backup og meta

Wanita Bandar Berisiko Putus Haid Lebih Awal Berbanding Luar Bandar, Kenapa?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 09/08/2023

    Wanita Bandar Berisiko Putus Haid Lebih Awal Berbanding Luar Bandar, Kenapa?

    Baru-baru ini, ada kajian yang kata tinggi risiko untuk wanita putus haid lebih awal jika mereka tinggal di kawasan bandar berbanding kalau tinggal di kawasan luar bandar. Kenapa?

    Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Kesihatan Wanita, anda boleh klik di sini.  

    Menopaus itu normal dan bukan penyakit

    Ada perbezaan besar antara wanita yang tidak subur dan wanita berpenyakit.

    Jika seseorang wanita itu berpenyakit, ia mungkin boleh menyebabkan ketidaksuburan namun tidak semua ketidaksuburan mesti dikaitkan dengan penyakit.

    Menopaus adalah merupakan satu fenomena di mana wanita putus haid untuk tempoh sekurang-kurangnya 12 bulan.

    Hal ini berlaku kerana ovari tidak lagi mengeluarkan dua hormon penting dalam mengekalkan kesuburan wanita iaitu estrogen dan progestron.

    Tanpa kedua-dua hormon ini, kemampuan reproduktif wanita tamat serta-merta.

    Usia menopaus bagi setiap wanita adalah berbeza bergantung kepada faktor gaya hidup individu tersebut seperti penggunaan ubat perancang, merokok, obesiti dan kekerapan melakukan aktiviti fizikal.

    wanita putus haid

    Purata perempuan di Malaysia mengalami menopaus atau tanda putus haid pada usia di antara 45 hingga 52 tahun.

    Putus haid setahun lebih awal?

    Baru-baru ini, sekumpulan pengkaji yang diketuai oleh Dr. Kai Triebner telah menerbitkan satu kajian berkenaan dengan kesan persekitaran hijau dan urban terhadap wanita putus haid atau menopaus.

    Kajian ini agak menarik kerana wanita yang tinggal di luar bandar mengalami menopaus pada usia 16 bulan lebih lewat berbanding dengan wanita yang tinggal di kawasan bandar.

    Secara tidak langsung, ini bermaksud bahawa wanita yang tinggal di luar bandar mempunyai risiko yang lebih rendah untuk mendapat komplikasi menopaus seperti sakit jantung dan tulang rapuh (osteoporosis).

    Perkara ini bertepatan dengan kajian yang dibuat oleh Ossewaarde pada tahun 2005.

    Mereka mendapati bahawa wanita yang mengalami menopaus pada usia yang lanjut mempunyai risiko untuk mendapat penyakit jantung yang rendah.

    Hubungan di antara menopaus dan stres

    Bermula daripada saat wanita mendapat haid sehingga mereka mencapai menopaus, hormon oestrogen perlahan-lahan mengalami penurunan kadar rembesan sehingga tidak cukup untuk ia menampung fungsi sistem reproduktif.

    Walaubagaimanapun, kadar rembesan hormon tersebut boleh terganggu sekiranya hormon kortisol mencapai tahap yang tinggi di mana ia boleh mengurangkan penghasilan hormon oestrogen seterusnya menyebabkan kitaran haid tidak teratur.

    wanita putus haid

    Hormon kortisol dihasilkan oleh kelenjar adrenal ketika stres.

    Mereka yang tinggal di bandar kebiasaannya mengalami tahap stres yang lebih tinggi berbanding dengan mereka yang tinggal di luar bandar.

    Memikirkan kos hidup yang tinggi, terpaksa mengambil masa tambahan untuk bekerja, tersekat dalam kesesakan jalan raya; ini adalah merupakan contoh situasi yang dapat meningkatkan tahap stres semasa tinggal di bandar.

    Satu kajian yang dibuat oleh Universiti Dalhousie, Canada mendapati, wanita yang bekerja pada waktu malam mempunyai 9 peratus risiko untuk menopaus lebih awal berbanding dengan populasi wanita umum.

    Persekitaran luar bandar yang dikelilingi oleh tumbuh-tumbuhan hijau dapat menurunkan kadar rembesan kortisol seterusnya meningkatkan rembesan oestrogen.

    Menurut kajian Dr Kai, ia terbukti melambatkan usia wanita mencapai fasa menopaus seterusnya meningkatkan kualiti hidup dalam jangka masa panjang.

    Jadi, buat wanita di luar sana, luangkan lebih masa anda di persekitaran yang hijau kerana ia penting untuk kesihatan anda secara umum dan mungkin boleh buat wanita putus haid lebih lambat.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 09/08/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan