Demam Jangan Pandang Remeh! Ini Cara Betul Mengatasinya, Terutama Untuk Anak
Demam boleh membuatkan badan terasa panas, lesu dan tidak selesa. Demam juga boleh berlaku bersama gejala lain seperti selesema, batuk atau sakit tekak, bergantung pada puncanya1,2. Terdapat pelbagai petua cara hilangkan demam yang dikongsi di internet. Namun, bukan semua kaedah tersebut berkesan atau sesuai diamalkan.

Jadi, bagaimana anda boleh menguruskan demam dengan betul, terutamanya apabila melibatkan kanak-kanak?
Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Kesihatan, klik di sini.
Mengapa demam berlaku?
Demam adalah peningkatan suhu badan yang lazimnya berlaku sebagai tindak balas terhadap jangkitan atau keadaan tertentu. Suhu badan 37.5°C atau lebih sering dianggap sebagai demam, walaupun bacaan boleh berbeza mengikut kaedah pengukuran15.
Antara punca demam yang biasa termasuk jangkitan virus seperti selesema dan influenza, serta jangkitan lain.
Selesema dan influenza boleh mempunyai simptom yang serupa seperti demam, batuk, sakit tekak dan sakit badan, jadi simptom sahaja mungkin tidak mencukupi untuk menentukan jenis jangkitan yang anda alami.
Jika simptom teruk, berterusan atau anda tidak pasti tentang puncanya, dapatkan nasihat perubatan.
Demam juga boleh disertai gejala seperti2,3,4:
- Sakit tekak.
- Batuk.
- Hidung berair.
- Sakit kepala atau sakit badan.
- Menggigil dan berpeluh.
- Keletihan atau kurang selera makan.
Mengetahui apakah simptom-simptom demam yang boleh dialami dapat membantu anda mengenal pasti perubahan pada keadaan kesihatan.
Walau bagaimanapun, gejala tersebut sahaja tidak mencukupi untuk menentukan punca sebenar demam.
Mitos cara hilangkan demam yang popular
Sesetengah petua yang dikaitkan dengan cara hilangkan demam mungkin membuatkan anda berasa lebih selesa, tetapi tidak semestinya merawat punca demam.
Berikut ialah empat kepercayaan yang perlu diperbetulkan.
1. Memakai pakaian tebal supaya berpeluh
Ada yang percaya bahawa memakai jaket atau membalut badan dengan selimut tebal boleh mengeluarkan peluh dan mempercepatkan pemulihan.
Hakikatnya, pakaian terlalu tebal boleh menyebabkan ketidakselesaan dan memerangkap haba2.
Pakai pakaian yang selesa dan elakkan membalut badan secara berlebihan.

2. Minum minuman isotonik untuk menyembuhkan demam
Minuman isotonik bukan rawatan khusus untuk demam. Sebaliknya, minum air dengan kerap untuk membantu mengekalkan hidrasi1,2.
Jika anda sukar minum, muntah berulang atau menunjukkan tanda-tanda dehidrasi, seperti mulut kering, air kencing berwarna gelap atau semakin berkurang, dapatkan nasihat profesional kesihatan14.
3. Makan makanan pedas supaya demam cepat reda
Makanan pedas boleh menyebabkan anda berpeluh atau mengalami hidung berair, tetapi tindak balas ini tidak bermakna suhu badan sedang menurun atau demam semakin pulih5.
Oleh itu, jangan bergantung pada makanan pedas sebagai cara merawat demam.
4. Berpeluh banyak bermakna demam sudah kebah
Berpeluh boleh berlaku ketika seseorang mengalami demam. Namun, peluh sahaja tidak dapat mengesahkan bahawa suhu badan sudah kembali normal.
Oleh itu, periksa suhu badan menggunakan termometer dan pantau gejala lain untuk mengetahui sama ada demam semakin reda1,3.
Bagaimana cara menurunkan demam dengan cepat?
Jika anda mencari cara hilangkan demam, fokus pada keselesaan, hidrasi dan pemantauan gejala, bukannya sekadar mahu suhu badan kembali normal.
Antara langkah yang boleh dilakukan ialah:
- Berehat secukupnya: Berikan tubuh masa untuk pulih1.
- Minum air dengan kerap: Minum sedikit demi sedikit jika berasa loya1,2. Bayi yang menyusu badan boleh terus diberikan susu ibu2.
- Pantau suhu badan: Gunakan termometer dan catat bacaan jika perlu1,2.
- Gunakan ubat demam yang sesuai: Paracetamol seperti Panadol boleh membantu mengurangkan demam dan kesakitan ringan hingga sederhana apabila digunakan mengikut arahan label6,7.
Namun, paracetamol hanya membantu melegakan gejala dan tidak merawat punca jangkitan yang mendasarinya6.

Ubat demam untuk orang dewasa
Paracetamol boleh membantu melegakan demam dan kesakitan ringan hingga sederhana apabila digunakan mengikut arahan6,7.
Ini bermakna paracetamol juga boleh membantu melegakan simptom kesakitan yang berlaku bersama demam, seperti sakit kepala, sakit badan atau sakit tekak, apabila digunakan mengikut arahan. Panadol ialah salah satu jenama produk yang mengandungi paracetamol8.
Ibuprofen juga boleh membantu mengurangkan demam dan kesakitan. Walau bagaimanapun, ubat ini tidak sesuai untuk semua orang, termasuk individu yang mempunyai ulser perut atau masalah buah pinggang tertentu13.
Pilih formulasi yang sesuai dengan keadaan kesihatan anda dan ikuti dos serta arahan penggunaan pada label produk.
Dapatkan nasihat doktor atau ahli farmasi jika anda tidak pasti pilihan yang tepat.
Jika anda mempunyai masalah kesihatan sedia ada, seperti masalah hati atau buah pinggang, sedang hamil atau menyusukan bayi, atau mengambil ubat lain secara berkala, dapatkan nasihat doktor atau ahli farmasi sebelum memilih ubat tahan sakit atau ubat demam.
Paracetamol tersedia dalam pelbagai formulasi. Bagi mereka yang memilih alternatif selain menelan tablet, formulasi larut atau efervesen yang sesuai mungkin menjadi pilihan9.
Sentiasa ikuti arahan bagi produk tertentu kerana setiap formulasi mungkin berbeza.
Semak kandungan dan amaran produk terlebih dahulu. Sesetengah formulasi paracetamol dan ibuprofen mengandungi natrium yang perlu diambil kira oleh individu yang perlu mengehadkan pengambilannya9.
Sesetengah ubat selesema dan flu juga mungkin mengandungi paracetamol. Sentiasa semak bahan aktif pada label sebelum mengambil beberapa ubat bersama-sama bagi mengelakkan pengambilan paracetamol melebihi dos yang disyorkan secara tidak sengaja, kerana ini boleh menyebabkan terlebih dos dan kerosakan hati. Jika anda mengesyaki anda mungkin telah mengambil paracetamol melebihi dos yang disyorkan, dapatkan nasihat perubatan dengan segera walaupun anda berasa sihat. Sentiasa baca label sebelum penggunaan6,9.
Ubat demam untuk kanak-kanak
Kanak-kanak pula memerlukan formulasi yang sesuai dengan umur dan berat badan mereka2,10.
Paracetamol boleh membantu melegakan demam dan kesakitan apabila digunakan mengikut arahan pada label produk10. Salah satu contoh ubat tanpa preskripsi (OTC) yang mengandungi paracetamol ialah Panadol, yang turut tersedia dalam bentuk cecair.
Ibuprofen juga boleh digunakan untuk mengurangkan demam dan kesakitan pada kanak-kanak yang sesuai, bergantung pada umur, keadaan kesihatan dan arahan produk11.
Perkara penting yang perlu diingat:
- Semak umur yang dibenarkan dan dos berdasarkan berat badan seperti dinyatakan pada label10,11.
- Gunakan alat penyukat yang disediakan, bukan sudu makan biasa10.
- Jangan memotong tablet dewasa atau menganggarkan dos kanak-kanak sendiri.
- Jangan berikan ubat lain yang turut mengandungi paracetamol jika anak sudah mengambil paracetamol10.
- Ibuprofen tidak sesuai untuk semua kanak-kanak. Dapatkan nasihat doktor atau ahli farmasi jika anak mengalami dehidrasi, mempunyai masalah kesihatan tertentu atau anda tidak pasti sama ada produk tersebut sesuai11.
- Dapatkan nasihat doktor atau ahli farmasi jika anda tidak pasti tentang produk atau dos yang sesuai10.
Jika demam berterusan, semakin teruk atau anak kelihatan tidak sihat, jangan tangguhkan pemeriksaan doktor2.
Paracetamol atau ibuprofen, mana satu pilihan yang sesuai?
Bagi kanak-kanak, paracetamol dan ibuprofen boleh membantu mengurangkan demam, tetapi kesesuaian penggunaannya bergantung pada umur dan keadaan kesihatan anak10,11.
Ibuprofen tidak sesuai untuk semua kanak-kanak, termasuk mereka yang mengalami dehidrasi atau mempunyai keadaan kesihatan tertentu.
Jangan berikan paracetamol dan ibuprofen kepada anak secara serentak atau berselang-seli tanpa arahan profesional kesihatan2.
Oleh itu, pemilihan ubat perlu mengambil kira keselamatan dan kesesuaian individu, bukan semata-mata kelajuan penurunan suhu.

Bila perlu berjumpa doktor?
Jika demam berterusan, semakin teruk atau disertai gejala yang membimbangkan, dapatkan pemeriksaan doktor.
Beri perhatian bukan sahaja kepada bacaan suhu badan, tetapi juga tempoh demam berlarutan, sama ada simptom semakin pulih atau bertambah teruk, serta sama ada terdapat sebarang tanda amaran.
Dapatkan rawatan segera jika anda atau anak mengalami tanda amaran berikut1,2:
- Kesukaran bernafas, kekeliruan atau mengantuk luar biasa.
- Sawan, leher kaku atau sakit yang teruk.
- Muntah berterusan atau tanda dehidrasi.
- Ruam atau pendarahan yang tidak dapat dijelaskan.
- Bayi berusia bawah 3 bulan yang mengalami demam perlu mendapatkan penilaian perubatan segera.
Di Malaysia, demam juga boleh menjadi gejala denggi. Jika denggi disyaki, dapatkan pemeriksaan dan jangan mengambil ibuprofen atau aspirin tanpa arahan doktor kerana ubat tersebut boleh meningkatkan risiko pendarahan12.
Kesimpulan
Cara menguruskan demam termasuk mendapatkan rehat yang mencukupi, minum cecair secukupnya, memantau gejala dan mengambil ubat yang sesuai jika diperlukan1,2.
Paracetamol dan ibuprofen boleh membantu melegakan demam, tetapi pemilihannya bergantung pada umur, keadaan kesihatan dan kesesuaian individu. Kedua-duanya membantu mengurangkan simptom demam, tetapi tidak merawat punca sebenar demam6,7,12.
Bagi kanak-kanak, pastikan produk dan dos sesuai dengan umur serta berat badan10,11.
Jika demam berterusan, semakin teruk atau disertai tanda amaran, dapatkan pemeriksaan doktor1,2.