#4. Elak cuci rambut dengan air panas
Perbuatan mencuci rambut dengan air panas hanya akan menyebabkan tekstur rambut menjadi lebih kasar, kering dan menggerbang.
Sebaiknya, guna air bersuhu sederhana atau sejuk untuk mendapatkan kesan yang lebih baik.
#5. Belai rambut dengan serum atau tonik
Selepas seharian menjalankan aktiviti, pasti rambut dan kulit kepala anda yang terperap di dalam tudung akan menjadi tidak bermaya.
Oleh itu, setiap kali sebelum tidur anda boleh belai rambut anda dengan serum atau tonik. Ini akan membantu rambut dan kulit kepala menyerap nutrien agar ia tetap sihat dan kuat walaupun bertudung.
#6. Dandan rambut sebelum tidur
Rambut menggerbang adalah situasi biasa selepas bangun tidur, bukan?
Mungkin serum atau tonik sahaja tidak mencukupi untuk persediaan rambut sebelum masuk tidur.
Jadi, anda boleh lakukan dandan dan tocang rambut secara longgar (tocang lipan) agar ia sentiasa rapi.
#7. Jaga pemakanan!
Mungkin ada individu yang mengambil ringan mengenai perkara ini dan beranggapan bahawa pemakanan tidak memberi kesan kepada rambut.
Hakikatnya, rambut juga memerlukan nutrien yang akan mendorong kesihatan dan kecantikan rambut anda.
Oleh itu, anda perlu mengambil pelbagai makanan tambahan seperti vitamin yang mengandungi biotin, silika dan lain-lain.
#8. Jangan sanggul rambut basah
Antara kesilapan yang selalu dilakukan ketika membuat sanggul adalah ia dilakukan ketika rambut masih basah. Sebaiknya, pastikan ia benar-benar sudah kering sebelum bersanggul dan bertudung.
Ini kerana rambut yang tertutup dalam keadaan basah akan mengakibatkan masalah kelemumur selain menjadi kusut dan membuat hujung rambut berbuah atau bercabang.
Selain itu, kulit kepala juga akan lebih mudah berminyak.

#9. Getah rambut sesuai
Elakkan daripada menggunakan getah yang kasar seperti gelung getah biasa dan gunakan getah diperbuat daripada material lembut seperti satin ataupun baldu.
Selain itu juga, jangan sesekali sanggul atau ikat rambut anda terlalu ketat!
Sebenarnya, lebih baik jika anda biarkan rambut anda bebas sahaja sebelum mengenakan tudung.
#10. Anak tudung yang sesuai
Bagi wanita yang gemar menggunakan anak tudung, pastikan anda memakai anak tudung berasaskan fabrik kapas serap peluh.
Berpeluh adalah perkara biasa bagi wanita bertudung terutamanya ketika cuaca sedang panas terik. Ini akan mengakibatkan rambut berbau kepam sekali gus merosakkannya.
#11. Tudung material nipis dan ringan
Pun begitu, tidak semua material tudung boleh digunakan kerana ada sesetengahnya akan menyebabkan rambut dan kulit kepala menjadi gatal terutamanya jika teksturnya keras dan berat.
Jadi, sila pilih tudung yang bertekstur nipis dan ringan.
Selain itu, praktikkan ikatan atau lilitan yang mudah serta tidak terlalu melekat dengan kulit kepala. Ini bertujuan memberikan pengaliran udara yang baik buat rambut dan kulit kepala.
#12. Tudung berwarna lembut
Warna gelap terutamanya hitam adalah tidak sesuai dipakai ekoran iklim negara kita yang sangat panas pada siang hari.
Jadi, sila pilih tudung yang berwarna lembut seperti putih, krim atau apa-apa sahaja warna cair kerana ia mampu membebaskan wap yang terperangkap di kawasan rambut dan kulit kepala sepanjang hari.
#13. Kunjungi salun dan spa
Akhir sekali, anda perlu kunjungi salun atau spa untuk melakukan penjagaan rambut dengan kekerapan tiga hingga enam bulan sekali.
Sentiasa potong sedikit hujung rambut yang berbuah atau bercabang di salun untuk memastikan ia mudah diurus. Selain itu, lakukan rawatan rambut di spa secara berkala untuk memastikan ia kekal sihat dan kuat.