Jika anda menonton adegan makan dalam mana-mana drama atau filem Korea, anda pasti pernah melihat jenis nasi yang mereka makan, kan? Nasi Korea boleh dilihat mempunyai warna ungu atau hitam berbanding jenis nasi yang kita makan. Apakah jenis beras Korea yang mereka ambil ini?
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Pemakanan Sihat, sila dapatkan di sini.
Kenapa beras Korea berwarna ungu?
Beras Korea yang berwarna ungu atau hitam ini sebenarnya mempunyai beberapa nama.
Ada yang menyebutnya sebagai beras ungu, beras hitam, beras maharaja atau beras larangan. Walau apa pun namanya, ia merujuk kepada jenis beras yang sama.
Pada zaman dahulu, jenis beras ini adalah jenis yang sangat sukar untuk didapati dan ia hanya digunakan secara eksklusif oleh Maharaja China.
Ini kerana ia dipercayai mempunyai khasiatnya yang tersendiri yang boleh menyebabkan panjang umur.
Oleh itu, orang awam pada ketika itu dilarang sama sekali untuk memakan beras hitam ini.
Sebenarnya, beras ini adalah berwarna agak kehitaman. Dalam budaya masyarakat Korea, mereka mencampurkan jenis beras hitam ini dengan beras putih ketika memasak nasi.
Percampuran dua jenis beras ini menjadikannya berwarna keunguan apabila siap dimasak.
Oleh sebab itu, ia dipanggil sebagai beras ungu atau nasi ungu Korea.
Jenis beras ungu ini sebenarnya berasal dari Jepun dan kini ia banyak ditanam di kawasan Asia.
Beras Korea ini kaya antioksidan
Apabila bercakap soal kebaikan atau nutrisi beras, ia sememangnya bergantung kepada jenis beras tersebut.
Bagi jenis beras ungu Korea ini, ia diketahui mempunyai kandungan antioksidan yang lebih tinggi berbanding jenis beras lain.
Dalam beras ungu, terdapat sejenis pigmen yang disebut sebagai anthosianin yang menyebabkan warna ungu gelap pada beras tersebut.
Pigmen ungu ini juga adalah jenis pigmen yang sama yang memberikan warna pada buah terung, bluberi dan lain-lain buah atau sayuran berwarna gelap.
Anthosianin ini ialah sejenis antioksidan yang boleh memberikan kesan anti radang dan juga ciri anti kanser apabila dimakan.
Selain itu, antara kesan lain anthosianin ialah, ia boleh membantu mengurangkan kes-kes penyakit jantung, obesiti dan juga diabetes.
Beras putih atau beras perang tidak mempunyai kandungan anthosianin seperti yang terdapat dalam beras ungu Korea ini.
Beras Korea juga kaya dengan kandungan zat besi
Selain daripada antioksidan, jenis beras Korea ini juga sangat tinggi dengan kandungan zat besi.
Kandungan zat besi dalam beras ungu ini juga adalah lebih tinggi berbanding beras perang.
Untuk pengetahuan anda, zat besi amat diperlukan oleh tubuh badan manusia kerana fungsinya dalam penghasilan sel darah merah dan mengangkut oksigen ke seluruh organ tubuh.
Ia juga membantu dalam penghantaran isyarat saraf yang mengawal pergerakan tubuh.
Jika tubuh badan mengalami kekurangan zat besi, maka kita berisiko untuk mendapat penyakit anemia.
Nasi Korea tinggi dengan serat
Jika anda masih belum tahu, beras Korea ini adalah jenis beras yang masih belum digilap.
Lapisan bran di bahagian luar biji beras yang berwarna ungu gelap ini masih lagi melekat pada beras tersebut.
Oleh sebab itu, beras ini tidak berwarna putih seperti beras yang biasa kita makan.
Hal inilah yang menjadikan jenis beras ini sebagai jenis beras bijirin penuh.
Kandungan serat yang tinggi dapat membantu tubuh dalam proses pencernaan yang lebih lancar selain menjadikan usus lebih sihat.
Selain itu, serat juga sangat memainkan peranan dalam penurunan berat badan dan pengurangan kolesterol dalam tubuh badan.
Rendah nilai GI, sesuai untuk pesakit diabetes
Satu lagi fakta menarik mengenai nasi Korea ini ialah ia mempunyai nilai indeks glisemik (GI) yang lebih rendah berbanding jenis nasi yang lain.
Beras Korea mempunyai nilai GI sebanyak 42.3 berbanding beras perang dengan nilai GI sebanyak 68 dan beras putih sebanyak 73.
Bagi pesakit diabetes, jenis beras ini ternyata lebih baik berbanding beras lain kerana ini boleh membantu pesakit diabetes mengawal paras gula darah mereka dalam keadaan yang lebih stabil.
Namun, untuk mendapatkan lebih kepastian, rujuklah kepada doktor untuk mengetahui kesesuaian anda sebelum mengambil jenis beras ini.
[health_tool_article id=”94632″]
Hati-hati, ia juga tinggi kalori
Walaupun nasi Korea ini mempunyai lebih banyak kandungan nutrisi bermanfaat berbanding jenis nasi yang lain, ia juga tinggi dengan kalori.
Nasi Korea ini mempunyai kandungan kalori yang lebih tinggi berbanding kandungan kalori yang terdapat pada nasi putih atau nasi perang.
Oleh itu, anda masih perlu mengawal pengambilannya agar tidak berlebihan dan sesuai dengan keperluan tubuh anda.
[embed-health-tool-bmr]