home

What are your concerns?

close
Inaccurate
Hard to understand
Other

Khasiat Teh Hijau: Jenis yang Pelbagai dengan Khasiat yang Pelbagai

Khasiat Teh Hijau: Jenis yang Pelbagai dengan Khasiat yang Pelbagai

Khasiat teh hijau sememangnya sering diperkatakan sama ada dalam kalangan generasi yang lebih berusia mahupun generasi muda. Tetapi, tahukah anda bagaimana asal permulaan minuman ini dan kebaikan teh hijau kepada tubuh badan manusia?

Nama teh hijau yang meningkat naik kini tidak bermakna ia baru sahaja dikonsumsi, tetapi kepopularitiannya hanya menaikkan namanya ke peringkat yang lebih tinggi berbanding sebelum ini.

Jenis-jenis teh hijau

Tidak semua rasa teh hijau adalah sama, walaupun semuanya berasal dari pelbagai jenis tumbuhan yang sama.

Ia bergantung bukan sahaja kepada kaedah pemprosesan pengeluar teh tetapi juga pada amalan penanaman yang digunakan oleh penanam teh. Selain itu, rasa teh juga bergantung kepada keadaan atau persekitaran kawasan teh ditanam.

Berikut merupakan antara jenis-jenis teh hijau yang dikenali ramai:

1. Sencha

khasiat teh hijau

Antara jenis teh hijau Jepun yang sering diminum dikenali sebagai Sencha. Sencha ditanam di bawah sinar matahari secara langsung dan cenderung dituai dalam daun keluaran pertama atau kedua.

Dikatakan bahawa daun teh dari tuaian pertama biasanya merupakan kualiti yang terbaik. Setelah dipilih, daun teh dikukus, bermula dengan daun paling muda yang berada di bahagian pucuk pokok teh.

2. Gyokuro

Proses untuk teh hijau Gyokuro adalah serupa dengan Sencha, kecuali ketika sekitar 3 minggu sebelum dituai, daun teh diteduhkan daripada sinaran matahari.

Apabila diteduhkan daripada cahaya matahari, daun teh akan mengurangkan proses fotosintesis, memerangkap asid amino yang berperisa kuat di dalam pokok teh dan memberi Gyokuro rasa yang lebih lengkap.

Selepas itu, teh ini mengalami proses pengukusan dan penggulungan yang sama seperti Sencha, tetapi oleh kerana teh lebih sukar untuk diteduhkan dan ditanam, harga pengeluaran dan harga jualan teh jenis ini jauh lebih tinggi.

3. Tencha

Tencha dibuat dengan cara dan proses yang sangat sama dengan teh Gyokuro.

Ia diteduhkan daripada cahaya matahari tiga minggu sebelum dituai, dan kemudiannya selepas musim menuai, daun dikukus, dikeringkan menggunakan angin dan dikeluarkan daripada ranting dan batang.

Perbezaan utama antara Tencha dan Gyokuro adalah bahawa selepas daun teh dituai, Tencha tidak melalui proses penggulungan.

4. Matcha

Teh hijau Matcha adalah Tencha yang telah dihaluskan atau digiling. Selepas proses peneduhan, penuaian, dan pengukusan, daun kemudian dikeringkan, ditanggalkan daripada batang dan ranting, dan kemudiannya digiling menjadi serbuk untuk dibancuh.

Ini sebahagian besarnya didasarkan pada adat Dinasti Song, yang akan menggiling dan membuat bancuhan serbuk tersebut dengan harapan akan mendapat sifat-sifat perubatan daripada serbuk teh tersebut.

Khasiat dan kebaikan teh hijau yang pelbagai

khasiat teh hijau

Sejak berabad lagi, teh hijau terkenal dengan rasanya yang indah serta pelbagai khasiat kesihatannya terhadap manusia. Berikut adalah beberapa khasiat utama teh hijau yang anda mungkin tidak pernah dengar sebelum ini.

Khasiat teh hijau 1: Merangsang sistem imun

Menurut beberapa kajian, orang yang minum teh dengan kerap tidak mendapat jangkitan bakteria dan virus semudah orang lain yang tidak mengambilnya.

Jelas bahawa teh hijau membantu anda meningkatkan sistem imun. Sebab di sebalik mekanisma ini adalah sebatian yang dipanggil catechin, yang berfungsi sebagai pelindung terhadap bakteria dan virus.

Di samping itu, catechin juga melawan toksin yang dikeluarkan oleh mikrob.

Bukan itu sahaja, ia juga menghalang penyakit yang disebabkan oleh mikrob dan kulat, seperti nafas berbau, disentri, senak, cirit-birit, kolitis, kerosakan gigi, selesema, serta batuk dan sejuk.

Khasiat teh hijau 2: Astringen

Astringen adalah satu lagi khasiat teh hijau. Bahan astringen merangsang pengecutan otot dan tisu serta menguatkan otot dan kulit.

Walaupun anda tidak minum teh, membasuh mulut anda dengan teh setiap hari akan memberikan penguncupan pada gusi anda untuk memastikannya kukuh dan sihat.

Hasilnya, gigi akan dilindungi. Oleh itu, anda tidak perlu bimbang tentang gigi longgar atau tercabut.

Khasiat teh hijau 3: Antikanser

khasiat teh hijau

Selain menyebabkan penuaan pramatang, radikal bebas juga menyebabkan beberapa jenis kanser.

Catechin di dalam teh hijau boleh meneutralkan radikal yang berbahaya ini, menghentikan pembentukan karsinogen seperti nitrosamines dan mengurangkan risiko kanser.

Teh hijau kini disyorkan dan dipreskrip secara meluas untuk pesakit oleh doktor dan ahli farmasi.

Ia adalah remedi rumah yang baik untuk mencegah kanser, terutamanya bagi mereka yang mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat kanser seperti pankreas, kolon, usus dan rektum.

Khasiat teh hijau 4: Mengurangkan kolesterol

Teh hijau diketahui berkesan dalam mengurangkan kadar kolesterol kerana ia mengandungi bahan yang dipanggil alkalinity.

Mekanisma di sebalik ini adalah kafein daripada minuman teh akan menggerakkan asid lemak daripada tisu lemak, mengurangkan komposisi lemak dan menjadikan mereka tenaga bersedia untuk aktiviti fizikal.

Ini jelas akan meningkatkan prestasi fizikal dan mencegah obesiti, terutamanya diabetes jenis II, yang melibatkan gula dalam darah yang tinggi disebabkan kekurangan insulin.

Teh hijau dipercayai meningkatkan sensitiviti insulin dan mengurangkan tahap gula dalam darah.

Kebaikan teh hijau 5: Sihat untuk jantung dan arteri

Teh hijau mengandungi komponen berbeza yang boleh menghalang penebalan darah, seterusnya, mengurangkan kebarangkalian mendapat arterosklerosis, trombosis, dan juga strok jantung dan otak.

Beberapa faktor risiko utama ditemui akan dipengaruhi oleh tabiat meminum teh. Ini termasuk tahap kolesterol, kolesterol LDL dan triglycerides.

Sebagai antioksidan yang kuat, minuman ajaib ini boleh menghalang zarah kolesterol LDL daripada pengoksidaan, yang menjadi punca kepada penyakit jantung.

Anda mungkin mahu mengamalkan tabiat meminum teh kerana ia boleh mengurangkan berat badan, meningkatkan prestasi mental dan fizikal anda, dan membawa kebaikan ke jantung anda.

Minumlah teh dengan kerap, atau sebaik-baiknya masukkannya dalam diet harian anda untuk mendapatkan semua manfaat daripadanya. Pelbagaikan penggunaan teh hijau dalam minuman dan masakan seperti pencuci mulut dan roti.

health-tool-icon

Kalkulator BMR

Guna kalkulator pengambilan kalori ini untuk menentukan keperluan kalori seharian yang anda perlu, berdasarkan tinggi, berat, umur dan tahap aktiviti anda.

Lelaki

Wanita

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber Rujukan

 

  1. Health Benefits of Green Tea. https://www.organicfacts.net/health-benefits/green-tea.html Accessed February 4, 2017
  2. Green Tea. https://nutritionfacts.org/topics/green-tea/. Accessed on Sept 10, 2021
  3. 11 Benefits of Green Tea You Didn’t Know About. https://www.healthywomen.org/content/article/11-benefits-green-tea-you-didnt-know-about. Accessed on Sept 10, 2021
  4. The Hidden Health Benefits of Tea. https://www.pennmedicine.org/updates/blogs/health-and-wellness/2019/december/health-benefits-of-tea. Accessed on Sept 10, 2021
  5. The Health Benefits of Tea. https://www.eatright.org/health/wellness/preventing-illness/the-health-benefits-of-tea. Accessed on Sept 10, 2021
Gambar penulisbadge
Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim Disemak pada 10/09/2021
Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan