Alamak, period lambat lagi! Ada ke cara mengatasi period lambat supaya ia tidak berlaku lagi?
Lambat datang haid boleh berlaku disebabkan pelbagai perkara. Selain kehamilan, antara punca lazimnya ialah ketidakseimbangan hormon dan masalah kesihatan yang serius.
Bagi wanita, ada 2 waktu lazim di mana haid akan datang secara tidak teratur. Waktu pertama adalah pada masa mula-mula datang haid. Yang kedua pula apabila menopaus bermula.
Jom baca lebih lanjut untuk mengetahui cara atasi period lambat dan apa yang anda boleh lakukan untuk memastikan haid datang dengan lebih teratur.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Wanita, sila dapatkannya di sini.
5 cara mengatasi period lambat
Ramai wanita yang mula rasa risau sekiranya period datang lambat. Tidak dinafikan, kitaran haid yang tidak stabil ini boleh menimbulkan pelbagai masalah kesihatan.
Haid boleh buatkan wanita rasa penat, gelisah dan juga stres. Ada di antara kita yang mengalami simptom yang teruk dan sering diganggu senggugut.
Jika anda mempunyai haid yang berat dan kesakitan yang serius, pastikan anda berjumpa doktor dengan segera. Namun, jika anda alami ketidakselesaan setiap kali haid, ada banyak perkara yang anda boleh lakukan untuk mengurangkannya.
Di bawah, kami akan terangkan mengenai cara mengatasi period datang lambat supaya anda boleh menjalani kehidupan dengan lebih sihat!
Senaman, tidur dengan mencukupi dan pemakanan yang sihat mungkin dapat membantu meredakan simptom PMS anda, termasuklah rasa moody dan juga sakit perut yang teruk!
1. Jangan lupa bersenam
Jika anda mempunyai kerja sedentari – terpaksa menghadap komputer sepanjang hari dan banyak duduk – jangan sesekali berlengah untuk melakukan senaman.
Tahukah anda, banyak duduk dan kurang bersenam bukan sahaja akan membawa mudarat terhadap kesihatan, malahan ia juga akan buatkan haid menjadi tidak teratur!
Menurut sebuah kajian yang dimuatkan dalam Journal of Education and Health Promotion, senaman yang kerap dapat mengurangkan risiko obesiti, membuatkan anda rasa bertenaga dan segar serta dapat membantu meregulasi haid!
Jadi, jom mula menari, berjoging atau sertai kelas aerobik di tempat anda. Pastikan anda bersenam sekurang-kurangnya 30 minit sehari.
2. Tidur, cahaya matahari dan vitamin D yang mencukupi
Kajian mendapati, gangguan tidur amat lazim dalam kalangan wanita yang menghidap PMS teruk. Tidur yang tidak mencukupi juga boleh mengganggu mood, kitaran hormon dan juga haid.
Pendedahan cahaya matahari juga memainkan peranan yang penting. Melanin merupakan bahan kimia yang akan menghasilkan melatonin, sejenis hormon yang membantu kita tidur lebih lena pada waktu malam.
Selain itu, cahaya matahari juga merupakan sumber utama vitamin D. Hampir 90% vitamin D yang kita perlukan datangnya daripada cahaya matahari. Hanya 10% sahaja datang daripada makanan. Nampak tak kaitan antara ketiga-tiga faktor ini?
3. Kawal stres untuk elak period lambat
Stres boleh mengganggu penghasilan hormon wanita. Kita semua tahu bahawa hormon mengawal kitaran haid. Dengan mengurangkan stres, kita dapat mengelakkan period datang lambat.
Apakah cara terbaik untuk mengawal stres? Antara langkah yang boleh anda lakukan:
- Membaca
- Berjalan kaki
- Dengar lagu kegemaran anda
- Menonton televisyen
- Bersenam
Senaman yang terbaik untuk mengawal stres ialah yoga. Selain itu, anda juga boleh lakukan meditasi. Menurut dapatan dalam Journal of Alternative and Complementary Medicine, yoga selama 5 kali seminggu dapat meningkatkan mood dan membantu anda mengawal stres.
[embed-health-tool-ovulation]
4. Amalkan pemakanan yang sihat
Satu lagi strategi yang berkesan untuk elakkan period lambat adalah mengamalkan diet yang sihat dan seimbang. Pengambilan makanan yang berkhasiat dapat membantu mengekalkan keseimbangan hormon badan.
Buah-buahan, sayuran hijau, kekacang, makanan laut dan daging merupakan pilihan terbaik untuk membentuk diet sihat.
Jika anda mempunyai berat badan berlebihan, period yang tidak stabil mungkin berlaku disebabkan obesiti. Selain itu, sering berlapar, makan terlalu banyak makanan tidak sihat dan kekurangan nutrisi juga boleh menjadi punca haid tidak teratur.
5. Gunakan remedi yang ada di rumah
Sebenarnya, ada banyak bahan atau makanan yang boleh kita ambil untuk membantu mendapatkan haid yang stabil. Apakah bahan-bahan tersebut? Antaranya:
- Kunyit: Kunyit mempunyai efek antiradang yang mungkin dapat membantu melegakan senggugut. Anda boleh cuba buat susu kunyit dan lihat kesannya.
- Teh halia: Teh halia dapat mengurangkan simptom haid termasuklah masalah period.
Walau bagaimanapun, keberkesanannya mungkin berbeza mengikut individu.
Malah, tidak ada sebarang kajian saintifik yang dapat membuktikan bahawa bahan atau makanan di atas dapat membantu meregulasi haid.