Untuk merapatkan hubungan anda bersama anak, mungkin anda boleh luangkan masa pada hujung minggu dengan melakukan perkara yang anak anda gemari, atau berkelah di tepi pantai atau mungkin keluar makan malam bersama keluarga dan membeli belah.
- Konsisten
Ada masanya sukar untuk menjadi konsisten bukan? Apatah lagi untuk sesuatu perkara yang bukan rutin harian kita? Walau bagaimanapun, jika anda mahukan anak anda untuk meletakkan baju kotor ke dalam bakul yang disediakan, sebagai contoh situasi, anda juga harus melakukan perkara yang sama. Jangan sepahkan baju kotor di merata tempat, walaupun ia masih di dalam bilik tidur anda. Ingat, anak anda memerhati apa yang anda lakukan. Jika anda inginkan anak anda balik ke rumah sebelum pukul 7 malam, pastikan jika anak anda lewat pulang, anda mendendanya. Tetapi ia bukanlah satu denda untuk menghukum, sebaliknya ia adalah untuk mengingatkan anak anda tentang tanggungjawabnya.
- Mendengar dan bercakap
Jika anak anda ingin meluahkan sesuatu, berikan ruang kepadanya. Jangan memotong atau menghakiminya sehingga dia selesai berkata-kata. Ini kerana jika anda memotong atau mencelah apa yang sedang dikatakannya, ia berkemungkinan akan membuatkan anak anda berhenti untuk meluahkan dan tidak akan memilih untuk berkongsi sebarang masalah dengan anda. Berikan sepenuh perhatian anda. Ketepikan telefon, komputer, televisyen atau apa sahaja yang boleh mengganggu konsentrasi anda bersama anak.
- Raikan kejayaan
Walaupun anak anda mungkin hanya memenangi hadiah sagu hati untuk pertandingan bercerita di sekolahnya, raikanlah, mungkin dengan memberikan dia coklat kegemaran atau aiskrim yang disukainya. Biarkan dia mengetahui anda bangga dengan apa yang dilakukannya. Ketahuilah, ia memerlukan keberanian untuk anak anda tampil di hadapan khalayak umum.
- Hormati dan sayangi
Hormati anak anda sebagaimana anda mahukan diri anda dihormati. Jangan pernah merendah-rendahkan atau memalukan anak anda di hadapan individu lain walaupun anda hanya berniat untuk mengajarnya atau mungkin sekadar bergurau. Kerana tindakan sebegitu cenderung menyebabkan anak anda berasa malu dan akhirnya menyimpan dendam.
Sentiasa mengucapkan rasa sayang kepadanya sedari kecil kerana ia pasti akan membantu dirinya apabila mengetahui dirinya disayangi anda. Jika anak anda masih kecil, peluklah dan katakan “Mama sayang awak” dengan kerap tanpa mengira masa dan keadaan. Tetapi untuk anak yang sudah meningkat remaja, pastikan situasi terlebih dahulu, pastinya anda tidak mahu menimbulkan situasi yang tidak diingini.
Apakah jenis gaya asuhan ibu bapa yang wujud?
Setiap pasangan yang sudah berkahwin pastinya mahukan kehadiran cahaya mata untuk melengkapi hidup mereka. Namun kedatangan zuriat dalam hidup anda adalah bersama dengan pakej tanggungjawab untuk mendidik dan mengasuh. Gagal mengasuh anak dengan baik merupakan antara punca biasa yang menyebabkan berlakunya kegagalan sebuah rumahtangga dan sekali gus menjadi punca kepada anak yang bermasalah disiplin.
Apabila anak semakin meningkat usia, cara dan gaya keibubapaan juga perlu berubah. Ini adalah untuk membantu menyesuaikan diri anak anda dengan dunia sebenar di sekeliling mereka. Cara didikan dan asuhan yang salah mungkin akan menjadikan anak anda tidak dapat atau sukar untuk menyesuaikan diri dengan keadaan sekelilingnya.
Terdapat 3 jenis utama gaya asuhan, iaitu:
Ibu bapa yang bersikap autoritarian adalah sangat tegas dengan anak dan tidak akan membenarkan sebarang rundingan berlaku antara mereka dengan anak. Mereka tidak akan mendengar sebarang keluhan anak malah lebih cenderung mengawal anak mereka untuk mengikut arahan.
Ibu bapa yang bersikap permisif adalah sangat santai dan jarang menetapkan apa-apa peraturan tegas terhadap anak mereka. Disebabkan ini, kanak-kanak yang mempunyai ibu bapa permisif dibenarkan untuk melakukan apa-apa sahaja tanpa merisaukan akibat daripada perlakuan mereka itu.
Ibu bapa yang bersikap autoritatif pula menggabungkan kedua-dua gaya asuhan. Mereka tidak cenderung untuk mengawal dan tidak juga cenderung membenarkan anak mereka melakukan apa-apa sesuka hati. Teknik keibubapaan yang bersikap autoritatif ini akan bersama-sama dengan anak untuk membuat peraturan yang menyenangkan kedua-dua belah pihak.

Fahami jenis keibubapaan autokrasi
Apabila stail keibubapaan begitu tegar, ia dikenali sebagai autokrasi atau gaya asuhan authoritarian. Ibu bapa autokrasi benar-benar mahukan anaknya menjadi berdisiplin dan mendapat banyak kejayaan. Walau bagaimanapun, dengan cara didikan yang ketat, tidak banyak fleksibiliti dalam gaya keibubapaan ini. Kanak-kanak dijangka untuk memenuhi permintaan ibu bapa authoritarian mereka tanpa sebarang penjelasan. Manfaat daripada jenis keibubapaan ini tidak dapat dinafikan, tetapi kanak-kanak mungkin mengalami kesan buruk. Sebagai contoh, mereka mungkin akan mengalami kurang keyakinan diri.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen