
Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mengumumkan Malaysia sebagai negara pertama di rantau Pasifik Barat yang berjaya menghapuskan penularan HIV ibu-ke-anak.
8 Oktober lalu, Malaysia menerima pensijilan validasi eliminasi jangkitan HIV dan sifilis dari ibu-ke-anak (elimination of mother-to-child transmission of HIV and syphilis – eMTCT).
Malaysia merupakan antara negara awal yang melakukan pencegahan penularan HIV dan sifilis dari ibu-ke-anak semasa kehamilan dan perkhidmatan kesihatan kanak-kanak.
Bermula sejak 1998, Malaysia telah memulakan ujian HIV antenatal. Sehingga hari ini, ujian antenatal dan rawatan untuk HIV dan sifilis disediakan percuma bagi menyediakan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti termasuklah kontrasepsi dan kelahiran bagi hampir kesemua wanita di negara ini. Hasilnya kini, di Malaysia, jumlah bayi yang lahir dengan HIV atau sifilis semakin berkurangan sehingga menepati tahap kriteria penghapusan global.
Pengarah Rantau untuk Pasifik Barat WHO, Dr Shin Young-soo memuji tindakan Malaysia yang memberikan komitmen yang tinggi bagi memastikan wanita, kanak-kanak dan keluarga mendapat perkhidmatan kesihatan yang berkemampuan dan berkualiti.
Sementara itu, Pengarah Rantau UNAIDS untuk Asia dan Pasifik, Eamonn Murphy turut menyeru semua negara untuk mencontohi Malaysia dan memastikan setiap kanak-kanak bebas HIV dalam permulaan kehidupan mereka.
Lindungi generasi masa depan
Menurut WHO, sebilangan 13,000 wanita yang hamil setiap tahun di rantau Pasifik Barat menghidap HIV, dan satu perempat daripadanya tidak menerima terapi antiretroviral (ART). Tanpa perubatan ini, kemungkinan 15 hingga 45 peratus virus HIV boleh menular kepada bayi. Penularan virus HIV dari ibu-ke-anak boleh berlaku dalam tiga cara; kehamilan, kelahiran, dan penyusuan (melalui susu ibu).
Bagaimanapun, risiko penularan HIV dari ibu-ke-anak boleh dikurangkan sekiranya HIV dikesan seawal mungkin semasa hamil atau sebelum wanita disahkan hamil.
Selain itu, ibu yang mengambil ubat HIV semasa hamil dan melahirkan anak, dan dalam situasi tertentu menjalani kelahiran secara pembedahan berjadual, serta bayi yang lahir dari rahim wanita HIV mendapatkan ubat HIV selama 4 hingga 6 minggu selepas lahir, serta tidak disusukan susu ibu juga berisiko rendah dalam penularan HIV.
Apabila kedua-dua ibu dan bayi mendapatkan perubatan, risiko penularan HIV menurun sehingga menjadi satu peratus.
Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Baca juga: