada pinggan anda. 

    Risiko jika mengambil terlalu banyak karbohidrat

    Karbohidrat diperlukan sebagai sumber tenaga utama untuk tubuh anda berfungsi dengan baik.

    Namun, jika ia diambil dengan jumlah yang terlalu banyak dan tidak terkawal, ia boleh mengundang masalah kesihatan lain kepada tubuh.

    Pengambilan terlalu banyak sumber karbohidrat boleh meningkatkan paras gula darah anda.

    Jika paras gula darah anda menjadi terlalu tinggi, ia boleh menyebabkan hiperglisemia.

    Hiperglisemia pula boleh merisikokan anda kepada penyakit diabetes atau kencing manis.

    Selain itu, pengambilan karbohidrat secara berlebihan boleh menyebabkan obesiti.

    Apabila karbo diambil dengan jumlah yang melebihi keperluan harian, ia akan ditukarkan sebagai deposit lemak dalam tubuh jika ia tidak dibakar.

    Lama-kelamaan, deposit lemak ini akan bertambah, apatah lagi jika anda tidak mengamalkan gaya hidup yang aktif.

    Obesiti boleh mengundang pelbagai penyakit kronik lain seperti penyakit jantung dan darah tinggi.

    Oleh sebab itu, karbohidrat tidak boleh diambil dengan jumlah yang terlalu tinggi.

    Justeru, ikuti sahaja saranan pengambilan oleh Pinggan Sihat Malaysia. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 21/06/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan