Bagi memudahkan pergerakan anak kecil, penggunaan kereta sorong atau stroller merupakan satu pemandangan biasa yang boleh kita lihat terutamanya apabila berada di pusat membeli-belah. Penggunaan kereta sorong, merupakan antara perkara yang sering menjadi pertimbangan ibu bapa moden apabila keluarga mula berkembang. Ia adalah salah satu cara terbaik untuk mengendalikan bayi yang sedang dalam proses tumbesaran.
Stroller membantu menyediakan kemudahan dan keselesaan bergerak terbaik untuk bayi. Perlukah setiap keluarga yang mempunyai anak kecil untuk membeli kereta sorong? Apakah manfaat penggunaannya? Adakah terdapat panduan untuk membelinya? Ikuti artikel ini untuk mendapatkan kupasan lebih mendalam.
Apa itu kereta sorong?
Seperti yang dikatakan awal tadi, kereta sorong atau stroller ini boleh dianggap sebagai satu kemudahan bergerak yang dapat membantu memberikan keselesaan terbaik kepada bayi. Kereta sorong merupakan satu ciptaan mudah alih dan senang digunakan yang dibina untuk memudahkan ibu bapa dalam menguruskan anak mereka terutamanya bayi kecil. Ia boleh dianggap sebagai bantuan tambahan dan menjadikan situasi lebih mudah.
Apakah manfaat penggunaan kereta sorong?
Berikut adalah antara beberapa manfaat dan kebaikan penggunaan kereta sorong, terutamanya buat ibu bapa yang pertama kali mendapat cahaya mata, iaitu:
- Memudahkan
Dapat melakukan tugasan harian dengan lancar dan sebaiknya adalah keinginan bagi setiap individu. Namun, ada masanya, mempunyai anak kecil atau bayi, boleh menyebabkan perjalanan kelancaran tugasan dan aktiviti harian mungkin sedikit terganggu, apabila anda perlu menjaga bayi dan dalam masa yang sama melaksanakan tugasan harian anda. Maka, penggunaan kereta sorong ini pastinya dapat dijadikan antara jalan penyelesaian terbaik.
Seperti yang anda sedia maklum, kereta sorong adalah satu pengangkutan untuk bayi yang mudah dibawa, dan boleh dilipat. Ia menawarkan cara terbaik untuk menjaga dan membawa bayi anda. Sememangnya anda mempunyai pilihan dan boleh mendukung anak anda ketika berjalan di pusat membeli-belah tetapi akan tiba satu tempoh di mana anda akan berasa letih, atau mungkin ingin memilih barang dan anak anda mungkin memerlukan ruang yang selesa untuk tidur sewaktu berjalan, dan kereta sorong adalah jawapan yang paling tepat untuk digunakan. Ia satu situasi yang menawarkan kelebihan pada pihak ibu bapa dan juga anak; anda boleh teruskan aktiviti membeli anda dan bayi anda boleh tidur dengan nyenyak dan selesa. Bagus bukan?
- Selesa
Kereta sorong adalah satu ciptaan yang mudah untuk digunakan oleh mana-mana ibu bapa, waima individu yang baru pertama kali bergelar ibu bapa. Tiada sebarang latihan, kemahiran mahupun kursus yang diperlukan untuk memahirkan anda menggunakan stroller. Seperti yang dinyatakan di atas, keselesaan yang ditawarkan kepada bayi atau anak kecil anda adalah satu kunci utama yang penting pada kereta sorong. Ini kerana kebanyakan kereta sorong mempunyai padding dan kualiti kain yang baik untuk menjamin keselesaan anak anda.
- Pelbagai pilihan
Penghasilan kereta sorong bukan sahaja untuk memudahkan untuk ibu bapa yang mempunyai bayi kecil, tetapi ia juga dihasilkan dalam bentuk yang dapat menampung kanak-kanak yang lebih besar, malahan terdapat juga kereta sorong yang boleh membuatkan lebih dari seorang anak. Lebih mengujakan, dengan penggunaan bahan yang berkualiti tinggi, malahan memenuhi standard keselamatan, kereta sorong sebagai satu produk penjagaan bayi yang paling tahan lama menawarkan penggunaan yang tahan lama. Ini bermaksud, anda boleh menggunakannya kembali apabila anda mendapat anak kecil yang lain.
[embed-health-tool-vaccination-tool]
- Ciri keselamatan
Terdapat stroller yang turut boleh digunakan sebagai kerusi bayi dalam kereta (car-seat) dan pastinya ia dilengkapi dengan ciri keselamatan untuk bayi anda. Jadi tiada apa yang perlu anda bimbangkan mengenai keselamatan bayi anda selagi ada individu dewasa yang mengawasinya.
- Perlindungan matahari
Malaysia, kita mungkin jarang melihat ibu bapa membawa atau menggunakan kereta sorong untuk membawa anak kecil atau bayi mereka bersiar-siar di taman, selalunya hanya di pusat membeli-belah maka penggunaan kanopi untuk perlindungan matahari mungkin tidak begitu diperlukan. Tetapi situasi ini berbeza dengan kebanyakan ibu bapa di barat, mereka sering membawa anak mereka bersiar di taman, jadi penggunaan stroller dengan kanopi adalah sangat penting. Ia membantu memberikan perlindungan kepada bayi anda dari sinaran matahari. Terdapat pelbagai pilihan saiz kanopi yang boleh anda dapatkan, bersesuaian dengan keperluan anda. Penggunaannya dapat memastikan mata bayi anda dan kulit sensitifnya dilindungi dari sinaran UV berbahaya. Bahkan, terdapat juga kanopi yang kalis air, jadi ia sesuai digunakan tanpa perlu bimbang tentang sebarang perubahan cuaca.
- Ruang penyimpanan
Setiap kereta sorong mempunyai ruang penyimpanan. Kebiasaannya ia boleh didapati pada bahagian bawah kereta sorong. Ini sekali gus membantu ibu bapa dengan memberikan tempat atau ruang untuk meletakkan barangan keperluan bayi atau anak anda seperti lampin pakai buang, pakaian salin, tisu basah dan sebagainya. Malahan, ibu bapa juga boleh menggantungkan beberapa beg pada bahagian pemegang stroller. Namun, anda harus berwaspada, agar tidak meletakkan bebanan secara berlebihan pada pemegang dan ruang penyimpanan demi langkah-langkah keselamatan.
Panduan memilih kereta sorong
Kereta sorong adalah bantuan bergerak yang diperlukan ibu bapa dari awal kelahiran bayi sehinggalah anak anda berkemampuan untuk berjalan dengan jarak jauh secara sendiri, biasanya pada usia 3 atau 4 tahun. Dan terdapat juga ibu bapa yang menggunakan kereta sorong ini sehingga anak mereka berusia 7 hingga 8 tahun sekiranya berjalan jauh atau untuk hari yang panjang.
Walau bagaimanapun, dengan terdapat pelbagai pilihan jenis kereta sorong yang terjual di pasaran, sering kali ia menjadi satu perkara yang sukar untuk membuat pilihan yang tepat untuk keluarga anda. Antara perkara yang perlu anda fikir dan pertimbangkan ketika membuat pilihan stroller yang mana anda harus dapatkan untuk anak anda adalah seperti:
- Di mana tempat tinggal anda?
- Ke mana anda biasa dan mungkin akan menggunakan kereta sorong?
- Berapa jumlah bajet untuk kereta sorong yang akan dibeli?
Jika anda bercadang untuk membawa anak anda berjalan dalam bandar untuk tempoh yang lama dan panjang, anda memerlukan stroller yang kukuh tetapi mudah untuk dikendalikan di atas laluan, keluar masuk kedai dan melalui pengangkutan awam. Jika anda mungkin akan lebih banyak berjalan dari satu negeri ke negeri lain, menggunakan kereta, anda mungkin memerlukan kereta sorong yang mudah lipat dan sesuai untuk dimasukkan ke dalam bonet kereta anda.
Jika anda seorang aktif, gemar bersukan dan mungkin ingin membawa atau perlu membawa anak anda bersama ketika beriadah, anda mungkin perlu memilih kereta sorong yang tahan lasak. Jika anda mempunyai lebih dari seorang anak, dan salah seorang yang masih bayi, mungkin akan perlu memilih stroller bersaiz agak kecil untuk bayi anda dan stroller yang ringan untuk anak yang lebih dewasa.
Jenis stroller yang terdapat di pasaran
- Kereta sorong standard
Hadir dalam pelbagai gaya dan reka bentuk yang berbeza tetapi menawarkan tempat duduk yang selesa yang boleh dilaraskan. Kebiasaannya mempunyai kanopi yang dapat melindungi bayi atau anak anda daripada sinaran matahari serta ruang penyimpanan pada bahagian bawah tempat duduk. Terdapat sesetengah stroller, kedudukan bayi akan menghadap ke hadapan dan terdapat sesetengahnya, kedudukan akan menghadap ibu bapa. Ini adalah antara ciri standard bagi kereta sorong.
- Car-seat stroller
Merupakan kereta sorong yang direka untuk bayi yang baru lahir dan berusia kurang dari 6 bulan. Ia merupakan car-seat mudah alih yang boleh diletakkan di dalam atau digunakan dengan kereta sorong. Penggunaan stroller jenis ini amat menyenangkan terutamanya jika bayi anda sedang tidur dan anda boleh mengangkat terus car-seat tersebut tanpa perlu mengalih atau mengeluarkan bayi anda daripadanya. Ia biasanya sesuai untuk bayi yang berusia kurang daripada 15 kilogram.
- Jogging stroller
Bagi kereta sorong jenis ini, terdapat yang menyediakan sekali dengan car-seat untuk bayi. Namun terdapat juga yang direka secara berasingan tetapi anda boleh membelinya jika diperlukan. Kebiasaannya, stroller ini adalah lebih besar, dan lebih mahal. Tetapi satu kelebihannya adalah anda masih boleh menggunakannya walaupun anak anda sudah tidak lagi menggunakan car-seat untuk bayi.
Kereta sorong ini mempunyai 3-roda pada bingkai yang ringan yang membantu memberikan pengendalian yang lancar dan mudah bagi penumpang dan individu yang menolaknya. Amat sesuai untuk membawa anak anda bagi berjalan-jalan untuk jarak yang jauh, ketika berlari atau melalui kawasan hutan, hanya jika lorong yang dilalui dapat memuatkan kereta sorong ini. Terdapat stroller dari jenis ini yang menawarkan kemudahan untuk membawa lebih dari seorang anak, sama ada secara kedudukan sebelah-menyebelah atau secara kedudukan satu di belakang yang lain.
Bagi kegunaan dalam bandar, saiznya mungkin menyukarkan untuk naik dan turun tangga, lif atau melalui pintu kedai, dan kekurangnya adalah ia tidak boleh dilipat seperti model kereta sorong kompak lain.
- Light-weight stroller
Biasanya mempunyai berat kurang daripada 5 kilogram dan boleh dilipat padat. Ia kurang padding dan ada juga yang tidak begitu boleh dilaraskan, namun dari segi harga, ia adalah sangat mampu milik berbanding reka bentuk lain yang dilengkapi dengan pelbagai ciri-ciri tambahan lain. Kesesuaian kereta sorong ini adalah lebih kepada kanak-kanak dan bayi yang berusia lebih (bergantung kepada cadangan umur penggunaan yang disarankan pengeluar) serta tidak sesuai kepada bayi berusia bawah 6 bulan kerana tempat duduknya tidak mempunyai banyak sokongan untuk bahagian kepala bayi. Kebanyakan keluarga memilih stroller sebagai sokongan terutama apabila melancong.
- Double, triple stroller
Amat sesuai untuk ibu bapa atau keluarga yang mempunyai lebih daripada seorang anak kecil. Sesetengah rekaan, kedudukan adalah seorang anak akan berada di belakang anak yang lain, dan ia amat sesuai untuk keluarga yang mempunyai bayi kecil dan anak kecil yang lebih dewasa, serta amat mudah untuk digunakan di dalam bandar, atau pusat membeli-belah. Terdapat juga rekaan kereta sorong yang kedudukannya adalah secara beriringan atau secara sebelah-menyebelah, tetapi kekurangannya ia mungkin sukar untuk dikendalikan ketika berada di dalam pusat membeli-belah.
Kriteria pemilihan kereta sorong
Semasa membuat pemilihan untuk membeli kereta sorong, terdapat beberapa faktor atau kriteria yang harus menjadi keutamaan, antaranya adalah seperti:
- Keselamatan
Merupakan aspek yang harus menjadi keutamaan dalam pemilihan stroller. Pastikan ia mempunyai rangka atau bingkai yang boleh dikunci kedudukannya, dengan mekanisme yang mudah untuk digunakan. Ini sekali gus dapat mengelakkan sebarang kesilapan yang tidak disengajakan ketika membawa anak anda. Perhatikan sebarang ruang, bingkai tajam yang boleh mendatangkan kecederaan atau membuatkan bahagian badan anak seperti tangan atau kaki terperangkap ketika berada di dalamnya.
- Harnesses
Adalah satu sistem pengekalan yang perlu ada. Ia merupakan satu sistem keselamatan abah-abah 5-mata yang membantu mengekalkan kedudukan pinggang (badan), antara kaki dan dari bahu ke bawah. Pastikan ia terdapat buckle yang mudah untuk digunakan tetapi menjamin keselamatan anak anda.
- Boleh laras
Selain keselamatan, faktor ini juga penting terutama jika anda ingin menggunakan kereta sorong untuk membawa bayi yang baru lahir. Ini kerana bayi yang baru lahir memerlukan kedudukan yang rata sehinggalah mereka mampu untuk mengawal pengerakan kepala dan mampu untuk duduk, biasanya apabila mencapai usia 6 bulan ke atas. Malahan, tempat duduk yang boleh laras ini juga penting untuk bayi yang lebih dewasa dan kanak-kanak, terutama apabila mereka ingin tidur, demi memberikan keselesaan kepada mereka. Sesetengah kereta sorong boleh dilaraskan kedudukan sama ada ingin menghadap individu yang menolaknya atau menghadap ke hadapan.
- Mudah dikendalikan
Bagaimana untuk menguji aspek ini? Pertama sekali, stroller tersebut boleh ditolak pada satu garis lurus dengan mudah dan boleh dipusingkan ke belakang dengan menggunakan sebelah tangan. Kereta sorong yang boleh digerakkan pada bahagian depan dan belakang adalah lebih memudahkan pengerakan.
- Brek
Anda patut bertanya adalah brek yang terdapat pada kereta sorong itu mudah untuk digunakan atau sebaliknya. Perkara terbaik untuk memastikannya adalah dengan mengujinya sendiri di kedai; roda seharusnya terkunci apabila anda menekan brek. Pertimbangkan sama ada anda mahu mendapatkan stroller yang akan terkunci roda pada bahagian depan dan belakang dalam masa yang sama atau tidak. Kebanyakan ibu bapa lebih memilih brek yang dapat mengunci kedua-dua roda, depan dan belakang sekali gus. Bagi jogging stroller, ia mungkin dilengkapi dengan brek tangan dan juga brek kaki.
- Pemegang
Bahagian pemegang kereta sorong haruslah berada pada paras pinggang individu yang akan menolaknya atau sedikit ke bawah. Kebanyakan stroller di cipta untuk saiz purata individu wanita. Jika tidak menepati ciri ini, anda mungkin memerlukan stroller dengan pemegang yang boleh dilaraskan mengikut kesesuaian ketinggian anda.
- Kanopi
Ciri ini adalah lebih kepada untuk memberikan keselesaan dan perlindungan kepada bayi atau anak anda daripada sinaran matahari, cuaca panas, angin atau hujan. Terdapat juga kanopi yang dihasilkan dari fabrik yang melindungi daripada sinaran UV berbahaya dan sesuai untuk berjalan pada waktu siang terutama di taman.
- Ruang penyimpanan
Kegunaan ruang ini, seperti yang dikatakan pada awal tadi adalah untuk membantu ibu bapa dengan memberikan tempat atau ruang untuk meletakkan barangan keperluan bayi atau anak anda seperti lampin pakai buang, pakaian salin, tisu basah dan sebagainya. Ia bergantung kepada tujuan anda menggunakan kereta sorong ini. Jika anda ingin menggunakannya untuk membawa anak atau bayi anda membeli barang runcit, anda mungkin memerlukan ruangan yang lebih besar.
- Boleh dibasuh
Kekotoran adalah sesuatu yang sukar untuk dihindari. Jadi adalah penting untuk mendapatkan kereta sorong dengan fabrik yang boleh ditanggalkan dan dibasuh untuk memudahkan proses pembersihan. Pastinya anda tidak mahu anak anda berada di dalam stroller yang kotor, bukan?
Bukan satu kewajipan
Sebenarnya penggunaan kereta sorong ini bukanlah satu keperluan yang wajib ada bagi setiap keluarga. Selain bergantung kepada keperluan kegunaannya, ia turut bergantung kepada faktor kewangan. Jika anda dan pasangan mempunyai kewangan yang lebih, tidak salah untuk mendapatkan stroller yang terbaik untuk anak anda, jika tidak anda boleh membeli yang asas pada harga yang lebih mampu milik. Tetapi anda juga boleh membeli baby carrier jika anda tidak gemarkan penggunaan kereta sorong. Apapun, ia terpulang kepada pertimbangan anda.
Anda mungkin berminat untuk membaca artikel: