Ambil Tahu Langkah Mencegah Kanser Hati, Salah Satunya Adalah Dengan Vaksin Hepatitis

Fakta Perubatan Disemak oleh | Oleh

Kemas kini Tarikh 24/11/2020 . 6 minit bacaan
Share now

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kanser Hati, sila dapatkannya di sini.

Walaupun kanser hati tidak dapat dicegah secara mutlak, namun risikonya boleh diturunkan melalui beberapa cara. Salah satu cara untuk menjaga organ hati daripada terkena penyakit kanser tertumpu kepada cara mencegah jangkitan hepatitis B dan C.

Ia berikutan kedua-dua jangkitan virus tersebut merupakan faktor utama yang menyebabkan kanser hati.

Antara langkah yang boleh diambil bagi mengurangkan risiko barah hati adalah seperti berikut.

Vaksin hepatitis

Setakat ini, masih tiada lagi vaksin hepatitis C yang terbukti berkesan untuk menghindari jangkitan virus tersebut.

Perlindungan vaksin terhadap hepatitis lebih tertumpu kepada virus hepatitis B.

Di Malaysia, Program Imunisasi Nasional telah menetapkan suntikan hepatitis B diberikan kepada semua bayi yang baru lahir.

Oleh sebab virus ini boleh menjangkiti individu tanpa menunjukkan simptom, pengesanan awal boleh memberikan kelebihan dari sudut potensi kesembuhan.

Begitu juga dengan mereka yang bekerja di sektor kesihatan seperti doktor, jururawat, pembantu perubatan dan sebagainya.

Oleh sebab mereka terdedah kepada risiko kecederaan tusukan jarum, penyebaran hepatitis B boleh dihindari melalui pemberian vaksin.

Mereka yang mempunyai faktor risiko berikut juga disarankan untuk mengambil suntikan vaksin hepatitis B bagi menjaga organ hati:

  1. Sering bertukar pasangan seksual
  2. Berkongsi jarum ketika menyuntik dadah
  3. Didiagnosis dengan jangkitan kelamin seperti HIV dan sifilis
  4. Mempunyai penyakit hati kronik
  5. Mengalami masalah diabetes di bawah usia 60 tahun

Berbeza dengan jangkitan HIV, penyebaran virus hepatitis B adalah jauh lebih mudah berlaku dalam kalangan orang awam.

Jumlah bendalir tercemar yang diperlukan untuk memulakan rantaian jangkitan hanyalah sedikit.

Malah, jika anda mempunyai luka kecil pada tangan dan mempunyai kontak dengan virus yang terdapat pada persekitaran seperti tombol pintu sudah cukup untuk membuatkan anda positif jangkitan.

Meskipun begitu, 95 peratus pesakit yang mempunyai jangkitan virus hepatitis B akan sembuh.

Selebihnya akan mengalami jangkitan hepatitis kronik yang boleh meningkatkan risiko anda untuk mendapat kanser hati.

Oleh sebab itu, pengambilan vaksin hepatitis B perlu ditekankan memandangkan risiko kanser boleh dikurangkan dengan cara mencegah jangkitan itu sendiri.

Ujian makmal secara berkala

Terdapat beberapa ujian makmal yang boleh mengesan faktor risiko kanser hati.

Pengesanannya pada peringkat awal boleh memberikan ruang kepada doktor dan pesakit untuk membincangkan perihal modaliti perubatan awal untuk mencegah masalah tersebut daripada melarat.

Ujian hepatitis B dan C

Antara faktor risiko yang sering diperbincangkan berkenaan dengan jangkitan hepatitis C mempunyai kaitan dengan umur.

Menurut Pusat Kawalan Pencegahan Penyakit Berjangkit (CDC), mereka yang lahir di antara tahun 1945 hingga 1965 mempunyai risiko 5 kali ganda untuk dijangkiti oleh virus hepatitis C.

Oleh sebab ia jarang menyebabkan simptom, penting bagi setiap individu untuk lebih peka terhadap faktor risiko jangkitan.

Di negara maju seperti Amerika Syarikat dan Jepun, hepatitis C merupakan punca utama kanser hati.

Mereka yang dijangkiti oleh hepatitis C lebih cenderung untuk menjadi pembawa berbanding dengan mereka yang dijangkiti oleh hepatitis B.

Kira-kira 10 hingga 30 peratus daripada jumlah mereka yang dijangkiti akan mengalami komplikasi sirosis. 

Namun begitu, jika seseorang itu disahkan mempunyai jangkitan hepatitis C, rawatan boleh memberikan kesembuhan kepada 99 peratus penghidap kronik.

Sirosis dapat dielakkan dan risiko untuk kanser hati boleh diturunkan.

Begitu juga dengan jangkitan hepatitis B. Pemeriksaan dan pengesanan awal boleh membantu menghindarkan kanser hati yang boleh membawa kesan yang lebih serius kelak.

Ujian hemokromatosis

Pelbagai jenis penyakit genetik boleh meningkatkan risiko untuk mendapat kanser hati. Salah satu daripadanya berkait dengan hemokromatosis.

Ia merupakan keadaan kesihatan yang menyebabkan penyimpanan atau penyerapan zat besi secara berlebihan sehingga boleh mengakibatkan sirosis hati.

Jika mempunyai sejarah penyakit hati dalam keluarga anda, walaupun tiada yang mengambil minuman beralkohol, namun saringan awal boleh menyelamatkan nyawa anda sekeluarga.

Buat masa sekarang, hemokromatosis mempunyai kadar diagnosis yang rendah berbanding dengan masalah genetik yang lain.

Oleh sebab itu, penting bagi anda untuk mengetahui maklumat genetik bagi mengambil langkah berjaga-jaga.

Amalkan seks selamat

Cara menjaga organ hati

Oleh sebab kaedah penyebaran virus hepatitis B dan C melibatkan hubungan seksual, amalan seks selamat boleh merendahkan risiko jangkitan hepatitis.

Penting untuk anda faham tentang mekanisme dan punca berlakunya kanser hati melalui amalan seks tidak selamat bagi menggalakkan pasangan untuk mengambil ujian saringan.

Penggunaan kondom ketika seks boleh menurunkan risiko jangkitan.

Mereka yang sedang mengambil vaksin juga digalakkan untuk memakai kondom sehingga ujian membuktikan mereka imun selepas dos terakhir diambil.

Seks tanpa kondom hanya digalakkan pada mereka yang terlibat dalam hubungan monogami.

Walaupun kadar penyebaran hepatitis C ketika hubungan seks adalah lebih rendah berbanding hepatitis B, risiko tetap ada.

Kurangkan pengambilan alkohol

Pengambilan alkohol secara berlebihan boleh menyebabkan berlakunya proses patologi yang mengakibatkan terbentuknya tisu parut pada organ hati.

Jika tabiat tersebut tidak dibendung, masalah sirosis tersebut boleh menyebabkan fungsi hati merosot. Keadaan ini akan meningkatkan risiko anda untuk mendapat kanser tersebut. 

Secara amnya, pengambilan alkohol melebihi 3 minuman sehari boleh menyebabkan kesan buruk terhadap organ hati.

Meskipun begitu, jika minuman beralkohol diambil dalam satu jangka masa panjang, walaupun kurang daripada 3 minuman sehari, ia masih boleh memberikan impak negatif terhadap tahap kesihatan anda.

Jika anda mengalami masalah untuk berhenti mengambil minuman beralkohol, pastikan anda mendapatkan bantuan profesional atau sertai kumpulan sokongan berkaitan.

Berhenti merokok

Cara mencegah penyakit hati

Tabiat merokok bukan sahaja boleh menyebabkan masalah kanser, ia juga boleh memberikan kesan buruk terhadap tahap kesihatan secara menyeluruh.

Salah satu cara mencegah penyakit kanser hati ialah dengan cara berhenti merokok. Penyakit kronik seperti masalah jantung dan strok lebih kerap didiagnosis dalam kalangan perokok berbanding dengan mereka yang tidak merokok.

Menurut kajian yang dijalankan pada tahun 2017 oleh pengkaji dari China, tabiat merokok boleh meningkatkan risiko kanser hati sebanyak 25%.

Jika perokok merupakan pembawa kepada virus hepatitis B, keadaan tersebut adalah lebih teruk.

Individu yang tidak merokok namun mempunyai virus hepatitis B mempunyai risiko setinggi 7.6 kali ganda untuk mendapat kanser hati.

Risiko tersebut meningkat kepada angka 15.68 kali ganda, jika pembawa virus tersebut merupakan perokok.

Jangan berkongsi jarum

Majoriti kes penyebaran hepatitis C berlaku dalam kalangan individu yang berkongsi jarum.

Oleh sebab jangkitan hepatitis C tidak mempunyai vaksin dan ia jarang menunjukkan simptom, cara terbaik untuk menghindarkannya adalah dengan tidak menggunakan dadah terlarang atau tidak berkongsi jarum.

Peralatan lain seperti sudu, kapas dan perkakas masakan yang digunakan untuk menyediakan dadah juga berupaya untuk menyebarkan virus hepatitis.

Jika anda ingin menyuntik dadah masuk, gunakan jarum atau peralatan suntikan baharu. Elakkan organ hati anda daripada kanser dengan menjaga diri anda dan salah satu caranya ialah dengan cara tidak berkongsi jarum.

Kebanyakan jabatan berautoriti menawarkan khidmat pertukaran jarum terpakai dengan jarum baharu secara percuma.

Ia bukan sahaja mampu memelihara pengguna daripada jangkitan hepatitis, malah jangkitan kelamin yang lain.

Periksa sumber air minuman 

Walaupun kurang popular di negara maju, pencemaran air dengan bahan karsinogen agak lazim berlaku di negara membangun.

Malah, Amerika Syarikat turut mempunyai masalah kawalan bahan tersebut (seperti arsenik) terutamanya dalam air yang tidak dirawat.

Pengambilan air tercemar boleh menyebabkan pelbagai jenis masalah kesihatan termasuklah kanser.

Bahan buangan industri dan elemen pencemar daripada baja kimia boleh mengganggu proses tapisan semula jadi pada sumber air mineral.

Pemeriksaan air minuman secara berkala boleh membantu menurunkan risiko kanser hati.

Keselamatan di tempat kerja

Pendedahan bahan kimia di tempat kerja boleh meningkatkan risiko kanser hati tanpa disedari.

Antara bahan kimia yang boleh meningkatkan kecenderungan untuk mendapat kanser adalah seperti berikut:

  1. Akrilamid
  2. Benza(a)pyrene (BaP)
  3. Dichlorodiphenyltrichloroethane (DDT)
  4. Perchlorethylene
  5. Bahan kimia perfluorin (PFC)
  6. Asid perfluorooktanoik (PFOA)
  7. Bifenil poliklorin (PCBs)
  8. Trichloroethylene
  9. Vinyl chloride

Antara kerja yang berisiko untuk terdedah kepada bahan kimia yang tersenarai adalah:

  1. Aeroangkasa
  2. Pembungkusan makanan
  3. Petrol minyak
  4. Baiki motosikal
  5. Pemprosesan tekstil
  6. Urusan percetakan
  7. Khidmat dobi
  8. Pembinaan rumah
  9. Kerja yang melibatkan penggunaan besi
  10. Pembuatan (plastik, getah dan bahan kimia)

Pastikan anda memeriksa protokol tempat kerja memandangkan ia direka khusus bagi menjamin keselamatan pekerja. Ada banyak cara yang anda boleh lakukan untuk menjaga organ hati anda supaya tidak terdedah dengan bahan kimia berbahaya ini.

Kawalan berat badan

Walaupun obesiti tidak mempunyai kaitan yang jelas dengan kanser hati, namun, ia boleh menyebabkan keadaan kesihatan yang meningkatkan risiko barah tersebut. 

Sebagai contoh, penyakit hati berlemak bukan alkohol sering dikaitkan dengan masalah obesiti.

Begitu juga dengan kencing manis jenis dua yang merupakan faktor risiko kanser hati.

Individu yang mempunyai masalah diabetes jenis 2 mempunyai risiko 3 kali ganda untuk mendapat barah hati.

Oleh itu, kawal berat badan anda. Ini merupakan salah satu cara yang anda boleh lakukan untuk mencegah penyakit kanser hati.

Konklusi

Terdapat pelbagai jenis faktor yang perlu dipertimbangkan bagi menurunkan risiko untuk mendapat kanser hati.

Walaupun jangkitan hepatitis merupakan aspek pencegahan utama memandangkan majoriti kes disebabkan oleh faktor tersebut, punca lain turut boleh menyumbang kepada pembentukan kanser.

Salah satu cara untuk menjaga organ hati daripada dijangkiti kanser ialah dengan mengambil vaksin yang bersesuaian.

Oleh yang demikian, penting bagi setiap individu terutamanya yang mempunyai faktor risiko kanser untuk mendapatkan pemeriksaan awal sekiranya berisiko.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Adakah artikel ini membantu anda?
happy unhappy
Rujukan