backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

7

Tanya Doktor
Simpan

Ambil Tahu Berapa Bacaan Paras Gula Normal, Tak Boleh Terlalu Tinggi Atau Rendah!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 3 minggu lalu

    Ambil Tahu Berapa Bacaan Paras Gula Normal, Tak Boleh Terlalu Tinggi Atau Rendah!

    Memahami kandungan gula dalam darah adalah penting untuk kita tahu tahap kesihatan tubuh badan secara umumnya.

    Untuk pengetahuan anda, gula di dalam darah selalu disebutkan adalah merujuk kepada glukosa, iaitu unit paling kecil bagi gula.

    Karbohidrat adalah sumber kepada gula dan ia terbahagi kepada beberapa jenis bergantung kepada struktur dan berat molekol: monosakarida, disakarida, oligosakarida, polisakarida.

    Contoh monosakarida adalah glukosa, fruktosa dan galaktosa.

    Disakarida pula termasuk maltosa, laktosa dan sukrosa (gula yang biasa digunakan untuk membancuh air).

    Manakala oligisakarida dan polisakarida adalah unit terbesar karbohidrat yang biasanya terdapat di dalam makanan seperti nasi dan roti.

    Persoalannya, apakah kepentingan bacaan gula normal untuk dewasa di dalam saluran darah kita? Jom sama-sama kita belajar!

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kencing Manis, sila dapatkannya di sini.

    Apa kepentingan kandungan gula dalam darah?

    Glukosa adalah unit utama yang digunakan oleh badan untuk menghasilkan tenaga.

    Tanpanya, sel-sel di dalam badan tidak mempunyai tenaga dan tidak mampu menjalankan fungsinya.

    Sebagai contoh, kekurangan glukosa menyebabkan sel otak gagal berfungsi membuatkan seseorang mungkin hilang kewarasan dan pengsan.

    Di dalam badan manusia, glukosa adalah fokus utama apabila bercakap tentang gula.

    Sekiranya ingin diukur kandungan gula, glukosa digunakan sebagai kayu ukurnya.

    gula dalam darah
    4 Cara terbaik kurangkan gula dalam darah.

    Makanan yang dimakan akan diuraikan menjadi glukosa kerana ia adalah unit yang boleh digunakan oleh sel-sel badan untuk menghasilkan tenaga.

    Jika kadar glukosa berkurang, lemak akan ditukarkan menjadi glukosa bagi menggantikan kadar yang kurang tersebut.

    Pankreas adalah organ yang bertanggungjawab mengawal kadar gula melalui hormon insulin dan glukagon.

    Insulin menurunkan, manakala glukagon menaikkan kadar glukosa.

    Diabetes berlaku apabila terdapat masalah pada insulin, sama ada:

    • Kurang penghasilan
    • Tidak mampu berfungsi dengan baik

    Apabila insulin gagal berfungsi, kadar glukosa akan meningkat.

    Apakah ukuran normal kandungan gula dalam darah?

    Ukuran normal kandungan gula dalam darah atau glukosa adalah sangat penting.

    Jika bacaan gula normal kurang (hipoglisemik), sel tidak akan mendapatkan tenaga untuk bekerja.

    Jika bacaan gula normal terlebih (hiperglisemik/diabetes) pula, pelbagai komplikasi boleh berlaku.

    Ukuran dibuat sama ada secara rambang, selepas berpuasa selama 8 jam atau 2 jam selepas makan.

    Setiap daripadanya mempunyai julat bacaan yang berbeza.

    Darah diambil daripada hujung jari dengan hanya menggunakan jarum kecil.

    Beberapa titik darah sudah mencukupi untuk mendapatkan bacaan gula normal mengikut umur.

    Apakah simptom hiperglisemik?

    gula dalam darah tinggi
    Tanda-tanda gula dalam darah tinggi.

    Awasi simptom-simptom gula darah tinggi seperti berikut:

    • Haus
    • Lapar
    • Mulut kering
    • Kerap ke tandas untuk kencing
    • Hilang berat badan tanpa merancang
    • Mudah penat
    • Penglihatan kabur
    • Luka lambat sembuh
    • Mati pucuk
    • Rasa kebas di kaki atau tangan

    Kesimpulan

    Diabetes adalah penyakit kronik yang serius kerana ia boleh mengakibatkan kehidupan kita terganggu ekoran terpaksa berjaga-jaga dalam pemakanan dan aktiviti fizikal yang lain.
    Sekiranya kita gagal mengawalnya, maka akan berlaku pelbagai komplikasi kesihatan yang lain atau lebih teruk lagi individu terpaksa teruskan hidup dengan melakukan amputasi.
    Pendek kata, ia memang merupakan antara penyakit kronik yang banyak dihadapi oleh rakyat Malaysia.
    Oleh itu, gaya hidup sihat dan diet pemakanan yang seimbang sangat perlu untuk mencegahnya daripada berlaku.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 3 minggu lalu

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan