backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan

Pecahkan Barang Dalam Bilik Lepaskan Marah, Adakah Berkesan Tangani Stres?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 14/03/2022

    Pecahkan Barang Dalam Bilik Lepaskan Marah, Adakah Berkesan Tangani Stres?

    Pernahkah anda melihat adegan di mana seseorang itu memecahkan barang-barang di ruangan khas sebagai cara atasi kemarahan? Ya, ia sememangnya wujud dan ia dilakukan di sebuah bilik bernama rage room atau bilik lepaskan marah.

    Adakah aktiviti ini benar-benar bermanfaat, atau berkemungkinan memicu tabiat yang kurang sihat? 

    Apa itu rage room atau bilik lepaskan marah?

    Kebelakangan ini, terdapat banyak perkhidmatan atau servis yang menawarkan sewaan ruangan khusus bagi sesiapa yang ingin melepaskan rasa marah atau geram.

    Ruangan ini menyediakan segala kelengkapan untuk anda menghancurkan barang-barang yang terdapat di dalamnya.

    Ia juga biasanya dilengkapi dengan ruangan-ruangan palsu yang direka seperti ruang tamu atau bilik tidur, termasuklah perabot dan kelengkapan lain.

    Di ruangan ini, anda perlu memakai pakaian keselamatan sebelum dibenarkan untuk menggunakan peralatan yang disediakan.

    Ada sesetengah ruangan yang menyediakan botol-botol kaca atau perabot seperti televisyen untuk dipecahkan.

    Bilik lepaskan marah seperti ini disediakan sebagai salah satu terapi atau cara atasi kemarahan.

    Namun, timbul persoalan sama ada ia bermanfaat dan memberi kebaikan kepada individu yang menggunakannya. 

    Cara atasi kemarahan: Lepaskan marah satu perkara yang baik?

    cara atasi kemarahan

    Mencari cara untuk menyatakan kemarahan anda sebenarnya baik untuk kesihatan diri.

    Menurut Dr. Scott Bea, Ahli Psikologi Klinikal, kemarahan yang terpendam sebenarnya boleh memicu banyak masalah lain kepada seseorang individu tersebut.

    Ia boleh menyebabkan kemunculan simptom-simptom fisiologi atau psikologi seperti keresahan. Oleh itu, cara untuk kita menguruskan kemarahan tersebut adalah perlu.

    Namun menurut Dr. Scott Bea lagi, kita biasanya tidak tahu cara yang terbaik untuk menguruskan kemarahan yang dirasakan.

    Dr Scott Bea menambah, memecahkan barang melalui bilik lepaskan marah mungkin membantu seseorang itu meluahkan kemarahan mereka dengan cara yang baik, namun ia hanya bersifat sementara waktu sahaja.

    Cara atasi kemarahan melalui bilik lepaskan marah ini tidak boleh membantu seseorang yang mempunyai masalah kemarahan yang kronik.

    Kebaikan yang mungkin anda dapat melalui rage room

    Walaupun tidak terdapat banyak kajian yang menyatakan manfaat bilik lepaskan marah ini, namun ia mungkin boleh memberikan beberapa kebaikan kepada anda. Antaranya ialah:

    #1. Rasa seperti diberikan kuasa

    Kemarahan boleh berpunca daripada rasa tidak berdaya dan kurang kawalan ke atas sesuatu situasi.

    Mencari cara untuk menyalurkan kemarahan anda, walaupun secara ringkas atau sementara, boleh membantu anda berasa seperti menuntut semula emosi.

    Kesannya, anda mungkin berasa lebih berkuasa dan bersedia untuk menangani situasi itu semula.

    #2. Kebebasan untuk lepaskan marah tanpa sangkaan buruk orang lain

    Sifat marah merupakan antara emosi yang tidak diterima ramai, terutamanya di tempat-tempat awam.

    Apatah lagi jika anda melepaskannya di tempat umum sehingga menimbulkan situasi genting atau tidak selesa kepada orang lain.

    Oleh itu, penggunaan bilik lepaskan marah seperti ini boleh menjadi satu cara atasi kemarahan yang baik tanpa sangkaan buruk orang lain.

    #3. Ruang terbaik untuk teroka emosi anda

    Di bilik lepaskan marah, anda berpeluang untuk meneroka emosi-emosi anda dengan cara yang lebih tertutup dan selamat.

    Ini kerana, bilik ini mempunyai sempadan untuk membantu anda menguruskan kemarahan dengan selamat. 

    Risiko yang mungkin berlaku apabila anda guna bilik lepaskan marah

    Aktiviti memecahkan barang dalam bilik ini sememangnya boleh membantu anda menyalurkan kemarahan.

    Namun, amalan ini boleh menyebabkan tingkah laku yang kasar, ganas dan agresif jika tidak dikawal dengan baik.

    Perlu diketahui, bahawa penggunaan rage room sebagai cara atasi kemarahan merupakan salah satu kaedah untuk melepaskannya sahaja, bukan untuk menghalangnya secara total.

    Anda boleh memecahkan barang sesuka hati anda, tetapi ia tidak dapat menyelesaikan masalah dasar yang menyebabkan kemarahan itu. 

    Cara atasi kemarahan lain yang boleh anda lakukan

    cara atasi kemarahan

    Memasuki bilik lepaskan marah ini bukanlah satu-satunya jalan untuk anda uruskan kemarahan yang terpendam. Sebenarnya, ada banyak lagi cara yang lebih sihat untuk anda lakukannya. Antaranya ialah:

    #1. Lakukan teknik relaksasi

    Ketika anda sedang mengalami kemarahan, cuba lakukan teknik-teknik relaksasi seperti menarik nafas berulang kali atau melakukan senaman yoga.

    Anda juga boleh bersenam kerana senaman boleh menenangkan otak dan emosi anda.

    #2. Ketahui punca dan cara atasinya

    Kenal pasti apakah punca atau faktor yang menyebabkan anda mudah menjadi marah. Setelah itu, atasi punca tersebut dengan cara yang sesuai.

    Salurkan kemarahan yang dialami dengan kaedah yang tepat agar anda tidak begitu teringin untuk melepaskannya kepada objek atau individu lain. 

    #3. Belajar cara bersosial yang sihat

    Dengan mempelajari kaedah bersosial yang sihat, anda akan mempunyai hubungan sosial yang lebih baik dengan individu lain. Dengan itu, anda lebih sukar untuk berasa marah atau stres. 

    #4. Bijak dalam menyelesaikan masalah

    Hal-hal seperti isu kekeluargaan atau pekerjaan sememangnya agak sukar untuk diselesaikan. Namun, tidak bermakna anda tidak boleh cuba untuk memperbaikinya.

    Elakkan penglibatan emosi sewaktu mengendalikan masalah yang berlaku. Lakukannya dengan tenang dan dapatkan pandangan daripada individu lain jika perlu. 

    #5. Tukar cara berfikir jika alami masalah

    Mungkin anda perlu mengubah cara anda memandang masalah yang sedang berlaku.

    Ingatlah, sifat marah tidak akan menyelesaikan masalah yang berlaku, malah boleh memburukkan lagi keadaan sehingga boleh membuatkan anda menyesal di kemudian hari. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 14/03/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan