backup og meta

Ibu Ini Kongsi 5 Tip Jaga Anak Kembar Tak Seiras, Bukan Muka Saja Berbeza, Tapi Perangai Pun Lain!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 07/12/2022

    Ibu Ini Kongsi 5 Tip Jaga Anak Kembar Tak Seiras, Bukan Muka Saja Berbeza, Tapi Perangai Pun Lain!

    Ada kalanya untuk jaga anak memerlukan kesabaran yang tinggi. Apatah lagi jika perlu menjaga si kembar, maka akan bergandalah tahap kesabaran yang diperlukan, betul tak?

    Tidak dinafikan setiap parents mempunyai cara tersendiri dalam mendidik dan membesarkan anak-anak. Tiada betul atau salah dalam soal ini kerana ia perlu mengikut kesesuaian diri dan juga anak.

    Jadi untuk kali ini, penulis akan berkongsikan pengalaman seorang ibu, Noor Ashykin Abdul Razak (36) atau lebih dikenali dengan panggilan Ekin dalam membesarkan 3 orang cahaya mata – yang sulung dan 2 anak kembar.

    Adakah pengalaman ibu ini sama seperti anda? Ayuh teruskan pembacaan.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.

    Perbezaan pengalaman kehamilan

    Mengimbau kembali pengalaman sewaktu hamilkan anak kembar, Ekin mengakui wujud perbezaan ketara berbanding ketika mengandungkan cahaya mata pertama.

    “Masa hamilkan anak pertama Afiq Najmi, usia Ekin 28 tahun dan sejujurnya tiada langsung mengalami alahan teruk. 

    Tetapi berbeza semasa mengandungkan si kembar, Afina Aulia dan Afira Aulia setahun kemudian, Ekin berdepan alahan kehamilan teruk sehinggakan pernah dimasukkan ke hospital untuk drip air. Setiap masa rasa nak mual dan muntah,” tambah Ekin.

    Menurut Ekin, dia dan suaminya Mohd Hairul Mohd Janizan, 39, tidak merancang atau terfikir untuk mendapatkan anak kembar. Bahkan masa diberitahu oleh doktor pun, mereka sebenarnya amat terkejut. Lebih-lebih lagi apabila anak yang sulung baru berusia setahun.

    Namun Ekin mengakui, rezeki dikurniakan anak kembar ini mungkin disebabkan keturunan keluarga, sama ada sebelah pihaknya atau suami memang ramai anak kembar – emak dan bapa saudara, anak buah serta sepupu.

    Jaga anak sulung & si kembar

    Ekin menjelaskan, kedua-dua anak kembarnya yang kini berusia 7 tahun bukanlah kembar seiras. Secara tidak langsung keadaan ini menyenangkan dirinya, suami dan anak sulung mereka untuk membezakan yang mana satu Afina dan Afira.

    “Perbezaan pada si kembar bukan sahaja pada wajah, malahan suara mereka juga berlainan. Jadi apabila mereka bercakap, tidak sukar untuk menentukan sama ada Afina atau Afira,” ujar Ekin.

    Orang selalu mengatakan untuk menjaga dan membesarkan anak kembar dan bukan kembar adalah berbeza. Namun bagi Ekin, tiada perbezaan ketara yang dirasai dirinya.

    si kembar
    Kembar Tak Seiras. Kiri: Afina Aulia & Afira Aulia, Kanan: Afira Aulia & Afina Aulia

    Ekin menjelaskan keadaan ini kerana walaupun anaknya kembar tetapi dari aspek cara jaga anak adalah seperti bukan kembar. Ia disebabkan Afina dan Afira mempunyai minat yang berbeza, jadi kalau ingin membeli barang apa pun, tidak semestinya perlu sama.

    Si kembar uji kesabaran

    Namun Ekin tidak menafikan, ada masanya kesabaran membesarkan anak kembar teruji terutama apabila kedua-duanya bergaduh.

    “Kalau masuk bab bergaduh, memang lain macam sikit dengan anak kembar ini, boleh pening kepala jadinya.

    “Tersentuh tidak boleh, terpandang muka apatah lagi. Biasanya kalau kedua-duanya tidak mahu mendengar cakap, Ekin akan minta si abang untuk selesaikan. Ini kerana Afina dan Afira takut sikit dengan abangnya,” jelas Ekin.

    Menurut ibu anak 3 ini, anak sulung yang kini berusia 8 tahun tampak lebih matang dan boleh dipercayai untuk menjaga adik-adiknya, walaupun perbezaan umur mereka hanyalah setahun.

    Baca juga:

    Tip penjagaan si kembar

    Apabila diminta berkongsikan petua dalam membesarkan anak kembar, Ekin dan suami sependapat pengalaman yang dilalui tidak jauh berbeza seperti membesarkan anak sulung mereka dahulu.

    Ini kerana semasa Afina dan Afira masih bayi, kedua-duanya mempunyai waktu berjaga yang berlainan. Apabila seorang tidur, kembarnya akan terjaga.

    “Kalau kata dalam minggu ini Afina demam, sebaik sahaja dia baik dan sembuh, esoknya barulah Afira pula yang akan demam,” jelas Ekin.

    Namun Ekin menjelaskan terdapat beberapa perkara penting yang memerlukan kesefahaman dengan pasangan dalam cara jaga anak kembar ini, seperti:

    1. Bersedia dengan perubahan

    Apabila kita sebagai ibu bapa bersedia menerima perubahan yang bakal berlaku, ia secara tidak langsung akan mengurangkan tekanan emosi dan fizikal.

    Ini kerana membesarkan anak sememangnya bukanlah satu perkara mudah, apatah lagi untuk pasangan kembar. Tetapi walau apa pun, semuanya pasti berbaloi apabila dapat melihat anak membesar dengan sihat dan gembira.

    2. Kerjasama pasangan dalam jaga si kembar

    Dalam menjaga dan membesarkan anak bukanlah kerja sebelah pihak, sebaliknya ia memerlukan kerjasama antara pasangan.

    Cara yang terbaik adalah untuk membuat jadual – terutamanya apabila melibatkan hal menjaga si kecil pada waktu malam. Ini kerana tidur yang mencukupi bukan sahaja penting untuk anak, tetapi juga diri kita sebagai ibu bapa.

    si kembar
    Dari kiri: Afiq Najmi (8), Afina & Afira (7)

    3. Layani anak sebagai individu berbeza

    Walaupun kita sering memikirkan anak kembar itu haruslah sentiasa sama dari setiap aspek, namun hakikatnya, mereka adalah dua individu yang mempunyai personaliti tersendiri.

    Sebagai ibu bapa, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk membantu anak membangunkan identiti mereka sendiri tanpa perlu dibayangi si kembar yang lain.

    Mereka pastinya mempunyai minat tersendiri. Jadi tidak bermakna anak kembar harus memiliki barangan yang sama setiap seorang. Biarkan mereka memilih mainan, warna mahupun makanan kegemaran mereka sendiri.

    4. Sentiasa adil semasa jaga si kembar

    Sebaik-baiknya sebagai ibu bapa, elakkan daripada mempunyai stigma anak kesayangan. Ini kerana setiap anak itu adalah anak kita dan mereka berhak menerima layanan yang sama rata.

    5. No gajet

    Perkara ini mungkin menjadi amalan bagi kebanyakan ibu bapa, tidak kira yang memiliki anak kembar atau tidak.

    si kembar

    Dalam penggunaan gajet seperti telefon pintar, hadkan penggunaannya dan pastikan anak tidak dibenar menggunakannya semasa di meja makan. Pastikan juga mereka tidak membawa telefon ke dalam bilik tidur.

    Mengakhiri perbualan, Ekin menasihatkan kepada ibu bapa terutamanya yang memiliki anak kembar untuk pandai membahagikan masa. Ia penting supaya kita tidak penat dan masih mempunyai emosi yang baik untuk melayani kerenah anak-anak.

    Paling mustahak, jangan malu untuk meminta bantuan terutamanya daripada ahli keluarga jika memerlukan.

    Diharapkan perkongsian ibu ini boleh dijadikan panduan untuk parents di luar sana yang masih bergelut dalam jaga anak kembar.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 07/12/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan