backup og meta

Menyusu Anak Dengan Susu Badan Kurangkan Risiko Bayi Demam Selepas Vaksin? Ini Faktanya!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 01/03/2022

    Menyusu Anak Dengan Susu Badan Kurangkan Risiko Bayi Demam Selepas Vaksin? Ini Faktanya!

    Seperti orang dewasa, bayi juga boleh mengalami demam selepas menerima suntikan imunisasi. Tetapi kajian menunjukkan jika ibu menyusu anak selepas suntikan, risikonya akan berkurang.

    Ikuti penjelasannya dalam artikel ini.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.

    Menyusu anak dengan susu badan mengurangkan risiko demam selepas suntikan?

    Berdasarkan kajian, bayi yang mendapat penyusuan susu ibu secara eksklusif dikatakan berkemungkinan untuk mengalami demam selepas vaksinasi rutin berbanding mereka yang menyusu separa atau hanya menerima susu formula.

    Kebanyakan bayi akan menjadi mudah meragam dan demam selepas suntikan vaksin – mengakibatkan kesukaran untuk tidur bagi seisi keluarga dan mungkin menyebabkan timbul kebimbangan bagi ibu bapa.

    Ia adalah hasil penyelidikan yang dijalankan di pusat vaksinasi di Naples, Itali.

    Kelebihan menyusu anak 

    American Academy of Pediatrics (AAP) mengesyorkan menyusu badan secara eksklusif ini diteruskan untuk 6 bulan pertama kehidupan bayi dan sekurang-kurangnya meneruskan penyusuan bagi tempoh setahun yang pertama.

    Selain mengurangkan masalah sindrom kematian bayi mengejut (SIDS), obesiti, asma, diabetes dan beberapa kanser, menyusu anak juga menurunkan risiko si manja untuk mendapat jangkitan telinga, jangkitan saluran pernafasan dan beberapa penyakit berjangkit lain. 

    menyusu anak

    Kajian yang dilakukan 

    Dalam kajian tersebut, bayi diberikan dos 1 atau 2 suntikan imunisasi 6 dalam 1 untuk mencegah penyakit difteria, tetanus (kancing gigi), pertussis (batuk kokol), poliomyelitis, Hepatitis B dan jangkitan Haemophilus influenzae jenis b bersama vaksin untuk melawan pneumokokus meningitis.

    Ibu-ibu diajar cara mengambil suhu secara rektal dan perlu mengukur suhu pada waktu malam selepas suntikan selama 3 hari.

    Daripada 460 bayi, peratusan jumlah bayi yang demam adalah seperti berikut:

    • 25% bayi yang diberikan susu ibu secara eksklusif
    • 31% bayi menyusu separa
    • 53% bayi yang diberikan susu formula

    Kesan perlindungan menyusu anak turut mengambil kira faktor risiko lain untuk demam seperti dos vaksin, ibu merokok, tahap pendidikan ibu dan kehadiran anak lain dalam rumah.

    Secara tidak langsung, berdasarkan kajian dapat disimpulkan bahawa bayi yang mendapat susu ibu secara eksklusif kurang berisiko mengalami demam selepas vaksinasi.

    menyusu anak

    Faktor menyusu anak mengurangkan risiko demam

    Walau bagaimanapun, bagaimana menyusukan anak secara eksklusif dapat mengurangkan kemungkinan si manja mengalami demam selepas suntikan adalah tidak jelas.

    Tetapi ia dipercayai kerana kandungan bahan antiradang tertentu dalam susu ibu yang berpotensi mengurangkan risiko demam tersebut.

    Terdapat data dan penyelidikan menunjukkan antibodi ibu dipindahkan semasa penyusuan susu badan dan boleh melindungi si manja daripada jangkitan virus.

    Ia juga mungkin disebabkan fakta bahawa bayi yang menyusu badan kurang berkemungkinan menolak penyusuan apabila tidak sihat kerana ia memberikan mereka keselesaan semasa sakit.

    Umumnya, suntikan imunisasi boleh menimbulkan traumatik untuk bayi dan proses penyusuan dapat mengurangkan ketidakselesaan yang dialami.

    Lebih baik lagi, menyusu anak juga meningkatkan keberkesanan imunisasi pada bayi.

    Baca juga:

    Jenis-jenis suntikan imunisasi yang diperlukan bayi 

    Anda sudah sedia maklum penyusuan dapat meringankan komplikasi vaksin. Tetapi apakah vaksin yang perlu diambil si manja?

    Berikut dikongsikan beberapa jenis vaksinasi bayi wajib di Malaysia di bawah Program Imunisasi Kebangsaan (NIP) dan fungsinya, seperti:

    #BCG

    Tuberkulosis (TB) – Merupakan penyakit menular dan boleh membawa maut. 

    Tanpa suntikan imunisasi ini, si kecil berisiko untuk mengalami kerosakan paru-paru, meningitis TB dan penyakit tulang.

    #DTap 

    Difteria – Boleh menyebabkan penyumbatan saluran udara dan boleh mengakibatkan kerosakan jantung dan otak.

    Pertussis (Batuk berterusan)Batuk yang teruk dan berpanjangan yang boleh menyebabkan jangkitan paru-paru dan otak.

    Tetanus (Lockjaw) – Kekejangan otot yang teruk yang boleh menyebabkan kematian.

    #Polio

    Poliomyelitis (Polio) – Kelemahan otot kekal yang boleh menyebabkan kelumpuhan, terutama pada kaki.

    #MMR 

    Campak – Sangat berjangkit, dicirikan oleh demam, batuk, hidung berair dan ruam. 

    Keadaan boleh bertambah teruk dengan masalah radang paru-paru, ensefalitis dan otitis media (jangkitan telinga tengah).

    menyusu anak

    Beguk – Sangat berjangkit, menyebabkan pembengkakan kelenjar di belakang rahang. Boleh mengakibatkan keradangan testis sehingga menyebabkan kemandulan.

    Rubella (campak Jerman) – Boleh disebarkan oleh wanita hamil ke bayi dalam kandungan, yang mengakibatkan sindrom rubella kongenital.

    #Hepatitis B 

    Berpunca daripada virus hepatitis B yang menyebabkan hati menjadi bengkak (radang).

    Bagi sesetengah individu, virus boleh tinggal di dalam tubuh untuk tempoh lama dan mengakibatkan masalah hati serius termasuklah kanser hati.

    #Haemophilus influenzae jenis b

    Sering disebut sebagai Hib –  jangkitan bakteria serius dan boleh menyebabkan meningitis – keradangan pada penutup luar otak.

    Jika si manja tidak mendapat suntikan imunisasi ini, mereka berisiko mengalami kerosakan otak, pekak, epilepsi atau separa buta.

    Ia juga boleh menyebabkan keradangan dan bengkak tekak, kesukaran menelan dan bernafas serta jangkitan yang boleh menjejaskan bahagian tubuh lain seperti darah, paru-paru, kulit, tulang dan sendi.

    Jadi berdasarkan penyelidikan tersebut, ibu-ibu amat digalakkan untuk menyusukan si manja selepas vaksin bagi mengurangkan risiko mereka mengalami demam.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 01/03/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan