Kenali Tanda Diabetes Jenis 1, Jika Muncul Simptom Ini, Jangan Berlengah Jumpa Doktor

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nana Muhammad · Disemak pada 28/12/2021

    Kenali Tanda Diabetes Jenis 1, Jika Muncul Simptom Ini, Jangan Berlengah Jumpa Doktor

    Penyakit diabetes bukan sahaja dihidapi oleh golongan yang berusia, malahan kanak-kanak dan remaja juga tidak terkecuali daripada mengalaminya. Malangnya, masih ramai yang mungkin tidak sedar tanda diabetes yang berlaku terhadap dirinya hingga mengabaikan simptom-simptom yang kelihatan.

    Kebanyakan penderita diabetes, khususnya diabetes jenis dua sering kali tidak merasai apa-apa simptom diabetes pada awalnya.

    Lazimnya, mereka hanya akan mengetahui kondisi sebenar setelah melakukan pemeriksaan gula darah secara tidak sengaja.

    Hal tersebut memang sering terjadi lantaran gejala awal diabetes jenis dua berkembang secara perlahan, tidak seperti diabetes jenis satu yang tandanya muncul dengan cepat sekali.

    Namun, jika tanda diabetes disedari daripada awal, individu tersebut boleh menerima rawatan dengan segera. Secara tidak langsung, anda boleh mengurangkan risiko komplikasi yang lebih serius seperti amputasi kaki!

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kencing Manis, sila dapatkannya di sini.

    Berikut adalah beberapa simptom diabetes yang perlu diberi perhatian:

    Tanda diabetes #1 yang harus diawasi: Kerap membuang air kecil

    tanda diabetes

    Anda kerap terjaga malam semata-mata hendak ke tandas? Jaga-jaga, ia mungkin tanda diabetes pertama anda.

    Poliuria adalah suatu keadaan di mana tubuh kita kerap membuang air kecil dalam jumlah yang lebih banyak daripada kebiasaannya, iaitu lebih daripada tiga liter sehari berbanding jumlah normal bagi orang dewasa (satu hingga dua liter).

    Ini adalah salah satu gejala utama diabetes jenis satu dan boleh menyebabkan dehidrasi tahap teruk serta mempengaruhi fungsi ginjal jika tidak dirawat.

    Poliuria juga boleh terjadi dalam kalangan penghidap diabetes jika kadar glukosa darah meningkat terlalu tinggi.

    Apabila tahap glukosa darah menjadi terlalu tinggi, tubuh kita akan berusaha untuk menyingkirkan kandungan gula tambahan tersebut melalui buah pinggang.

    Apabila ini berlaku, buah pinggang akan membuang banyak air sekali gus dengan gula tambahan tersebut.

    Oleh hal yang demikian, ia akan membuatkan anda semakin kerap membuang air kecil, lebih-lebih lagi pada waktu malam.

    Sekiranya anda sering mengalami keadaan seperti ini, ia merupakan tanda bahawa kadar gula anda terlalu tinggi.

    Anda boleh menguji tahap gula darah sendiri sekiranya ada ujian gula darah di rumah.

    Seandainya tiada, catatkan seberapa kerap anda membuang air kecil dalam sehari dan dapatkan konsultasi doktor.

    #2. Sentiasa lapar dan dahaga

    Polifagia ialah istilah perubatan yang digunakan untuk menggambarkan rasa lapar yang keterlaluan atau peningkatan selera makan.

    Ia merupakan salah satu daripada tiga tanda utama diabetes, bersama-sama dengan:

    • Polidipsia: Rasa dahaga yang keterlaluan
    • Poliuria: Kekerapan membuang air kecil

    Biasanya, rasa lapar ialah suatu tindak balas badan terhadap perkara biasa seperti senaman intensif atau aktiviti berat lain, tetapi juga boleh menjadi tanda yang lebih kronik seperti penyakit diabetes jenis satu.

    Individu yang menghidap diabetes tidak mempunyai insulin atau bertindak balas terhadap insulin seperti kebiasaan.

    Oleh sebab itu, glukosa tidak dapat diproses oleh badan seperti biasa, lalu ia boleh menyebabkan tahap gula dalam darah merosot.

    Apabila keadaan ini berlaku, di mana tahap gula dalam darah menurun secara tiba-tiba, badan akan menganggap bahawa anda kelaparan dan memerlukan lebih glukosa untuk berfungsi.

    Isyarat ini akan diterjemahkan sebagai satu tanda lapar oleh badan. Rasa lapar yang berterusan adalah antara simptom diabetes utama yang boleh diperhatikan.

    Namun, hanya dengan makan tidak akan menghilangkan rasa lapar pada penghidap diabetes kerana ini akan menambahkan kadar glukosa darah yang sudah tinggi.

    Cara terbaik untuk menurunkan kadar gula darah adalah dengan bersenam.

    Senaman boleh membantu merangsang pengeluaran insulin dan mengurangkan kadar gula dalam darah. Sekiranya rasa lapar masih berlanjutan, anda mungkin perlu berjumpa doktor untuk rundingan lebih lanjut.

    Selain itu, polidipsia ialah istilah yang diberikan untuk rasa dahaga yang berlebihan dan merupakan salah satu gejala awal diabetes. Ia biasanya disertai dengan kekeringan mulut, sama ada sementara atau berpanjangan.

    Rasa dahaga merupakan tindak balas tubuh yang normal terhadap persekitaran.

    Namun, jika anda berasa dahaga sepanjang masa atau lebih kerap daripada biasa dan berterusan walaupun setelah mengambil jumlah air yang banyak, ia boleh menjadi tanda diabetes anda tidak terkawal.

    Peningkatan rasa dahaga dalam kalangan penghidap diabetes kadang-kadang boleh menjadi indikasi tahap gula darah lebih tinggi daripada biasa.

    Oleh sebab kandungan gula darah yang tinggi, pesakit diabetes akan kerap membuang air kecil untuk menyingkirkan glukosa berlebihan dalam darah.

    Kekerapan membuang air kecil inilah selanjutnya akan membuatkan individu tersebut berasa dahaga dengan lebih kerap.

    3. Kehilangan berat badan tanda diabetes juga?

    tanda diabetes

    Antara tanda diabetes yang mungkin berlaku adalah berat badan yang semakin berkurangan. Mengapa sentiasa lapar, tetapi masih hilang berat badan? Ini jawapannya!

    Tahap gula dalam darah yang tinggi boleh menyebabkan kehilangan berat badan dalam jangka masa yang singkat, antara 2 hingga 3 kilogram dalam masa 2 atau 3 bulan.

    Jika anda sememangnya sedang berusaha menurunkan berat badan, mungkin anda akan berasa gembira. Akan tetapi, hakikatnya kehilangan berat badan ini bukanlah sesuatu yang menyihatkan.

    Keadaan ini boleh berlaku apabila hormon insulin tidak berfungsi untuk membekalkan glukosa ke dalam sel-sel di mana ia boleh digunakan sebagai tenaga.

    Badan akan menganggap ia signal kelaparan dan mengurai lemak pada otot sebagai sumber tenaga alternatif.

    Jika proses penguraian tersebut berlaku secara berterusan, jisim lemak dan otot akan berkurangan dan secara tidak langsung berat badan anda menurun.

    4. Sering berasa keletihan

    tanda diabetes

    Ketika badan anda sedang cuba untuk mengimbangi kekurangan glukosa, ia akan memberikan impak kepada tubuh, menjadikan anda keletihan.

    Walaupun sel-sel tubuh anda tidak akan mendapat glukosa yang mencukupi seperti normal, ia akan terus bekerja keras untuk memastikan fungsi tubuh sentiasa dalam keadaan baik.

    Oleh sebab tidak mendapat tenaga yang mencukupi meskipun telah bekerja keras, badan anda akan mula rasa letih.

    Selain itu, anda perlu bangun untuk membuang air kecil beberapa kali pada waktu malam, secara tidak langsung membuatkan tidur anda terganggu.

    Jika letih, emosi anda akan turut terganggu, menjadikan anda cepat marah.

    5. Penglihatan semakin kabur

    Salah satu tanda diabetes umum adalah penglihatan kabur, yang merujuk kepada kehilangan ketajaman penglihatan dan ketidakupayaan untuk melihat perincian yang baik.

    Penglihatan kabur boleh mempengaruhi kedua-dua mata (penglihatan kabur dua hala).

    Walau apa pun puncanya, ia tidak boleh dibiarkan begitu sahaja dan seharusnya dirawat kerana ia boleh menjadi petunjuk masalah mata yang lebih serius.

    Apabila tahap glukosa dalam darah adalah tinggi, ia akan menjejaskan pembuluh darah kecil dalam tubuh seperti dalam mata kita. Jika pembuluh darah dalam mata terjejas, ia boleh mengubah bentuk kanta dan mata.

    Keadaan ini akan menyebabkan penglihatan anda menjadi kabur. Walau bagaimanapun, keadaan ini boleh menjadi normal atau hampir normal apabila tahap gula dalam darah berbalik kepada asal.

    Tahap gula darah yang tinggi, jika dibiarkan untuk tempoh yang panjang, cenderung menyebabkan kerosakan kekal dan berisiko buta.

    Walau bagaimanapun, penglihatan kabur juga boleh terjadi akibat kadar gula darah yang sangat rendah. Jika berlaku demikian, penglihatan anda akan pulih setelah tahap glukosa darah kembali ke tahap normal.

    Sekiranya tahap gula darah anda berubah dari semasa ke semasa, anda mungkin akan sedar bahawa penglihatan anda bertambah baik atau buruk dalam jangka masa tertentu.

    Jika berasakan wujudnya masalah mata, rujuklah doktor dengan segera untuk mendapatkan rawatan yang sepatutnya.

    Inti pati

    Walaupun tubuh kita berbeza bagi setiap individu, namun tanda diabetes yang disenaraikan di atas adalah simptom diabetes yang lazim dilaporkan oleh penghidapnya.

    Jika anda rasa terdapat perubahan dalam aktiviti seharian anda seperti kerap ke tandas meskipun tidak minum banyak air, dapatkan rundingan doktor dengan segera.

    Lebih baik untuk anda mengenal pasti penyakit diabetes daripada awal sebelum timbulnya komplikasi yang tidak diingini.

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nana Muhammad · Disemak pada 28/12/2021

    Iklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    Iklan
    Iklan
    Iklan