Boleh dikatakan hampir semua jenis masakan di Malaysia memerlukan bawang merah. Namun, tidak ramai individu mengetahui tentang khasiat bawang merah kepada kesihatan manusia.
Ikuti artikel ini untuk mengetahui tentang lebih lanjut mengenai bawang ini.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Pemakanan Sihat, sila dapatkannya di sini.
Khasiat bawang merah
Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa bawang merah mempunyai khasiat yang banyak terutama kepada kesihatan.
Ia sudah digunakan secara berkurun lamanya untuk merawat pelbagai penyakit termasuk juga digunakan dalam rawatan tradisional.
Berikut adalah beberapa manfaat kesihatan yang boleh diperolehi daripada bawang ini:
1. Menguatkan sistem ketahanan badan
Bawang merah kaya dengan vitamin C yang merupakan sejenis antioksidan. Kehadiran vitamin C ini membantu melawan radikal bebas yang berpotensi merosakkan sel-sel di dalam badan.
Risiko penyakit-penyakit kronik seperti sakit jantung, kencing manis dan kanser dapat dikurangkan. Kandungan quercetin dan antosianin di dalamnya dipercayai mampu melawan dan menghancurkan sel kanser dalam badan.
Ia turut mengandungi selenium, yang dipercaya mampu meningkatkan sistem imun.
2. Membantu penghadaman
Oleh sebab bawang ini kaya dengan serat yang baik bagi pertumbuhan bakteria baik dalam usus, ia membantu melancarkan sistem penghadaman dan memastikan pergerakan usus yang baik.
Serat juga membersihkan usus serta membuang kotoran di dalam badan dan mencegah masalah sembelit.
Bawang juga mengandungi bahan kimia saponin yang boleh mengurangkan sakit dan kekejangan perut.
3. Antipenuaan, antara khasiat bawang merah
Khasiat daripada antioksidan bukanlah satu yang baru dan misteri. Antara punca penuaan adalah pengumpulan radikal bebas di dalam badan.
Di samping membekalkan antioksidan, ia juga merangsang penghasilan antioksidan di dalam badan.
Selain itu, bawang juga membantu membuang toksik di dalam badan, seterusnya membantu melambatkan lagi proses penuaan.
4. Tingkatkan hemoglobin
Penghidap anemia mempunyai kadar hemoglobin yang rendah. Hemoglobin adalah sejenis protein di dalam sel darah merah yang dihasilkan daripada zat besi.
Ia berfungsi membawa oksigen di dalam darah. Bawang merah mengandungi kadar zat besi yang baik. Ia sekali gus membantu meningkatkan zat besi serta hemoglobin di dalam badan.
Khasiat bawang merah #5. Mengawal kadar glukosa
Mineral kromium di dalam bawang membantu mengawal kadar gula dalam darah. Perkara ini adalah sangat penting bagi individu yang mengalami diabetes atau prediabetes.
Sulfur di dalamnya pula merangsang penghasilan insulin. Khasiat ini adalah bermanfaat khusus bagi mereka yang mengalami kencing manis.
Sebatian khusus yang terdapat dalam bawang, seperti sebatian quercetin dan sulfur, mempunyai kesan antidiabetik.
Sebagai contoh, quercetin telah ditunjukkan untuk berinteraksi dengan sel-sel dalam usus kecil, pankreas, otot rangka, tisu lemak dan hati untuk mengawal peredaran gula darah seluruh badan.
6. Mencegah keradangan
Kandungan quercetin pada bawang merah dipercayai dapat meredakan radang.
Selain itu, ia juga dapat membantu mengurangkan rasa sakit pada bahagian kepala yang disebabkan selesema dan hidung tersumbat.
Hal ini disebabkan oleh kandungan sulfur pada bawang merah yang mampu memecahkan mukus.
7. Meningkatkan kesihatan jantung
Kandungan flavonoid pada bawang merah ini dapat membantu fungsi jantung.
Selain itu, kandungan organosulfur pada bawang ini dapat mencegah risiko munculnya penyakit kardiovaskular.
Di samping itu, bahan masakan paling popular ini juga mengandungi tiosulfinat yang dapat mengurangkan dan menurunkan risiko penyakit strok (angin ahmar).
Baca juga: