Minggu demi minggu

Mengandung Luar Rahim: Bahaya Kehamilan Ektopik

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Menyedari hakikat bahawa anda sedang berbadan dua merupakan satu pengalaman yang cukup mengujakan dan menggembirakan hati khususnya jika anda telah sekian lama mencuba untuk menimang cahaya mata. Ianya adalah rezeki yang dikurniakan untuk anda dan pasangan anda, amanah untuk dipelihara dengan baik. Apa yang lebih manis adalah sekiranya anda sebelum ini menghidap keadaan-keadaan kesihatan tertentu yang menyebabkan peluang anda untuk mengandung atau membawa kandungan ke tempoh bersalin adalah rendah. Keadaan-keadaan kesihatan seperti endometriosis, penyakit keradangan pelvis (PID) dan juga polycystic ovarian syndrome adalah contoh penyakit-penyakit yang mengganggu fungsi reproduktif normal wanita dan juga peluang untuk wanita mengandung. Tidak berhenti di situ, ketika berbadan dua juga, terdapat beberapa komplikasi serta keadaan kehamilan yang boleh berlaku, seperti mengandung luar rahim. Justeru, artikel ini akan membincangkan dengan terperinci perihal mengandung luar rahim, dan bagaimana anda boleh menyediakan diri anda dengan pengetahuan yang cukup.

Apa itu mengandung luar rahim?

Mengandung luar rahim, atau turut dikenali sebagai kehamilan ektopik, adalah sejenis komplikasi kehamilan pada trimester pertama yang merujuk kepada implantasi ‘morula’ (tisu embrio peringkat awal) yang tidak berlaku pada dinding rahim, sebaliknya, berlaku pada kawasan lain. Berdasarkan definisi ini, implantasi tisu yang telah disenyawakan ini boleh berlaku di mana-mana sahaja,  sama ada di sekitar bahagian dalaman organ reproduktif wanita (seperti kehamilan dalam tiub fallopian), mahupun di sekitar bahagian abdomen seperti kehamilan dalam hati (walaupun insiden ini adalah sangat jarang berlaku).

Walaupun untuk zaman sekarang, dengan kemajuan sains dan teknologi dalam bidang perubatan, kejadian mengandung luar rahim atau kehamilan ektopik ini masih memberi impak morbiditi dan mortaliti yang tinggi, mewakili 6% daripada keseluruhan punca kematian berkaitan kehamilan. Menurut data dan statistik tentang kehamilan ektopik, dianggarkan sekitar 1.3 hingga 2.4% daripada keseluruhan kehamilan yang berlaku adalah daripada jenis kehamilan ektopik. Angka tersebut menggambarkan perbandingan persis satu dalam setiap 100 hingga 300 kehamilan berkemungkinan untuk menjadi kehamilan ektopik. Tambahan lagi, peratusan insiden kehamilan ektopik ini boleh menjadi lebih tinggi dalam kalangan mereka yang mengandung melalui penggunaan bantuan teknologi reproduktif, setinggi 4%.

Di bawah tajuk besar kehamilan ektopik ini, terdapat beberapa pengelasan yang mencirikan jenis-jenis mengandung luar rahim yang wujud. Sesetengah masyarakat mungkin maklum tentang kehamilan dalam tiub fallopian dan akan segera merujuk kepada kehamilan ektopik jenis ini apabila persoalan mengandung luar rahim diutarakan. Ianya adalah variasi yang signifikan secara klinikalnya namun ia bukanlah satu-satunya jenis kehamilan ektopik yang ada.

Jenis-jenis kehamilan ektopik

Kehamilan dalam tiub fallopian

Majoriti daripada kes-kes kehamilan ektopik tergolong dalam jenis ini. Di dalam tiub fallopian, implantasi oleh telur yang telah disenyawakan boleh berlaku pada bahagian hujung frimbria (mewakili 5% daripada keseluruhan kes mengandung luar rahim), pada bahagian ampulla (80%), bahagian ismus atau bahagian genting (12%) dan juga pada bahagian cornual dan bahagian ruang-antara (interstitial) sebanyak 2%. Daripada lokasi-lokasi yang berbeza ini, kandungan di bahagian ismus (genting) dikaitkan dengan mortaliti yang lebih tinggi kerana kawasannya yang kaya dengan salur darah. Ini menyebabkan kecenderungan untuk berlakunya komplikasi pendarahan dalaman yang banyak. Hipotesis kepada bagaimana terjadinya mengandung luar rahim jenis ini adalah disebabkan oleh gabungan perubahan persekitaran dalaman tiub dan juga gangguan dalam mekanisma pergerakan embrio dalam tiub fallopian.

Kehamilan selain daripada dalam tiub

2% daripada keseluruhan kes mengandung luar rahim melibatkan bahagian seperti ovari, pangkal rahim dan juga bahagian dalaman abdomen. Untuk kehamilan pada kawasan pangkal rahim, ujian ultrasound melalui faraj (transvaginal ultrasound) digunakan untuk mengesannya.

Walaupun kandungan dalam tiub fallopian tidak berupaya untuk hidup atau diteruskan, dalam kes kehamilan dalam abdomen, kelahiran kandungan hidup pernah direkodkan (walaupun jarang berlaku). Dalam situasi ini, uri melekat pada organ-organ dalam abdomen atau pada peritoneum yang kaya dengan bekalan darah. Lazimnya, bekalan darah yang banyak ini boleh didapati pada bahagian usus atau mesentri namun organ seperti buah pinggang dan juga hati juga boleh menjadi tapak untuk ianya melekat. Namun yang demikian, morbiditi dan mortaliti kepada si ibu adalah tinggi kerana cubaan untuk memisahkan uri daripada organ-organ abdomen ini berisiko untuk menyebabkan pendarahan yang sangat banyak. Tambahan lagi, boleh juga berlaku keadaan di mana uri tersebut tidak berpisah daripada organ yang menjadi tapaknya. Ini mendorong kepada pembuangan uri dan juga sebahagian daripada organ tersebut melalui pembedahan.

Kehamilan heterotopik

Dalam keadaan yang sangat jarang, terdapat kemungkinan untuk dua telur yang telah disenyawakan berlaku, di mana satunya menampal pada dinding rahim manakala yang satu lagi berada selain daripada dalam rahim (ektopik). Dalam kes ini, kehamilan dalam rahim lazimnya diketahui lebih lewat kerana kehamilan ektopik oleh telur yang lain itu akan menyebabkan simptom sakit yang lebih awal dan lebih mencemaskan. Hanya bila kandungan hormon hCG berterusan naik, syak terhadap kemungkinan ada satu lagi kandungan dalam rahim timbul dan dikesan melalui dengan ujian ultrasound susulan. Trend kehamilan heterotopik, walaupun jarang, dilihat semakin meningkat khususnya melalui penggunaan In-Vitro Fertilisation (IVF).

Faktor-faktor risiko dan punca terjadinya mengandung luar rahim

Terdapat beberapa faktor risiko yang meningkatkan lagi kemungkinan seseorang itu untuk menghidap keadaan ini. Namun yang demikian, kira-kira satu per tiga daripada keseluruhan kes kehamilan ektopik tidak mempunyai faktor risiko atau punca yang berjaya dikenal pasti. Antara faktor risiko yang dikenal pasti adalah:

  1. Penyakit keradangan pelvis (PID)
  2. Penggunaan alat dalam rahim (IUD)
  3. Pendedahan lampau terhadap bahan kimia diethylstilbestrol (DES)
  4. Pembedahan lampau yang melibatkan tiub fallopian
  5. Prosedur-prosedur atau pembedahan yang membabitkan bahagian dalam rahim
  6. Merokok
  7. Sejarah kehamilan ektopik yang lampau
  8. Endometriosis
  9. Ikatan tiub (Tubal ligation)

Kesemua faktor-faktor risiko di atas menyebabkan kerosakan kepada tiub fallopian. Pada dinding-dinding dalaman tiub fallopian, terdapat struktur mikro mirip rambut yang disebut sebagai cilia. Cilia ini berfungsi untuk mengerakkan telur daripada ovari, ke bahagian rahim. Kekurangan bilangan cilia ini mengganggu peredaran telur daripada ovari ke rahim, menyebabkan kecenderungan untuk berlakunya kehamilan dalam tiub. Wanita yang merokok mempunyai risiko untuk kehamilan dalam tiub kerana merokok menyebabkan kerosakan pada cilia selain membunuh struktur ini. Jika telur yang disenyawakan ini tidak digerakkan ke bahagian rahim dalam masa yang mencukupi (akibat masalah dengan struktur cilia), waktu transit akan meningkat dan meningkatkan juga kemungkinan untuk telur yang telah disenyawakan ini menampal pada dinding tiub fallopian.

Wanita dengan penyakit keradangan pelvis (PID) mempunyai insiden kejadian kehamilan ektopik yang tinggi, khususnya bagi mereka yang menghidap jangkitan aktif atau pernah menghidap jangkitan lampau yang merebak ke atas (ascending infection) daripada bakteria-bakteria seperti Chlamydia trachomatis atau Neisseria gonorrhoeae. Kehamilan ektopik dalam PID ini disebabkan oleh pengumpulan tisu-tisu parut pada dinding-dinding dalaman tiub yang merosakkan cilia. Dalam situasi di mana pengumpulan tisu-tisu parut ini menyebabkan tiub di kedua-dua belah bahagian tersumbat, pertemuan sperma dan juga ovum adalah mustahil dan kehamilan tidak berlaku.

Mengikat tiub (tubal ligation) boleh menyebabkan kecenderungan untuk mendapat kehamilan ektopik. Sekiranya seseorang wanita itu didapati hamil walaupun setelah menjalani prosedur mengikat tiub, kemungkinan untuk kehamilan ektopik perlu disyaki kerana 30% daripada kehamilan selepas melakukan prosedur ini adalah di luar rahim. Malahan ianya adalah faktor risiko yang paling penting untuk terjadinya kehamilan dalam tiub. Selain itu, proses pembalikan-semula tiub yang telah diikat juga berupaya untuk menyebabkan kehamilan ektopik kerana integriti dan struktur normal tiub telah diganggu dan terbentuknya tisu-tisu parut akibat pembedahan.

Simptom dan tanda kehamilan ektopik

Kira-kira 10% daripada wanita yang menghidap kehamilan ektopik tidak mempunyai sebarang simptom dan dalam kebanyakan kes, simptom dan tanda yang berlaku tidak khusus kepada simptom dan tanda kehamilan ektopik, sebaliknya mirip penyakit-penyakit dan keadaan kesihatan yang lain seperti keradangan apendiks, kilasan ovari (ovarian torsion), pemecahan cyst corpus luteum (ruptur of a corpus luteum cyst) jangkitan salur kencing dan juga keguguran. Manifestasi klinikal kehamilan ektopik bermula secara puratanya setelah 7.2 minggu daripada tempoh datang bulan yang terakhir, dengan julat 4 hingga 8 minggu.

Apabila berlakunya tanda dan simptom, ia lazimnya adalah seperti berikut:

  1. Pendarahan melalui faraj (pelbagai kuantiti)
  2. Peningkatan bacaan hCG
  3. Rasa sakit pada bahagian bawah abdomen secara tiba-tiba
  4. Rasa sakit sekitar bahagian pelvis
  5. Pangkal rahim yang sensitif dan sakit
  6. Rasa sakit pada bahagian kiri atau kanan bawah abdomen
  7. Benjolan pada bahagian kiri atau kanan bawah abdomen

Sekiranya kandungan menjadi semakin besar hingga pecahnya tiub fallopian, ianya boleh menyebabkan simptom seperti kembungan abdomen, rasa sakit yang sanga teruk di sekitar abdomen, abdomen mengeras (peritonism) dan juga kejutan hipovoemia (hypovolaemic shock).

Bagaimana diagnosis kehamilan ektopik dibuat?

Ujian Pengimejan Ultrasound

Satu kajian meta analisis mendapati bahawa 88% daripada kehamilan dalam tiub fallopian berjaya dikenal pasti melalui gabungan dapatan benjolan pada bahagian sisi (kiri atau kanan) bawah abdomen dan juga ketiadaan kantung gestasi (dalam ujian pengimejan ultrasound). Mengandung luar rahim (jenis kehamilan dalam tiub) perlu disyaki jika penemuan dalam ujian pengimejan ultrasound mendapati kewujudan kantung gestasi di bahagian adneksa tanpa sebarang bukti kandungan dalam rahim. Jika ada embrio yang berjaya dilihat dalam kantung gestasi ektopik tersebut, diagnosis kehamilan ektopik dapat dipastikan.

Ujian pengimejan ultrasound yang menunjukkan kantung gestasi beserta dengan kewujudan jantung janin, di kawasan tiub fallopian, mempunyai ketepatan yang tinggi ke arah diagnosis kehamilan ektopik. Ujian pengimejan ultrasound melalui faraj (transvaginal ultrasound) adalah ujian yang mempunyai sensitiviti sehingga 90% dalam mengesan kehamilan ektopik. Visual kantung gestasi yang kosong ini disebut sebagai bagel’s sign dalam imej ultrasound (dipanggil sedemikian kerana bahagian dalamannya yang tidak ekogenik namun bahagian sekelilingnya adalah ekogenik, mirip bagel). Ujian pengimejan ini juga mampu untuk menghasilkan visual pendarahan (jika ada) yang berlaku sekitar kawasan adneksa, dengan gambar pengumpulan cecair ekogenik.

Namun yang demikian, kombinasi dapatan positif dalam ujian kehamilan (melalui sampel air kencing) dan juga kewujudan kandungan normal dalam rahim, tidak menolak kemungkinan bahawa adanya kehamilan ektopik. Ini kerana seperti yang dibincangkan di bab pengelasan jenis-jenis kehamilan ektopik, terdapat jenis kehamilan heterotopik.

Ujian serum bikimia

Ujian serum hormon hCG memainkan peranan yang penting, selain penggunaan ujian pengimejan ultrasound, dalam penilaian diagnostik untuk menentukan kehamilan ektopik atau sebaliknya. Trend peningkatan hormon hCG ini akan diperhatikan dan dalam kes kehamilan dalam rahim yang normal, paras hormon ini akan meningkat sekali ganda dalam masa 48 jam namun terdapat juga keadaan di mana ianya boleh meningkat tidak lebih daripada 35% sahaja walaupun dalam kes kehamilan biasa yang normal.

Tambahan lagi, satu per lima daripada keseluruhan kes mengandung luar rahim mampu menghasilkan trend peningkatan hormon hCG (di peringkat awal) yang serupa dengan kehamilan dalam rahim, dan dalam 10% daripada keseluruhan kes, trend hormon hCG mampu untuk menyerupai paras yang sama dalam kes keguguran awal. Kehamilan ektopik dikaitkan dengan peningkatan paras hCG yang tidak lebih daripada 66% secara amnya atau penurunan tidak melebihi 13 peratus daripada paras asal, dalam masa 48 jam.

Rawatan

Terdapat beberapa pilihan rawatan yang akan digunakan oleh pakar perubatan dalam menguruskan kes-kes kehamilan ektopik.

Pemerhatian rapi (Expectant management)

Kebanyakan doktor akan memilih untuk tidak melakukan apa-apa terlebih dahulu, sebaliknya mereka akan menilai trend hormon hCG dalam serum dan juga dapatan daripada ujian pengimejan. Untuk tujuan itu, kebanyakan wanita akan menerima temu janji bagi menilai semula bacaan serum hCG mereka dan untuk ujian pengimejan ultrasound semula, bagi melihat perubahan yang berlaku (jika ada).

Tiada ubat atau intervensi lain yang diberikan pada tempoh ini. Ini kerana lazimnya, paras serum hCG ini akan menurun dengan sendirinya, menandakan janin tersebut mati secara semula jadi akibat tidak berjaya untuk terus berkembang.

Penggunaan ubat

Rawatan awal menggunakan ubat methotrexate untuk kehamilan ektopik adalah alternatif lain sekiranya pembedahan tidak dilakukan. Jika diberi pada peringkat awal kehamilan ektopik, ianya mampu untuk menghentikan perkembangan embrio tersebut, mengakibatkan keguguran secara spontan atau isinya terurai dan diserap sepenuhnya oleh badan ibu, atau dikeluarkan mengikut darah haid. Kontraindikasi bagi rawatan ini adalah penyakit darah, buah pinggang, hati dan juga sekiranya saiz embrio (melalui ukuran dalam pengimejan ultrasound) telah melebihi ukuran 3.5 cm. Selain itu, kontraindikasi lain adalah sekiranya turut berlaku kehamilan heterotopik, kerana pengambilan methotrexate mampu untuk menyebabkan keguguran janin normal dalam rahim.

Pembedahan

Sekiranya seseorang itu tidak sesuai untuk menjalani rawatan menggunakan kedua-dua kaedah yang di atas, pilihan terbaik mereka adalah melalui pembedahan. Rawatan pembedahan yang dilakukan untuk kes mengandung luar rahim adalah sama ada pembedahan laparotomy ataupun pembedahan laparoskopik. Kedua-dua kaedah ini digunakan untuk mendapatkan visual dan akses terhadap kawasan pelvis. Ini membolehkan doktor untuk memilih untuk memotong tiub yang terjejas dan membuang kandungan ektopik tersebut (salpingotomy) atau membuang tiub yang terjejas itu sekali (salpingectomy).

Sekiranya anda mempunyai tanda-tanda dan simptom-simptom yang menunjuk ke arah kehamilan ektopik, segera berjumpa dengan doktor anda bagi mendapatkan pemeriksaan fizikal, ujian pengesahan dan juga pilihan rawatan yang sesuai dengan keadaan anda. Anda juga mampu untuk mendapatkan maklumat yang lebih lanjut tentang peluang kehamilan anda yang akan datang berdasarkan rawatan yang dipilih oleh doktor anda. Rawatan awal dan perhatian doktor yang mencukupi akan memberi kesan yang positif kepada si ibu. Justeru, elakkan berlengah sekiranya anda khuatir tentang keadaan diri dan juga kandungan anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan