Alahan
Alahan pada kulit bayi dan kanak-kanak akan berlaku apabila badan bertindak balas terhadap bahan atau pencetus (alergen) yang kebiasaannya tidak berbahaya bagi individu lain.
Reaksi setiap alahan adalah berbeza mengikut alergen dan individu itu sendiri.
Menurut Dr Lim Wei Leng yang merupakan Perunding Pakar Kanak-kanak dan Neonatologi Pusat Perubatan Sunway (SunMed), terdapat pelbagai jenis gejala alahan dan yang paling biasa berlaku dalam kalangan kanak-kanak adalah ruam kulit, sesak nafas, gegata, gatal-gatal mata, cirit-birit, bersin, batuk, muntah, semput, hidung berair dan sakit pada abdomen.
Paling bahaya, boleh berlaku lemas akibat tidak dapat bernafas (anafilaksis) iaitu satu tindak balas alahan yang boleh membawa maut.
Menurut beliau lagi, alergen yang kerap membangkitkan alahan adalah makanan seperti produk tenusu, makanan laut, kekacang dan telur.
Selain itu, persekitaran di kawasan rumah juga menyumbang kepada alergen seperti bulu haiwan, kulat, hama, debunga atau gigitan serangga.
Asap rokok, minyak wangi dan bahan kimia kegunaan rumah seperti sabun juga mampu menyebabkan alahan.
Disebabkan alahan ini sangat banyak punca dan sukar ditentukan mana satu penyebab alahan anak anda, bawa mereka berjumpa doktor untuk mendapatkan khidmat nasihat dan rawatan.
Apa yang anda perlu lakukan?
Tanpa mengira jenis penyakit yang bayi anda hidapi, perkara yang paling penting untuk dilakukan adalah membawa mereka berjumpa dengan doktor.
Ini kerana ibu bapa sendiri kadangkala tidak mengetahui jenis penyakit dan ubatan atau rawatan yang diperlukan seterusnya.
Mungkin jika ia hanya sekadar ruam biasa, ia akan hilang dengan sendiri.
Namun jika penyakit kulit berlaku disebabkan oleh alahan, anda perlu berhati-hati kerana ada jenis alahan yang boleh membawa maut.
Paling penting, rujuk pakar perubatan atau pakar kulit yang telah diiktiraf dan jangan hanya percaya akan nasihat individu yang tidak berkelayakan.