home

Bagaimana kami boleh memperbaikinya?

close
chevron
Artikel ini mengandungi maklumat yang salah dan tidak tepat.
chevron

Sila beritahu kami apa yang salah.

wanring-icon
Anda tidak wajib mengisi maklumat ini. Sila klik Hantar Pendapat Saya di bawah untuk terus membaca.
chevron
Artikel ini tidak menyediakan info selengkapnya
chevron

Sila beritahu kami apa yang salah.

wanring-icon
Anda tidak wajib mengisi maklumat ini. Sila klik Hantar Pendapat Saya di bawah untuk terus membaca.
chevron
Hmm... Saya ada soalan!
chevron

Kami tidak boleh menawarkan khidmat nasihat kesihatan peribadi, tapi kami mengalu-alukan pendapat anda! Sila isi kotak di bawah.

wanring-icon
Jika anda mengalami kecemasan, sila hubungi pihak kecemasan atau lawati bilik kecemasan terdekat dengan kadar segera.

Penyakit Buah Pinggang Kronik: Ketahui Tanda, Punca, Rawatan Dan Pencegahannya

Penyakit Buah Pinggang Kronik: Ketahui Tanda, Punca, Rawatan Dan Pencegahannya

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Penyakit Buah Pinggang, sila dapatkannya di sini.

Penyakit ginjal kronik atau kegagalan buah pinggang kronik merupakan satu kondisi yang menandakan buah pinggang sedang mengalami kemerosotan fungsi secara perlahan-lahan.

Jika kerosakan tersebut telah mencapai ke tahap yang serius, buah pinggang boleh berhenti berfungsi secara normal.

Kondisi ini dikenali sebagai kegagalan buah pinggang atau penyakit renal peringkat akhir (end-stage renal disease – ESRD).

Penyakit ginjal kronik boleh terjadi disebabkan diabetes, tekanan darah tinggi dan kondisi lain. Malah, hampir 2/3 daripada kes kegagalan buah pinggang adalah berpunca daripada diabetes dan masalah tekanan darah tinggi.

Pesakit yang telah mengalami kegagalan buah pinggang memerlukan dialisis atau pemindahan buah pinggang untuk terus hidup.

Penyakit ginjal kronik merangkumi kesemua 5 tahap kecederaan buah pinggang, bermula daripada kecederaan ringan pada tahap 1 hingga kegagalan buah pinggang pada tahap 5.

Tahap ini menentukan kadar kecekapan buah pinggang untuk mengkumuhkan bahan buangan dan cecair lebihan dari darah. Pada tahap yang serius, buah pinggang akan jadi terbeban kerana tidak lagi mampu melakukan fungsinya seperti biasa.

Buah pinggang boleh henti berfungsi secara tiba-tiba dan jika ini berlaku, pesakit akan rasa amat sakit disebabkan oleh pengumpulan bahan buangan atau toksin di dalam darah.

Simptom penyakit ginjal kronik

penyakit ginjal kronik

Pada tahap awal, penyakit ginjal kronik tidak menunjukkan banyak tanda. Tetapi, perlu juga diingat bahawa simptom kegagalan buah pinggang adalah tidak spesifik – ia boleh juga berlaku disebabkan penyakit lain.

Malah, banyak pesakit yang menghidap penyakit ini tidak akan mengalami sebarang simptom hinggalah masalah buah pinggang itu telah mencapai tahap serius.

Disebabkan buah pinggang masih boleh bertahan dan berfungsi walaupun mengalami kerosakan, namun simptom mungkin tidak akan muncul sehinggalah kerosakan yang berlaku itu tidak dapat lagi dipulihkan.

Simptom awal penyakit ginjal kronik

Seperti yang digariskan sebelum ini, penyakit ginjal kronik jarang menunjukkan sebarang simptom ketika ia masih berada pada tahap awal.

Jika penyakit ini dikesan, selalunya ia didiagnosis ketika pesakit melakukan ujian rutin untuk penyakit lain seperti ujian darah atau urin.

Simptom penyakit ginjal kronik yang serius

Ada beberapa simptom yang akan muncul apabila penyakit buah pinggang jadi semakin teruk. Antaranya adalah:

  1. Penurunan berat badan.
  2. Tidak ada selera makan
  3. Buku lali, kaki dan tangan membengkak (edema).
  4. Sesak nafas.
  5. Rasa penat.
  6. Darah dalam air kencing.
  7. Perlu ke tandas dengan kerap pada waktu malam.
  8. Sukar tidur (insomnia).
  9. Kulit gatal-gatal.
  10. Rasa tidak sihat.
  11. Pening kepala.
  12. Disfungsi erektil dalam kalangan lelaki.

Jika mengalami simptom seperti di atas, pastikan anda berjumpa dengan doktor secepat mungkin.

Penyakit ginjal kronik yang telah mencapai tahap serius juga dikatakan sedang mengalami kegagalan buah pinggang.

Lama-kelamaan, pesakit perlukan rawatan dialisis atau pemindahan buah pinggang untuk meneruskan kehidupan.

Punca penyakit ginjal kronik

Penyakit ginjal kronik berlaku disebabkan penyakit lain yang membebankan buah pinggang iaitu:

  1. Tekanan darah tinggi. Penyakit ini boleh membebankan buah pinggang pada jangka masa panjang dan menyebabkan organ tersebut sukar berfungsi dengan normal.
  2. Diabetes. Terlalu banyak gula di dalam darah boleh merosakkan penapis kecil di dalam buah pinggang.
  3. Kolesterol tinggi. Kondisi ini boleh menyebabkan pengumpulan deposit lemak di dalam saluran darah yang menyukarkan buah pinggang untuk berfungsi secara normal.
  4. Jangkitan pada kawasan buah pinggang.
  5. Glomerulonephritis. Polycystic kidney disease. Sejenis penyakit turun-temurun yang menyebabkan pertumbuhan sista di dalam buah pinggang. Sebarang halangan pada saluran urin. Sebagai contoh, penyakit batu karang atau pembesaran prostat.
  6. Penggunaan NSAIDs dalam jangka masa panjang.

Rawatan untuk penyakit buah pinggang kronik

Hingga kini, masih belum ada sebarang rawatan untuk penyakit ginjal kronik. Walau bagaimanapun, pesakit boleh melakukan rawatan untuk mengurangkan simptom dan menghentikan penyakit ini daripada merebak.

Sebarang kerosakan pada buah pinggang adalah bersifat kekal. Walaupun kerosakan itu tidak dapat dipulihkan, pesakit masih boleh melakukan beberapa langkah tertentu untuk memastikan buah pinggang kekal sihat.

Malah, amalan ini juga berupaya menghentikan kerosakan tersebut daripada menjadi lebih teruk. Untuk pengetahuan anda, rawatan utama penyakit ginjal kronik merupakan perubahan dari segi gaya hidup.

Antaranya termasuklah:

  1. Mengawal gula di dalam garah jika anda menghidap diabetes.
  2. Pastikan anda mempunyai tekanan darah normal.
  3. Amalkan makanan kurang garam dan lemak.
  4. Bersenam sekurang-kurangnya 30 minit setiap minggu.
  5. Pastikan berat badan normal.
  6. Jangan merokok.
  7. Hadkan pengambilan alkohol.

Selain itu, doktor juga akan memberikan preskripsi ubat-ubatan untuk membantu pesakit mengawal masalah seperti tekanan darah tinggi dan kolesterol.

Rawatan selalunya dilakukan dengan tujuan untuk mengawal simptom, mengurangkan komplikasi dan memperlahankan perkembangan penyakit.

Doktor akan merawat punca yang menyebabkan pesakit mengalami penyakit ginjal kronik sambil mengawal komplikasi yang berlaku supaya pesakit kekal sihat.

Jika pesakit telah mencapai tahap akhir dan buah pinggang tidak dapat lagi mengkumuhkan bahan buangan seperti biasa, pesakit memerlukan dialisis ataupun pemindahan buah pinggang untuk kekal hidup.

Langkah pencegahan

Ada beberapa langkah yang terbukti berkesan untuk mencegah penyakit ginjal kronik:

1. Pastikan anda sentiasa mengikut arahan di belakang kotak ubat-ubatan

Ketika mengambil ubat-ubatan yang tidak dipreskripsi atau boleh dibeli secara over-the-counter, pastikan anda mengikut arahan yang dicetak pada pembalut atau di belakang kotak ubat tersebut.

Anda berisiko untuk mengalami kegagalan buah pinggang jika mengambil terlalu banyak ubat tahan sakit seperti aspirin atau ibuprofen.

Jika anda mempunyai penyakit buah pinggang, elakkan mengambil ubat-ubatan ini lebih daripada dos yang sepatutnya.

2. Kekalkan berat badan sihat

penyakit ginjal kronik

Jika anda mempunyai berat badan sihat, cuba untuk kekalkannya dengan terus aktif bersenam beberapa hari dalam seminggu.

Bukan mudah untuk menurunkan berat badan. Namun, jika anda ingin mengurangkan berat untuk tujuan kesihatan dan ingin berbincang mengenai strategi yang terbaik untuk melakukannya, anda boleh datang bila-bila masa untuk sesi konsultasi bersama doktor.

Penurunan berat badan boleh dilakukan jika anda meningkatkan jumlah aktiviti fizikal dan mengurangkan pengambilan kalori setiap hari.

3. Elakkan merokok

Amalan merokok sudah terbukti banyak mendatangkan keburukan daripada kebaikan. Ia bukan sahaja merosakkan buah pinggang, malah membuatkan kerosakan yang sedia ada jadi semakin teruk.

4. Elakkan ambil makanan tinggi garam

Elakkan mengambil makanan dengan jumlah garam yang tinggi seperti makanan segera dan makanan dalam tin. Selain itu kurangkan juga snek masin, daging proses dan keju.

5. Terus mengawal penyakit dengan bantuan doktor

Jika anda mempunyai penyakit ginjal kronik, pastikan sentiasa mengikut saranan doktor dan mengambil ubat dengan berdisiplin. Dengan cara ini, anda dapat memanjangkan jangka hayat buah pinggang dan menjalani hidup dengan baik.

Kesimpulan

Kebanyakan pesakit yang menghidap penyakit ginjal kronik boleh mengawal kondisi mereka dengan mengambil ubat-ubatan dan melakukan pemeriksaan seperti yang disarankan doktor.

Menurut NHS UK, hanya 1 dalam 50 orang pesakit yang menghidap penyakit buah pinggang kronik sahaja yang akan mengalami kegagalan buah pinggang pada masa hadapan.

Oleh sebab itu, masih ada harapan untuk pesakit hidup secara normal jika mereka sanggup menukar gaya hidup secara lebih sihat.

Walau bagaimanapun, pesakit ginjal kronik mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghidap penyakit kardiovaskular lain seperti sakit jantung dan strok.

Malah, penyakit ini merupakan antara punca utama kematian di kalangan pesakit buah pinggang walaupun telah mengambil ubat-ubatan dan melakukan perubahan seperti yang dinasihatkan.

Justeru, pastikan jumpa doktor jika mempunyai simptom penyakit ini.

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber Rujukan
  1. American Kidney Fund. n.d. Chronic kidney disease (CKD). Accessed January 6, 2021. https://www.kidneyfund.org/kidney-disease/chronic-kidney-disease-ckd/#what_causes_chronic_kidney_disease.
  2. American Kidney Fund. n.d. Stages of Chronic Kidney Disease (CKD). Accessed January 6, 2021. https://www.kidneyfund.org/kidney-disease/chronic-kidney-disease-ckd/stages-of-chronic-kidney-disease/.
  3. Mayo Clinic. 2019. Chronic kidney disease. August 15. Accessed January 6, 2021. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/chronic-kidney-disease/diagnosis-treatment/drc-20354527.
  4. National Kidney Foundation. 2017. Chronic Kidney Disease (CKD) Symptoms and causes. February 15. Accessed January 6, 2021. https://www.kidney.org/atoz/content/about-chronic-kidney-disease.
  5. NHS. 2019. Chronic kidney disease. August 29. Accessed January 6, 2021. https://www.nhs.uk/conditions/kidney-disease/.
Gambar penulisbadge
Ditulis oleh Fatin Zahra Disemak pada 10/02/2021
Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor
x