backup og meta

Petua Nenek Moyang Kata, Minyak Kelapa Bagus Untuk Rambut & Kulit Kepala, Betul Ke?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 03/06/2021

    Petua Nenek Moyang Kata, Minyak Kelapa Bagus Untuk Rambut & Kulit Kepala, Betul Ke?

    Penggunaan minyak kelapa untuk rambut dan kulit kepala sering kita dengari sebagai petua nenek moyang, kan?

    Minyak kelapa dikatakan berkesan untuk melebatkan rambut dan menyihatkan kulit kepala. Pun begitu, sejauh manakah kebenaran pernyataan ini?

    Mari kita merungkai khasiat di sebalik minyak kelapa kepada rambut dan kulit kepala seperti yang diperkatakan, teruskan membaca okey!

    Manfaat minyak kelapa terhadap rambut

    Penentu rambut yang sihat bergantung pada kualiti protein, komponen utama dalam rambut manusia.

    Walau bagaimanapun, mereka yang melakukan pengubahsuaian kimia seperti mewarna (dyeing), highlighting, bahkan aktiviti harian seperti mencuci dan styling turut boleh merosakkan protein rambut.

    Terdapat beberapa bukti menunjukkan asid laurik (sejenis lemak tepu yang banyak terkandung di dalam minyak kelapa) dapat memberi manfaat kepada rambut dengan melindunginya daripada kehilangan protein.

    Dalam laporan tahun 2015, para penyelidik meninjau sejumlah kajian yang menguji kesan minyak berasaskan tumbuhan terhadap rambut manusia.

    Kajian menyatakan, minyak kelapa mempunyai ‘pertalian’ yang tinggi dengan protein rambut dan kemampuan unik untuk menembus hingga ke batang rambut.

    Penyerapan ini penting untuk mengehadkan jumlah air yang diserap ke dalam rambut, yang menjadi faktor utama kerosakan rambut setiap hari.

    Tambah lagi, kajian menunjukkan minyak kelapa menjadi satu-satunya minyak yang mampu mengurangkan kehilangan protein untuk rambut yang tidak rosak atau rosak ketika digunakan sebagai produk dandanan sebelum dan selepas cucian.

    Minyak ini mungkin juga mempunyai manfaat-manfaat lain untuk rambut manusia. Namun, masih banyak lagi tuntutan yang belum diuji dalam kajian terkawal.

    Antara kemungkinan faedah-faedah lain termasuklah:

    kutu rambut

    1. Mencegah kutu: Satu kajian kecil mendapati, apabila digabungkan dengan herba anise dalam bentuk semburan, minyak kelapa lebih efektif sebanyak 40% dalam merawat masalah kutu kepala berbanding permethrin kimia.
    2. Memberi perlindungan daripada cahaya matahari: Penapis UV melindungi rambut daripada kerosakan akibat selaran matahari. Beberapa kajian mendapati, minyak kelapa mempunyai sun protection factor (SPF) 8.
    3. Rawatan kelemumur: Kelemumur boleh disebabkan oleh pertumbuhan kulat atau yis berlebihan di kulit kepala. Walaupun tidak ada kajian yang meneliti penggunaan minyak kelapa secara khusus, minyak ini mempunyai sifat antimikroba dan berguna untuk merawat kelemumur.
    4. Mencegah keguguran rambut: Penjagaan yang berlebihan boleh merosakkan batang rambut, yang memicu keguguran rambut. Minyak kelapa dikatakan dapat bantu menjaga rambut agar kekal dalam keadaan sihat dan mencegah keguguran daripada berlaku.

    Idea-idea penggunaan minyak kelapa

    Ini 4 cara mudah untuk menyelitkan minyak kelapa dalam rutin penjagaan rambut:

  • Pelindung prapencucian: Semasa menggunakan produk pre-shampoo, minyak kelapa dapat menghentikan rambut daripada menyerap terlalu banyak air dan, seterusnya, mencegah kerosakan dan kekeringan. Cuba sapukan minyak kelapa sekitar 15 hingga 30 minit sebelum anda mencuci, dengan memfokuskan bahagian tengah dan hujung rambut
  • Perapi rambut: Seperti perapi lain, minyak kelapa bantu menguatkan batang rambut dan mencegahnya daripada menjadi rapuh. Anda boleh menggunakan minyak kelapa sebagai alternatif untuk perapi biasa, atau menambahkan beberapa tiits minyak ke dalam perapi rambut untuk meningkatkan keberkesanannya
  • Masker rambut: Untuk memperolehi manfaat rawatan rambut yang sangat berkhasiat, letakkan 1 atau 2 sudu teh minyak pada rambut anda, sapu secara menyeluruh dan biarkan ia melakukan ‘magisnya’. Anda boleh mencuci bekas minyak selepas beberapa jam, atau membiarkannya semalaman untuk merawat masalah rambut kering atau rosak
  • Memudahkan proses penggayaan rambut: Beberapa titis minyak kelapa sudah berguna untuk ‘menjinakkan’ keriting rambut. Untuk penyerapan yang lebih mudah dan gaya yang optimum, pastikan memakai minyak tersebut ketika rambut masih lembap
  • Tip-tip penggunaan minyak kelapa

    Berikut adalah beberapa petua yang berguna untuk memanfaatkan minyak kelapa dalam rejimen penjagaan rambut kalian.

    syampu rambut

    #1 Syampu 2 kali

    Apabila tiba masanya untuk mencuci bekas minyak kelapa daripada rambut, penggunaan syampu sebanyak 2 kali mungkin diperlukan untuk menghilangkan sisa minyak sepenuhnya.

    #2 Jangan menyumbatkan kulit kepala

    Sebilangan orang mendapati, menyapu minyak kelapa secara langsung ke kulit kepala dapat mengurangkan isu kekeringan, tetapi ada juga yang bergelut dengan masalah seperti kerengsaan dan pori-pori yang tersumbat.

    Sekiranya anda tidak pernah menggunakan minyak kelapa di kulit kepala, mulakan dengan berhati-hati dan dalam jumlah yang sangat kecil.

    #3 Jangan pakai terlalu banyak!

    Elak daripada memakai dalam kuantiti yang banyak, minyak kelapa dapat menjejaskan penampilan rambut dengan membuatkannya tampak berminyak dan kusam apabila digunakan berlebihan.

    Maka, untuk mengelakkannya, mulakanlah dengan kuantiti yang sedikit terlebih dahulu dan urut perlahan-lahan minyak tersebut ke rambut anda, bermula di bahagian tengah hingga ke penghujung.

    #4 Melakukan adunan

    Untuk mendapatkan manfaat kecantikan tambahan, masukkan beberapa titis minyak pati seperti lavender atau pudina ke dalam minyak kelapa.

    Anda juga boleh mencampurkan minyak kelapa dengan bahan semula jadi yang menyuburkan rambut seperti yogurt, madu, avokado, atau jus lemon.

    #5 Cairkan semula

    Sekiranya minyak kelapa menjadi pekat, ia boleh dicairkan dengan meletakkan sedikit pada telapak tangan dan gosok hingga ia bertukar menjadi cecair semula.

    Selamat mencuba!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 03/06/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan