Anak suka main slime tetapi anda tidak pasti selamat atau tidak? Tak usah gusar, Hello Doktor akan tunjukkan cara buat slime mudah dan selamat yang boleh anda cuba di rumah bersama anak-anak. Ayuh!
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.
Bermain slime
Sebelum anda mengetahui cara buat slime, pastinya ibu bapa ingin tahu apakah sebenarnya benda seakan lendir melekit itu, betul tak?
Slime adalah mainan popular yang disukai kanak-kanak dan juga individu dewasa. Bermain dengannya boleh menimbulkan rasa kepuasan apabila dapat meregang dan melenyekkannya.
Melenyekkan slime di antara jari tangan sebenarnya boleh menjadi cara terbaik untuk menghilangkan tekanan dan juga ia menyeronokkan.
Tempoh ketahanan
Kunci penyimpanan slime agar tahan lama adalah untuk menyimpan ia di dalam bekas kedap udara. Ini bertujuan untuk menghalangnya daripada menjadi kering dan bertahan lebih lama.
Dikatakan jika anda menyimpan slime di dalam peti sejuk, ia boleh bertahan lebih sebulan tanpa mengeringkannya atau menyebabkan ia berkulat.
Sains berkaitan slime
Sains slime bermula dengan penggunaan bahan-bahan yang betul, termasuklah jenis gam dan pengaktif lendir yang betul.
Gam yang terbaik adalah gam sekolah PVA – polyvinyl-acetate, yang boleh dibasuh.
Untuk pengaktif lendir, terdapat beberapa pilihan boleh digunakan, seperti larutan garam (saline solution), kanji cair dan serbuk boraks – semuanya mengandungi bahan kimia yang sama untuk menghasilkan slime.
Slime akan terhasil selepas gam dan pengaktif digabungkan!
Cara buat slime: Selamat ke?
Secara amnya, ya, slime adalah selamat untuk dijadikan sebagai bahan mainan. Paling penting, pastikan anak tidak memasukkan slime ini ke dalam mulut.
Pun begitu, bagi mereka yang mempunyai reaksi tindak balas kulit terhadap bahan yang digunakan, anak mungkin boleh mendapat ruam.
Ini kerana dalam kebanyakan penghasilan slime menggunakan bahan yang dipanggil boraks (borax) – mengandungi bahan aditif dalam detergen pakaian, yang boleh menyebabkan luka terbakar.
Namun untuk menjadikan slime lebih selamat, anda boleh mengenepikan penggunaan boraks. Jom ketahui caranya.
Baca juga:
Cara buat slime mudah
Ini adalah resipi slime terbaik kerana ia dapat dihasilkan dengan cepat dan hanya memerlukan 4 bahan utama sahaja!
Sebelum memulakan pembuatan slime di rumah, pastikan anda meletakkan alas plastik pada meja supaya slime tidak terkena permukaan meja nanti.
Bahan-bahan:
- 8 auns – gam sekolah putih Elmer
- 1½ – 2 sudu makan larutan garam – mungkin diperlukan dalam jumlah yang banyak, mengikut keperluan
- 1 sudu besar soda penaik (baking soda)
- Pewarna makanan – jika mahu
- Mangkuk plastik
Cara penyediaan:
- Masukkan gam dan pewarna makanan ke dalam mangkuk dan kemudian kacau hingga sebati. Jika tidak mahu menggunakan pewarna, maka hanya masukkan gam ke dalam mangkuk.
- Campurkan soda penaik dan kacau sekali lagi hingga sebati.
- Langkah seterusnya, campurkan larutan garam dan gaulkan semua bahan.
- Sekiranya adunan terlalu melekit, tambahkan ½ sudu besar larutan garam pada satu masa. Semakin banyak larutan ditambah, adunan akan menjadi lebih keras. Sebaliknya jika larutan garam kurang, slime akan menjadi terlalu cair.
- Kemudian, anda boleh menguli doh slime menggunakan tangan. Pada mulanya ia akan terasa basah dan agak melekit, tetapi teruskan menguli sehingga mencapai konsistensi yang diingini.
- Simpan slime dalam bekas dengan bertutup.
Cara buat slime resipi tanpa bahan pengaktif
Inginkan resipi slime tanpa menggunakan bahan pengaktif? Boleh, cuma slime yang terhasil tidak akan mempunyai tekstur atau regangan yang sama seperti slime biasa.
Untuk membuat slime jenis ini, anda memerlukan sebarang jenis syampu – lebih pekat konsistensi syampu adalah lebih baik – dan tepung jagung.
Ini cara membuatnya:
- Masukkan 1/2 cawan syampu dan 1/4 cawan tepung jagung dalam mangkuk.
- Gaul sebati.
- Tambahkan 3 titik pewarna makanan (jika mahu).
- Masukkan 1 sudu besar air dan kacau. Perlahan-lahan tambah lagi 5 sudu air – selepas penambahan 1 sudu air, pastikan anda mengacau adunan.
- Uli adunan selama lebih kurang 5 minit.
Jika anda dapati slime masih melekit selepas mengulinya, tambahkan sedikit tepung jagung dan uli kembali. Ulang langkah ini sehingga mencapai konsistensi yang diingini.
Petua cara buat slime
- Gunakan mangkuk dan sudu plastik untuk memudahkan kerja pembersihan nanti
- Pastikan anda mendapatkan warna yang betul sebelum menambah larutan garam. Ini kerana pewarna akan lebih sukar untuk dicampurkan apabila ia mula mengeras
- Untuk mendapatkan slime dengan konsistensi lebih keras, tambahkan lebih banyak larutan garam. Jika sebaliknya, kurangkan penggunaan larutan garam
- Untuk anak bermain slime, pastikan anda melapik permukaan tempat bermain dengan alas plastik
- Anda juga boleh menambah bahan lain bagi menjadikan slime lebih menarik seperti serbuk kilauan atau minyak wangi
- Jika anda atau anak mempunyai rambut panjang, pastikan ia diikat terlebih dahulu. Ini kerana jika slime terkena rambut, ia hanya boleh dikeluarkan dengan menggunakan minyak kelapa atau minyak zaitun
Walau apa pun, sebelum mencuba sebarang cara buat slime mudah yang dikongsikan di atas, pastikan anda mengetahui sama ada si kecil mempunyai alahan terhadap bahan yang akan digunakan atau tidak.
Ini penting bagi mengelakkan sebarang reaksi alahan yang tidak diingini. Selamat mencuba!
[embed-health-tool-child-growth-chart]