backup og meta

Tak Perlu Malu Semak Status HIV, Anda Boleh Gunakan Ujian Kendiri Ini Sahaja!

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Annes Nadia · Disemak pada 28/11/2023

    Tak Perlu Malu Semak Status HIV, Anda Boleh Gunakan Ujian Kendiri Ini Sahaja!

    Orang ramai dinasihatkan untuk segera membuat ujian HIV bagi mendapatkan pengesanan awal penyakit tersebut. Ujian saringan ini penting supaya rawatan awal dapat dilakukan.

    Sempena Hari AIDS Sedunia 2023, Majlis AIDS Malaysia (MAC), Yayasan AIDS Malaysia (MAF) bersama Coalition PLUS telah mengadakan International Testing Week (ITW) edisi ke-4 untuk menggalakkan orang ramai membuat ujian saringan awal.

    Usaha ini juga dilakukan untuk membantu mengurangkan penularan kes HIV, Hepatitis Viral, STI dan NCD dalam kalangan masyarakat.

    Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Kesihatan, anda boleh klik di sini.

    Stigma masyarakat mengenai ujian HIV

    Tidak dinafikan, masih wujud lagi stigma yang negatif dari kalangan masyarakat mengenai penyakit HIV/AIDS.

    Mereka yang dijangkiti penyakit ini kebiasaannya dihina dan dianggap seperti ‘sampah’ dan ‘najis’ yang tidak layak untuk mendapat tempat dalam masyarakat.

    Kesannya, stigma seperti ini akan menyebabkan pesakit HIV/AIDS berasa malu, sedih serta mengasingkan diri daripada golongan masyarakat.

    ujian hiv

    Bukan itu sahaja, mereka mungkin mengalami diskriminasi daripada mendapatkan pekerjaan, rawatan, dan tidak boleh hidup sama seperti orang lain.

    Stigma masyarakat jugalah yang menjadi penyebab mereka yang berisiko tinggi untuk tidak hadir menjalani ujian HIV di fasiliti kesihatan serta lewat mendapatkan rawatan.

    Oleh itu, International Testing Week (ITW) diadakan untuk menimbulkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan mengambil ujian HIV pada peringkat awal lagi.

    Pelancaran ujian kendiri

    ujian kendiri hiv

    International Testing Week (ITW) telah dilancarkan oleh Dr Anita Suleiman, Pengarah Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia pada 20 November 2023 bertempat di The Gardens Hotel, Mid Valley Kuala Lumpur.

    MAC, sebuah pertubuhan ahli Gabungan PLUS turut juga menjalankan Minggu Ujian Antarabangsa dari 20 hingga 26 November di pelbagai lokasi di Malaysia, Asia Selatan dan Asia Tenggara.

    Menurut, Prof. Madya Dr Raja Iskandar Shah Raja Azwa, Presiden Majlis AIDS Malaysia, International Testing Week (ITW) merupakan salah satu inisiatif yang berkesan untuk menggalakkan masyarakat membuat ujian saringan awal dalam usaha untuk mengakhiri penyakit ini menjelang tahun 2030.

    ITW dengan slogannya We Got Tested turut menyediakan forum yang membincangkan tentang peranan masyarakat dalam mencegah penularan penyakit HIV, Hepatitis Viral, STI dan NCD dengan menggunakan ujian kendiri dan PrEp.

    Dengan inisiatif ini, mereka berharap lebih ramai pesakit HIV akan tampil ke hadapan dan memulakan rawatan yang sewajarnya dengan cara yang selamat tanpa wujud sebarang diskriminasi.

    Pelaksanaan ujian HIV kendiri ini juga akan menjadi pembuka jalan kepada rujukan untuk pakej pencegahan HIV dan ubat pre-exposure prophylaxis (PrEP) bagi mereka yang diuji negatif HIV serta rawatan anti-retroviral (ARV) kepada mereka yang dikesan positif HIV.

    Lebih menarik lagi, ujian kendiri HIV ini juga dilakukan secara sukarela dan bukan dengan paksaan. Ia boleh dilakukan sama ada secara bersendirian atau bersama dengan orang yang anda percayai.

    Individu yang berumur 18 tahun dan ke atas adalah layak menjalani ujian kendiri ini.

    Kit ujian kendiri ini menggunakan teknik immunoassay chromatography di mana keputusan ujian boleh diperolehi secara visual dalam masa 15-20 minit.

    Berikut merupakan sensitiviti ujian kendiri saringan HIV:

    • Sampel darah – tidak kurang daripada 99.0%
    • Sampel air liur (saliva) – tidak kurang daripada 92.0%

    Untuk mendapatkan lebih banyak maklumat lanjut mengenai ujian kendiri ini, anda boleh klik di sini.

    Kesihatan mental pesakit HIV juga perlu diberi perhatian

    tanda penyakit kemurungan

    Penghidap HIV sering berdepan dengan pelbagai reaksi daripada masyarakat. Ini kerana, mereka sering dilihat ‘kotor’ dan sebagai ‘pendosa’ oleh masyarakat sekeliling.

    Kesannya, stigma ini telah meninggalkan kesan kepada emosi dan juga kesihatan fizikal mereka.

    Lama-kelamaan, penghidap HIV akan terpengaruh dengan stigma ini dan mengakibatkan mereka untuk mengasingkan diri daripada masyarakat.

    Ada juga di antara mereka yang mengalami tekanan emosi dan enggan mendapatkan rawatan yang sepatutnya untuk penyakit yang dialami.

    Bagi menangani isu ini, Doctor Anywhere telah melancarkan perkhidmatan baharu konsultasi kesihatan mental secara dalam talian yang ditaja oleh FWD Takaful Berhad.

    Perkhidmatan ini membolehkan orang ramai untuk mendapatkan konsultasi secara langsung dari rumah melalui aplikasi Doctor Anywhere tanpa perlu pergi ke hospital atau klinik.

    Hanya dengan menebus kod promo di laman web Doctor Anywhere, anda berpeluang untuk membuat konsultasi secara percuma sebanyak 5 kali bersama ahli psikologi dan kaunselor yang berdaftar.

    Anda boleh berkomunikasi dengan ahli psikologi secara sulit di aplikasi Doctor Anywhere dan setiap sesi akan berlangsung selama 60 minit. Anda tidak perlu bimbang kerana rekod pesakit juga akan dirahsiakan.

    Klik di sini untuk mendapatkan 5 konsultasi percuma anda!

    Kesimpulannya, anda dinasihati untuk tidak bertangguh membuat ujian HIV bagi mengenal pasti penyakit tersebut pada peringkat awal lagi. Jangan berasa malu untuk mendapatkan ujian serta rawatan yang sewajarnya!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Annes Nadia · Disemak pada 28/11/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan