Sebenarnya, apa punca diabetes kanak-kanak dalam tahap atau jenis 1? Adakah ia akibat keturunan atau ada faktor yan lain? Jom baca artikel untuk tahu dengan lebih lanjut!
Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Kencing Manis, anda boleh klik di sini.
1. Diabetes jenis 1 adalah sejenis penyakit autoimun
Diabetes jenis 1 merupakan sejenis penyakit autoimun. Penyakit autoimun berlaku apabila sistem imun badan tidak dapat membezakan sel penceroboh dengan sel yang normal.
Atas sebab itu, organ pankreas tidak dapat menghasilkan insulin yang secukupnya kerana sistem imun badan pesakit akan bertindak menyerang dan memusnahkan sel tersebut.
Walau bagaimanapun, punca sebenar yang menyebabkan keadaan ini berlaku masih belum dapat dikenal pasti. Tetapi, pakar pasti bahawa keadaan ini ada kaitannya dengan masalah genetik.
Tambah lagi, pesakit yang mengalami diabetes jenis 1 lebih berisiko untuk menghidap penyakit autoimun yang lain seperti penyakit tiriod, penyakit seliak dan penyakit Addison.
Penyakit-penyakit ini boleh berlaku sebelum pesakit tersebut didiagnosis dengan diabetes jenis 1.
2. Faktor genetik dan juga umur
Jika anda merupakan seorang lelaki yang mempunyai penyakit diabetes jenis 1, risiko untuk anak anda mempunyai penyakit yang sama ialah 1/17.
Jika anda seorang wanita pula, ia bergantung pada umur anda melahirkan anak:
- Jika anda melahirkan anak sebelum umur 25 tahun, risiko untuk anak anda menghidap diabetes ialah 1 dalam 25
- Jika anda melahirkan anak selepas berumur 25 tahun pula, risiko berkurangan kepada 1 dalam 100
Namun, risiko anak anda mungkin akan bertambah dua kali ganda jika anda menghidap diabetes sebelum umur 11 tahun.
Faktor genetik merupakan sesuatu yang amat mengelirukan untuk pesakit diabetes. Pakar juga tidak dapat mengenal pasti faktor atau punca diabetes tahap 1 yang sebenar.
Walau bagaimanapun, diabetes tahap 1 boleh berlaku kepada sesiapa sahaja walaupun pesakit tidak mempunyai sebarang faktor genetik atau sejarah keluarga.
Punca diabetes 3. Sejarah keluarga
Jika ibu bapa anda tidak pernah menghidap diabetes jenis 1, anda mempunyai risiko sebanyak 5% untuk menghidap penyakit ini.
Risiko ini tidak berubah jika bapa anda menghidap penyakit yang sama. Namun, jika anda mempunyai kembar seiras, risiko untuk anda menghidap penyakit diabetes meningkat hingga 50%.
Punca diabetes 4. Infeksi virus
Ada beberapa jenis virus yang selalu dikaitkan dengan diabetes jenis 1. Namun, sejenis virus yang dikenali sebagai Human Enteroviruses (HEVs) mempunyai kaitan yang paling kuat.
Terdapat beberapa kajian yang menemui kesan HEV di dalam pankreas individu yang baru didiagnosis dengan diabetes jenis 1 dan daripada pankreas pesakit yang sudah lama menghidap penyakit ini.
Sistem imun badan akan bertindak balas terhadap virus seperti HEV. Namun, pakar tidak pasti sama ada virus HEV benar-benar boleh menyebabkan diabetes jenis 1.
Ada beberapa teori virus punca diabetes yang dikeluarkan oleh pakar. Antaranya ialah seperti berikut:
- Virus HEV mempunyai bahagian yang sama seperti sel yang menghasilkan insulin di dalam pankreas. Oleh itu, sistem imun badan mungkin secara tidak sengaja telah menyerang sel insulin yang mempunyai struktur yang seakan-akan sama dengan virus HEV
- Virus HEV mungkin telah mendedahkan sel yang menghasilkan insulin kepada sistem imun badan dalam cara yang tidak diketahui. Pendedahan ini mungkin menjadi pemicu yang menyebabkan sistem imun badan bertindak menyerang sel insulin
- Jangkitan oleh virus HEV mungkin mengubah cara sel yang menghasilkan insulin berfungsi. Disebabkan perubahan ini, sistem imun badan mungkin akan menganggap mereka sebagai satu ancaman
5. Pola pemakanan punca diabetes
Saintis juga masih mencari kaitan antara diet ketika kanak-kanak dengan diabetes tahap 1.
Setakat ini, saintis telah mengkaji sama ada makanan seperti susu lembu, gluten, bijirin, omega-3, vitamin D dan amalan menyusu mempunyai apa-apa kaitan dengan diabetes tahap 1.
Walau bagaimanapun, bukti yang dijumpai didapati bertentangan antara satu sama lain.
Oleh itu, sukar untuk pakar menentukan faktor sebenar punca diabetes yang menyebabkan seseorang itu menghidap diabetes jenis 1.
6. Kurang amalan senaman
Pesakit diabetes perlu melakukan senaman untuk menjaga kesihatan diri tidak kiralah diabetes jenis apa pun yang mereka hidapi.
Individu yang menderita diabetes jenis 1 perlu sentiasa memantau kadar gula dalam darah dengan dos insulin yang diambil supaya mereka boleh melakukan aktiviti seharian tanpa sebarang masalah.
Jika anda ingin bersenam, pastikan anda:
- Memeriksa tahap gula dalam darah sebelum bermula.
- Mengetahui intensiti amalan senaman.
- Tahu berapa lama anda boleh kekal aktif.
- Perubahan apa yang anda perlu lakukan pada dos insulin anda.
Kadangkala, individu yang bersenam boleh mengalami satu keadaan yang dinamakan hypoglycaemia ataupun kandungan gula dalam darah yang rendah.
Oleh itu, pastikan anda periksa kadar gula dalam darah sebelum, semasa dan selepas melakukan senaman.
Walau bagaimanapun, saintis telah lama menemui hubung kait antara aktiviti fizikal dan penyakit-penyakit kronik.
Individu yang kurang bersenam didapati lebih berisiko untuk menghidap diabetes, obesiti dan masalah berkaitan dengan hati.
[embed-health-tool-bmi]