Hipertensi tidak terkawal ialah keadaan di mana pesakit gagal turunkan darah tinggi walaupun telah mengambil tiga jenis ubat antihipertensi atau lebih. Situasi ini sering mengelirukan pesakit kerana mereka sudah menjaga pemakanan, bersenam dan mematuhi pengambilan ubat, namun bacaan tekanan darah mereka tetap tinggi. Dalam sesi soal jawab ini, Dr. Iskandar Mirza Amran, Pakar Kardiologi, menjelaskan punca, rawatan dan cara terbaik turunkan darah tinggi dan mengekalkan tekanan darah yang normal.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Jantung, sila dapatkannya di sini.
Apakah sebenarnya maksud hipertensi tidak terkawal?

Dr. Iskandar Mirza: Secara umum, definisi darah tinggi ialah apabila bacaan tekanan darah melebihi 140/90 mmHg, sama ada sistolik (atas) melebihi 140 mmHg atau diastolik (bawah) melebihi 90 mmHg.
Hipertensi tidak terkawal berlaku apabila tekanan darah ini kekal tinggi walaupun pesakit sudah mengambil tiga atau lebih jenis ubat.
Ia berbahaya kerana risiko strok, serangan jantung dan kerosakan buah pinggang kekal tinggi jika gagal turunkan darah ke paras normal.
Bagaimana doktor menilai pesakit yang disyaki mengalami hipertensi tidak terkawal?
Dr. Iskandar Mirza: Kami akan mengambil sejarah klinikal dan pemeriksaan fizikal menyeluruh.
Ramai pesakit tiada tanda awal darah tinggi, sebab itu ia digelar “silent killer“.
Kami semak ubat yang diambil, tahap kepatuhan, dan kenal pasti punca sekunder seperti gangguan hormon (tiroid, adrenal/cortisol).
Faktor genetik juga berperanan.
Biasanya pesakit memerlukan kombinasi ubat dari pelbagai kelas bagi menstabilkan tekanan darah.
Dahulu dan sekarang – adakah kaedah rawatan turunkan darah tinggi telah berubah?
Dr. Iskandar Mirza: Dahulu, pesakit biasanya diberi satu ubat dan dos dinaikkan secara berperingkat setiap beberapa bulan.
Ini melambatkan kawalan tekanan darah dan meningkatkan risiko komplikasi.
Kini, garis panduan cenderung memulakan sekurang-kurangnya dua ubat pada dos rendah, kemudian ditambah ubat ketiga jika perlu.
Pendekatan ini membantu turunkan darah tinggi dengan lebih cepat dan selamat.
Bagaimana gaya hidup mempengaruhi kawalan tekanan darah tinggi?
Dr. Iskandar Mirza: Gaya hidup memainkan peranan yang besar.
Pengambilan garam berlebihan menyebabkan tubuh mengekalkan lebih banyak air, lalu meningkatkan tekanan dalam salur darah. Obesiti meningkatkan risiko peningkatan tekanan darah.
Kami nasihatkan supaya mengawal pengambilan garam, kurangkan berat badan (penurunan 10% boleh membantu) dan elakkan makanan luar yang biasanya tinggi natrium.
Langkah-langkah ini penting untuk mencapai tekanan darah tinggi normal tanpa terlalu bergantung pada ubat.
Apa komplikasi jangka panjang jika tekanan darah tidak dikawal dengan baik?
Dr. Iskandar Mirza: Tekanan darah tinggi yang tidak terkawal memberi kesan serius pada otak, jantung dan buah pinggang.
Di otak, ia mempercepatkan kerosakan salur darah dan meningkatkan risiko strok.
Di jantung, tekanan kronik menyebabkan otot jantung menebal (left ventricular hypertrophy) dan akhirnya membawa kepada kegagalan jantung.
Sementara itu, buah pinggang boleh rosak akibat tekanan tinggi yang berpanjangan hingga menyebabkan protein di dalam air kencing (proteinuria).
Inilah antara ciri ciri darah tinggi yang ramai tidak sedar sehingga penyakit menjadi kronik.
Komplikasi lain termasuk penyakit arteri periferi (sekatan salur darah kaki) dan kerosakan retina mata.

Selain ubat dan perubahan gaya hidup, apakah pilihan rawatan yang boleh membantu pesakit yang gagal turunkan darah tinggi?
Dr. Iskandar Mirza: Selain ubat, kini terdapat prosedur yang dipanggil renal artery denervation (RDN). Ia dilakukan melalui salur darah menggunakan kateter halus menuju ke arteri buah pinggang kanan dan kiri.
Melalui elektrod pada hujung kateter, haba terkawal diberikan pada dinding arteri untuk menyahaktifkan saraf simpatis yang berlebihan aktiviti di kawasan tersebut.
Ia tidak merosakkan arteri dan dilakukan di kedua-dua belah buah pinggang.
Ini membantu mengurangkan tekanan darah secara beransur-ansur. Pesakit biasanya hanya perlu bius ringan dan boleh pulang selepas prosedur.
Selepas rawatan RDN, adakah ubat masih perlu diambil?
Dr. Iskandar Mirza: Ya, pada peringkat awal pesakit masih perlu meneruskan ubat.
Namun dalam tempoh beberapa bulan, apabila bacaan stabil di bawah 140/90 mmHg, ubat boleh dikurangkan sedikit demi sedikit.
Kajian menunjukkan kesan RDN berpanjangan dan membantu mengekalkan tekanan darah tinggi normal dalam jangka masa panjang.
Siapakah yang sesuai untuk rawatan RDN ini?
Dr. Iskandar Mirza: Individu yang sesuai ialah mereka yang gagal turunkan darah tinggi walaupun sudah mengambil pelbagai ubat, atau mengalami kesan sampingan teruk akibat ubat.
Bagi wanita hamil, prosedur ini tidak digalakkan semasa kehamilan kerana data masih terhad.
Namun selepas bersalin, ia boleh dipertimbangkan jika tekanan darah kekal tinggi.
Bagaimana cara mengukur tekanan darah dengan betul di rumah?
Dr. Iskandar Mirza: Setiap rumah disaran memiliki mesin tekanan darah automatik.
Kadangkala bacaan di klinik lebih tinggi kerana tekanan atau stres (“white-coat effect”).
Untuk dapatkan bacaan tepat di rumah, kosongkan pundi kencing, duduk rehat sekurang-kurangnya lima minit, letakkan lengan pada paras jantung dan jangan bercakap ketika mengukur tekanan darah.
Ambil tiga bacaan berturutan dan ambil purata.
Jika bacaan masih tinggi walaupun sudah mengambil tiga jenis ubat atau lebih, pesakit perlu segera berjumpa pakar.
Adakah pengambilan kopi mempengaruhi tekanan darah?

Dr. Iskandar Mirza: Secara umum, dua cawan kopi sehari masih selamat bagi kebanyakan orang.
Tetapi jika diambil berlebihan, kafein boleh menyebabkan jantung berdebar dan tekanan darah naik.
Alkohol pula tiada manfaat untuk kesihatan jantung, jadi sebaiknya dielakkan.
Kesimpulan
Masalah tekanan darah tinggi yang tidak terkawal bukan bermaksud pesakit gagal menjaga kesihatan, tetapi mungkin memerlukan pendekatan rawatan yang lebih menyeluruh.
Selain ubat, gaya hidup sihat, kawalan berat badan dan prosedur moden seperti RDN boleh membantu turunkan darah tinggi dan mengekalkan tekanan darah tinggi normal
Jika anda kerap alami tanda awal darah tinggi seperti sakit kepala, pening atau keletihan luar biasa, jangan abaikan.
Segeralah buat pemeriksaan dan dapatkan nasihat pakar untuk mengelakkan risiko komplikasi yang lebih teruk!
Bio Doktor
[embed-health-tool-heart-rate]
















