home

Bagaimana kami boleh memperbaikinya?

close
chevron
Artikel ini mengandungi maklumat yang salah dan tidak tepat.
chevron

Sila beritahu kami apa yang salah.

wanring-icon
Anda tidak wajib mengisi maklumat ini. Sila klik Hantar Pendapat Saya di bawah untuk terus membaca.
chevron
Artikel ini tidak menyediakan info selengkapnya
chevron

Sila beritahu kami apa yang salah.

wanring-icon
Anda tidak wajib mengisi maklumat ini. Sila klik Hantar Pendapat Saya di bawah untuk terus membaca.
chevron
Hmm... Saya ada soalan!
chevron

Kami tidak boleh menawarkan khidmat nasihat kesihatan peribadi, tapi kami mengalu-alukan pendapat anda! Sila isi kotak di bawah.

wanring-icon
Jika anda mengalami kecemasan, sila hubungi pihak kecemasan atau lawati bilik kecemasan terdekat dengan kadar segera.

Kebaikan Berhenti Merokok Dari Aspek Kesihatan

Kebaikan Berhenti Merokok Dari Aspek Kesihatan

Apabila kita merokok, ribuan bahan kimia akan dilepaskan ke dalam badan anda. Hasilnya bukan sahaja merosakkan paru-paru anda, tetapi jantung, struktur badan dan pelbagai masalah lain boleh berlaku. Walaupun anda telah merokok selama bertahun-tahun, namun anda boleh menghentikan kesan ini dan mengembalikan manfaat kesihatan kepada badan anda bermula dari jam pertama anda berhenti merokok sehingga dekad selepas anda berhenti. Berikut adalah beberapa kebaikan berhenti merokok jika anda bermula sekarang!

Kebaikan berhenti merokok mengikut tempoh:

20 minit

Kesan positif atau kebaikan berhenti merokok bermula 20 minit selepas rokok terakhir anda. Tekanan darah dan nadi akan mula kembali ke tahap yang lebih normal. Di samping itu, serat dalam tiub bronkial yang sebelum ini tidak bergerak dengan baik kerana pendedahan berterusan terhadap asap akan mula bergerak kembali. Ia bermanfaat untuk paru-paru: serat ini membantu menggerakkan bakteria dan gangguan (perengsa) keluar dari paru-paru, sekali gus membantu mengurangkan risiko jangkitan.

8 jam

Dalam tempoh 8 jam, tahap karbon monoksida anda akan kembali ke paras yang lebih normal. Karbon monoksida adalah bahan kimia yang terdapat dalam asap rokok yang menggantikan zarah oksigen dalam darah, menggurangkan jumlah oksigen yang diterima oleh tisu anda.

Apabila karbon monoksida hilang, tahap oksigen anda akan meningkat kepada tahap yang lebih normal. Ini meningkatkan oksigen yang membantu menyuburkan tisu dan saluran darah yang berkurangan semasa anda merokok.

24 jam

Dengan masa satu hari, anda telah menurunkan risiko serangan jantung anda. Hal ini disebabkan oleh penyempitan pembuluh darah dan arteri yang berkurang serta peningkatan kadar oksigen yang masuk ke jantung untuk meningkatkan fungsinya.

Tahap nikotin dalam aliran darah anda juga menurun kepada jumlah yang sangat kecil pada masa ini.

48 jam

Pada tempoh 48 jam, saraf yang sebelum ini rosak akan diperbaiki semula. Anda mungkin akan dapat merasakan deria rasa dan deria bau yang terganggu disebabkan merokok akan menjadi lebih baik berbanding sebelumnya.

72 jam

Dalam masa tiga hari selepas berhenti merokok, anda akan bernafas dengan lebih mudah. Ini kerana tiub bronkial di dalam paru-paru telah mula berehat dan membuka lebih banyak lagi ruang. Ini menjadikan pertukaran udara di antara karbon dioksida dan oksigen lebih mudah. Di samping itu, keupayaan paru-paru anda, atau kemampuan paru-paru untuk mengisi udara, turut meningkat.

Satu minggu

Kejayaan untuk berhenti merokok selama seminggu adalah penting bukan sahaja untuk kesihatan anda tetapi juga satu proses permulaan anda untuk mendapat kebaikan berhenti merokok jangka masa panjang. Perokok yang berjaya berhenti dalam masa seminggu, adalah sembilan kali berkemungkinan akan berjaya berhenti merokok. Sekiranya anda boleh melakukannya hingga satu minggu, anda boleh membuatnya seumur hidup.

Dua minggu

Dalam tempoh dua minggu berhenti merokok, anda mungkin mula melihat anda bukan hanya bernafas lebih mudah tetapi anda juga dapat berjalan lebih mudah. Ini adalah kesan dari peningkatan peredaran dan pengoksigenan.

Menurut fakta dari Universiti Michigan, fungsi paru-paru anda juga akan meningkat sebanyak 30 peratus, apabila ada berjaya berhenti merokok dalam masa dua minggu.

Satu bulan

Anda boleh mengalami banyak perubahan kesihatan yang berkaitan apabila anda mula berhenti merokok. Seseorang individu akan dapat merasakan peningkatan tenaga keseluruhan. Anda juga dapat melihat bahawa banyak gejala yang berkaitan dengan merokok telah menurun, seperti kesesakan sinus dan sesak nafas apabila senaman.

Di samping manfaat ini, serat di paru-paru yang membantu menjaga paru-paru dapat tumbuh dengan sihat. Gentian ini boleh membantu mengurangkan pembentukan lendir yang berlebihan dan melindungi daripada jangkitan bakteria.

Tiga bulan

Dalam masa tiga bulan selepas berhenti, seorang wanita boleh meningkatkan kesuburannya serta mengurangkan risiko bayi itu dilahirkan dengan pra-matang.

Enam bulan

Selepas enam bulan berhenti, ramai individu menyedari bahawa mereka mampu mengatasi masalah atau isu berkaitan tekanan yang datang tanpa rasa atau keinginan mereka perlu merokok.

Mereka juga menyedari bahawa mereka kurang berkahak atau lendir. Ini kerana saluran pernafasan kurang mengalami kerengsaan tanpa pendedahan berterusan terhadap asap rokok dan bahan kimia yang terkandung dalam rokok.

Satu tahun

Selepas setahun berhenti merokok, paru-paru anda akan mengalami peningkatan kesihatan dramatik dari segi keupayaan dan fungsi. Anda akan menyedari betapa mudahnya anda bernafas apabila anda melakukan aktiviti atau pergerakan fizikal dan batuk yang berkurangan berbanding ketika anda merokok.

Di samping manfaat kesihatan ini, anda akan menyimpan sejumlah wang yang mungkin tidak anda sangka. Harga rokok adalah mahal. Jika anda merokok satu kotak rokok sehari, anda akan menyimpan ribuan ringgit dalam masa setahun, cubalah.

Tiga tahun

Dalam masa tiga tahun, risiko serangan jantung telah menurun seperti orang yang tidak merokok.

Merokok bukan sahaja mengehadkan aliran oksigen ke jantung, ia juga merosakkan lapisan arteri. Kesannya tisu lemak mula terbina, menjadikan seseorang individu itu lebih berkemungkinan akan mengalami serangan jantung atau angin ahmar. Berhenti merokok boleh membantu menterbalikkan kesan ini dan memberikan hati yang lebih sihat pada tahun-tahun akan datang.

Lima tahun

Menurut University North Carolina, lima tahun selepas anda berhenti merokok, risiko kematian anda yang disebabkan kanser paru-paru akan menurun sebanyak separuh berbanding ketika anda merokok. Banyak bukan?

15 tahun

Selepas 15 tahun, risiko serangan jantung dan strok anda telah menurun sama dengan orang yang tidak pernah merokok sebelum ini. Keupayaan untuk berhenti merokok selama 15 tahun merupakan tonggak penting untuk kesihatan dan keseluruhan kesejahteraan anda.

Mulakan sekarang

Dengan begitu banyak kebaikan berhenti merokok, ia mungkin sudah tiba masanya untuk anda cuba berhenti sekarang. Jika anda berniat untuk berhenti merokok, annda boleh mulakan dengan membuat pelan menggunakan sumber dari Klinik Berhenti Merokok berhampiran dengan anda.

Anda boleh mendapatkan bantuan doktor, keluarga dan rakan anda untuk menyokong anda dalam usaha anda menjalani gaya hidup yang lebih sihat dan bebas rokok. Pastikan untuk meraikan setiap usaha dan kejayaan kecil anda ke arah untuk berhenti merokok.

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber Rujukan

What happens when you quit smoking?

https://www.healthline.com/health/what-happens-when-you-quit-smoking/ Accessed on Nov 22, 2018

Gambar penulis
Maklumat perubatan disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
Ditulis oleh Asyikin Md Isa
Disemak pada [date}
x