Kaedah penyuntikan insulin termasuklah:
- Picagari kecil
- Pen insulin yang menggunakan katrij dan jarum halus
- Penyuntik jet yang menggunakan udara bertekanan tinggi untuk menghasilkan semburan insulin melalui kulit
- Pam insulin yang mengeluarkan insulin melalui tiub fleksibel kepada kateter di bawah kulit perut
Ujian berkala yang sering dijalankan, iaitu ujian darah A1C akan menganggarkan kadar glukosa dalam darah anda selama tiga bulan sebelumnya.
Ia digunakan untuk membantu mengenal pasti kawalan tahap glukosa keseluruhan dan risiko komplikasi daripada penyakit kronik ini, termasuklah kerosakan organ.
Penghidap diabetes jenis satu memerlukan perubahan gaya hidup yang penting termasuklah:
- Melakukan ujian paras gula darah secara kerap
- Mengambil insulin seperti yang diperlukan
- Perancangan makan secara lebih berhati-hati
- Senaman seperti yang disarankan oleh doktor
Diabetes jenis dua
Jenis kencing manis yang paling lazim adalah diabetes jenis dua, menyumbang sebanyak 95% kes diabetes dalam kalangan orang dewasa.
Diabetes jenis dua juga dipanggil sebagai diabetes orang dewasa (adult-onset diabetes).
Walau bagaimanapun, perkembangan semasa yang memperlihatkan kenaikan peratusan kanak-kanak yang berlebihan berat badan, lebih ramai remaja kini sedang mengalami kencing manis jenis ini.
Bagi diabetes jenis dua pula, pankreas biasanya masih mampu menghasilkan insulin.
Namun, ia sama ada jumlah insulin yang dihasilkan tidak mencukupi untuk keperluan tubuh ataupun sifat sel-sel tubuh yang rintang terhadapnya.
Rintangan terhadap insulin, atau kekurangan sensitiviti terhadap insulin berlaku terutamanya dalam sel lemak, hati dan sel otot tubuh badan.

Individu yang obes ialah individu yang mempunyai lebih 20% daripada berat badan mereka yang ideal dengan ketinggian mereka.
Kumpulan ini berisiko tinggi untuk mendapat diabetes jenis dua dan masalah perubatan lain.
Individu obes juga mempunyai kerintangan terhadap insulin, jadi, pankreas perlu bekerja keras untuk menghasilkan lebih banyak insulin.
Walau bagaimanapun, jumlah insulin yang dihasilkan masih tidak mencukupi untuk memastikan tahap gula berada pada tahap yang normal dalam darah.
Jenis kencing manis ini boleh dielakkan dengan gaya hidup yang aktif dan pemakanan yang sihat.
Sekiranya anda sudah menghidapnya, ia boleh dikawal dengan pengurusan berat badan, pemakanan dan senaman.
Malangnya, jenis diabetes ini cenderung untuk menjadi lebih teruk, malahan penghidapnya perlu sering mengambil ubat bagi mengawal paras gula dalam darah.
Diabetes gestasi

Kencing manis yang berlaku semasa kehamilan dipanggil sebagai diabetes gestasi. Ia sering didiagnosis semasa pertengahan atau lewat kehamilan.
Oleh sebab tahap gula darah yang tinggi beredar melalui plasenta kepada bayi, ia haruslah dikawal untuk melindungi pertumbuhan dan perkembangan bayi.
Diabetes gestasi biasanya akan pulih selepas tamat tempoh kehamilan.
Meskipun begitu, 10% wanita yang pernah menghidap keadaan tersebut akan berisiko untuk mendapat kencing manis jenis dua pada masa akan datang.
Sekiranya ibu hamil mengalami diabetes gestasi, risiko kepada bayi dalam kandungan adalah lebih tinggi berbanding terhadap diri wanita tersebut.
Risiko yang mungkin berlaku kepada bayi termasuklah:
- Berat badan yang tidak normal sebelum kelahiran
- Masalah pernafasan semasa kelahiran
- Obesiti dan risiko mendapat kencing manis yang lebih tinggi di kemudian hari
Ibu mengandung pula berisiko menjalani pembedahan cesarean kerana saiz bayi yang terlalu besar dan berlakunya kerosakan pada organ badan seperti jantung, ginjal, saraf dan juga mata.
Oleh itu, ibu hamil perlu berbincang dengan doktor bagi mendapatkan nasihat rawatan yang bersesuaian dengan keadaan tubuh.
Rawatan yang diperlukan semasa mengandung bagi ibu hamil termasuklah:
- Rancangan pemakanan yang perlu dipantau untuk memastikan nutrien kehamilan yang mencukupi tanpa lemak dan kalori yang berlebihan
- Senaman harian sekurang-kurangnya 30 minit, lima kali seminggu seperti yang dicadangkan
- Mengawal kenaikan berat akibat kehamilan
- Mengambil ubat yang disarankan oleh doktor untuk mengawal tahap gula darah jika diperlukan
Diabetes di usia muda
Diabetes di usia muda, iaitu maturity onset diabetes of the young (MODY) ialah sejenis penyakit yang diwarisi.
Ia berpunca daripada perubahan salah satu daripada 11 gen di dalam tubuh individu. Kira-kira 5% daripada seluruh kes diabetes disebabkan oleh MODY.
Seiring dengan individu lain yang menghidap diabetes, individu yang didiagnosis dengan MODY juga mempunyai masalah untuk mengawal tahap gula darah mereka.
MODY ialah sejenis penyakit genetik yang dominan, bermaksud individu yang mempunyai satu salinan mutasi gen yang menyebabkan MODY dari ibu atau bapa mereka akan terjejas.
Individu yang terjejas mempunyai 50% peluang untuk menyampaikan mutasi gen kepada setiap anak mereka.
Walaupun sering timbul kekeliruan, penyakit keturunan ini lebih mirip dengan diabetes jenis satu berbanding jenis dua.
Seperti yang dijelaskan, organ pankreas tidak dapat menghasilkan insulin yang mencukupi untuk diabetes jenis satu.
Individu dengan diabetes jenis dua sebaliknya mampu membuat insulin yang mencukupi, tetapi tubuh mereka mengalami kerintangan terhadap insulin.
Diabetes jenis dua biasanya dikaitkan dengan berat badan berlebihan, tetapi ia jarang berlaku untuk diabetes jenis satu atau MODY.
Walau bagaimanapun, obesiti mempengaruhi perkembangan penyakit kencing manis.
Individu obes dengan mutasi gen MODY boleh mengalami gejala kencing manis lebih cepat daripada seseorang yang mempunyai berat badan normal.
MODY lebih cenderung mempengaruhi individu usia muda seperti remaja, tetapi ia boleh berlaku pada segenap usia juga.
Sama seperti jenis diabetes yang lain, MODY boleh menyebabkan komplikasi pada tubuh, termasuk peningkatan risiko penyakit jantung dan vaskular, penyakit buah pinggang dan kebutaan.
Konklusi
Secara amnya, diabetes adalah masalah kesihatan kronik yang memerlukan pengurusan gula darah yang cermat. Setiap jenis penyakit yang ada ini mempunyai rawatan dan pendekatan yang berbeza.
Oleh itu, ketahuilah mana satu jenis yang ada pada diri anda, keluarga atau yang tersayang serta berundinglah dengan doktor untuk mendapatkan rawatan yang optimum.