backup og meta

Penjagaan Jantung Untuk Orang Kesayangan Yang Menghidap Diabetes

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 15/09/2022

    Penjagaan Jantung Untuk Orang Kesayangan Yang Menghidap Diabetes

    Menurut Persekutuan Diabetes Antarabangsa (IDF), hampir 463 juta penduduk di seluruh dunia menghidap diabetes pada tahun 20191. Yang lebih membimbangkan ialah risiko untuk pesakit diabetes menghidap masalah kardiovaskular seperti penyakit jantung dan strok turut meningkat jika diabetes mereka tidak diurus dengan efektif2.

    Diabetes yang tidak terkawal juga mungkin mengakibatkan komplikasi kesihatan yang lebih kronik seperti amputasi anggota badan. Bagi menurunkan risiko penyakit jantung dan meningkatkan kualiti hidup, adalah amat penting untuk pesakit diabetes mengamalkan gaya hidup yang sihat, disokong dengan persekitaran positif.

    Kepentingan Penjaga Dalam Mengurus Pesakit Diabetes Dengan Efektif

    Persekitaran yang positif melibatkan sokongan daripada keluarga atau penjaga, dalam usaha membantu pesakit diabetes menguruskan penyakit dengan lebih berkesan. Penjaga pesakit diabetes boleh membantu dengan menggalakkan pesakit mengambil makanan yang berkhasiat, memastikan pengambilan ubat tepat pada masanya, bersenam bersama-sama, dan memberi motivasi atau bantuan untuk meringankan bebanan penyakit. Yang penting, penjaga haruslah sentiasa memberi sokongan emosi dan kekal positif.

    pesakit diabetes

    Penggunaan GLP-1 RA Untuk Rawatan & Pengurusan Diabetes

    Berita baiknya, inovasi teknologi farmaseutikal giat membangun dengan pelbagai jenis terapi ubat antidiabetik baharu yang boleh membantu pesakit diabetes dan juga meringankan beban penjaga.

    Inovasi rawatan diabetes baru seperti glucagon-like-peptide-1 receptor agonists (GLP-1 RA) bukan sahaja dapat membantu pesakit mencapai kawalan indeks glisemik (GI) yang baik, malah penurunan berat badan dengan lebih berkesan dan perlindungan terhadap risiko penyakit kardiovaskular.

    GLP-1 RA berfungsi meniru aktiviti dan fungsi hormon semula jadi GLP-1 di dalam badan yang bertanggungjawab meningkatkan pengeluaran insulin yang diperlukan oleh tubuh, dan meningkatkan jangka masa kekenyangan. Ia melambatkan proses pencernaan makanan, lalu mencegah risiko pengambilan makanan secara berlebihan. Ini dapat mencegah kenaikan paras gula yang mendadak selepas makan, dan kenaikan berat badan yang tidak seimbang3.

    GLP-1 RA turut disarankan sebagai terapi barisan pertama untuk pesakit diabetes yang menghidap penyakit kardiovaskular aterosklerotik (ASCVD), dan pesakit yang berisiko tinggi menghidap penyakit kardiovaskular. Ia berupaya menurunkan risiko kematian akibat penyakit kardiovaskular, ataupun serangan jantung (Myocardial Infarction) atau strok yang tidak membawa maut4.

    Jika dibandingkan dengan suntikan ubat diabetes biasa seperti insulin yang memerlukan beberapa kali suntikan dalam masa sehari, GLP-1 RA hanya memerlukan suntikan sebanyak sehari atau seminggu sekali. Ia juga didatangi di dalam bentuk alat suntikan pen dengan jarum yang halus.

    Dengan segala kelebihan ini,  terapi GLP-1 RA berupaya menawarkan gabungan yang memudahkan pesakit untuk menguruskan diabetes mereka dengan lebih efektif. Malah, ia mungkin juga memudahkan penjaga untuk memberikan penjagaan yang optimum kepada pesakit.

    Dalam apa jua keadaan, doktor yang bertauliah merupakan individu yang paling berkelayakan dalam menentukan jenis rawatan dan ubat diabetes yang bersesuaian dengan keperluan anda. Pengesanan awal juga satu langkah pencegahan utama. Jika anda mempunyai berat badan berlebihan, menghidap diabetes, atau berisiko menghidapnya, jalani saringan dan pemeriksaan kesihatan secara berkala bagi membantu anda mencapai kualiti hidup yang lebih baik.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Muhamad Firdaus Rahim

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 15/09/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan