home

What are your concerns?

close
Inaccurate
Hard to understand
Other

Berdebar Nak Kena Minum Air Gula? Bakal Ibu, Boleh Cuba 7 Tip Ini Agar Tak Muntah

Berdebar Nak Kena Minum Air Gula? Bakal Ibu, Boleh Cuba 7 Tip Ini Agar Tak Muntah

Aduh, esok dah nak kena buat Ujian Toleransi Glukosa, risau pulak takut termuntah. Ada ke tips minum air gula ketika hamil agar tidak muntah yang boleh dicuba?

Jika anda antara ibu hamil yang perlu minum air gula, usar gusar, Hello Doktor ada petua untuk membantu.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kehamilan, sila dapatkannya di sini.

Risiko diabetes gestasi

Sebelum faham tentang tips minum air gula, anda perlu ketahui dahulu tujuan ujian dilakukan untuk mengesan jika bakal ibu menghidap diabetes gestasi atau tidak.

Diabetes gestasi atau diabetes kehamilan sering dikesan pada akhir tempoh mengandung.

Ia adalah keadaan di mana tubuh wanita berbadan dua tidak dapat mengatur kadar glukosa (gula) dalam darah dengan betul sehingga ia berada pada tahap yang tinggi.

Keadaan ini cenderung disebabkan oleh perubahan hormon dan kenaikan berat badan kehamilan.

(Ukur kadar kenaikan berat kehamilan pada di sini)

Berita baiknya, masalah diabetes ini biasanya akan hilang setelah melahirkan anak.

tips minum air gula

Jika dahulu, saringan bagi diabetes kehamilan hanya berdasarkan faktor risiko seperti:

  • Sejarah keluarga menghidap diabetes
  • Pernah melahirkan anak dengan berat melebihi 4 kg
  • Sejarah kematian bayi dalam kandungan atau kecacatan kelahiran tertentu
  • Tekanan darah tinggi
  • Obesiti
  • Berusia lebih daripada 30 tahun semasa bersalin

Walau bagaimanapun, terdapat ramai ibu mengandung menghidap diabetes gestasi tanpa faktor risiko tersebut.

Disebabkan itu, Ujian Toleransi Glukosa (GTT) atau minum air gula ketika hamil bagi wanita berusia 25 tahun ke atas yang tidak berisiko akan dilakukan ketika kandungan berusia antara 24 hingga 28 minggu.

Baca juga:

Apa sebenarnya minum air gula ketika hamil?

GTT adalah ujian yang membantu mengukur tahap glukosa dalam badan.

Prosedur mengukur dan membandingkan kadar gula dalam darah dilakukan sebelum dan selepas sesi minum air gula.

Secara umumnya, tempoh 2 jam GTT membolehkan doktor melihat bagaimana tubuh memproses glukosa.

Bagi individu sihat, tahap glukosa darah akan meningkat setelah makan makanan bergula dan kembali normal setelah badan menyerap gula.

Sebaliknya, bagi penghidap diabetes, kadar gula dalam darah akan kekal tinggi.

Inilah tahap ukuran bagi proses minum air gula ketika hamil.

Tetapi betul ke akan muntah selepas melakukan ujian ini?

Ya, ada kemungkinannya tetapi bertenang, kami akan kongsikan tips minum air gula tanpa muntah sebentar lagi.

tips minum air gula

Tips minum air gula: Apa yang boleh dijangkakan?

Kebanyakan ibu hamil ingin mengetahui tips minum air gula sebab sering ditakutkan dengan ayat seperti “Jangan termuntah pula masa minum tu, nanti kena buat lain”.

Kita ini sudahlah pertama kali hamil, dengar pula ayat sebegitu, sudah tentulah semakin berdebar, bukan?

Biasanya sebelum proses minum air gula ketika hamil, bakal ibu dikehendaki untuk berpuasa bermula jam 10 malam hingga keesokan hari, iaitu tarikh janji temu.

Apabila dikatakan perlu berpuasa, bermakna anda tidak boleh makan atau minum. Tetapi untuk meneguk sedikit air itu, tiada salahnya. Orang kata sekadar membasahkan tekak.

Tetapi sekiranya boleh bertahan untuk berpuasa tanpa minum air langsung, itu sebaiknya.

Pada hari tersebut pula, kakitangan perubatan akan:

  • Mengambil sampel darah sebelum anda minum air gula. Prosedur ini dikenali sebagai fasting blood sugar
  • Kemudian, ibu mengandung akan diminta untuk mengambil minuman bergula yang mengandungi campuran 75 gram serbuk glukosa dan air. Sejujurnya rasa air tersebut amat manis
  • Air gula yang diberikan perlu dihabiskan dalam tempoh masa 20 minit
  • Sampel darah kedua akan diambil selepas tempoh 2 jam minum air gula (2-hour postprandial)

Sudah bersedia untuk mengetahui tips minum air gula ketika hamil?

7 tips minum air gula agar tidak muntah

Tidak dinafikan, ada sesetengah ibu yang berasa mual setelah minum larutan glukosa tersebut. Bahkan ada yang muntah.

Malangya, jika muntah semasa GTT ini, anda perlu kembali semula – dalam tempoh seminggu atau 2 minggu – untuk mengambil ujian yang sama.

Ini kerana kandungan glukosa tidak lagi berada dalam perut. Keadaan ini menyebabkan kakitangan perubatan tidak dapat memeriksa tindak balas tubuh dengan betul.

Jadi apakah tips minum air gula yang boleh anda cuba agar tidak muntah?

tips minum air gula

1. Tarik nafas sedalam yang boleh sebelum minum air gula ketika hamil.

2. Ada yang mengatakan anda perlu minum secara perlahan-lahan. Tetapi cara ini akan menyebabkan wujud risiko lebih tinggi untuk muntah. Jadi selepas mengambil nafas dalam dan panjang, minum dalam sekali teguk!

3. Selepas minum, berkumurlah supaya rasa gula tidak melekat pada mulut.

4. Cari tempat duduk selesa untuk berehat. Elakkan daripada berdiri ya?

5. Sekiranya berasa mual, mungkin anda boleh meneguk sedikit air (sekadar untuk membasahkan tekak).

6. Anda juga boleh menyapu sebarang minyak angin bagi menghilangkan mual.

7. Cuba lakukan titik tekanan bagi melegakan loya.

Jika anda ingin mencuba tips minum air gula ini, ia dikenali sebagai titik tekanan P-6, atau Neiguan.

Titik tekanan P-6 ini terletak pada jarak 3 jari pada pergelangan tangan.

Untuk mencarinya, biarkan telapak tangan menghadap wajah. Kemudian letakkan 3 jari pertama daripada tangan sebelah lagi pada pergelangan tangan anda.

Letakkan ibu jari pada titik di bawah jari telunjuk di antara 2 tendon besar – urat yang menghubungkan otot ke tulang.

Lakukan tekanan kuat tetapi tidak menyakitkan bersama urutan untuk tempoh 2 hingga 3 minit.

Semoga tip yang dikongsikan dapat membantu anda untuk bertahan agar tidak muntah sehingga sampel darah dapat diambil.

health-tool-icon

Kalkulator Tarikh Bersalin

Gunakan kalkulator ini untuk menentukan tarikh akhir anda. Walau bagaimanapun, ini hanyalah anggaran semata-mata! Kebanyakan wanita akan melahirkan anak dalam masa seminggu sebelum atau selepas tarikh ini.

Panjang Kitaran

28 hari

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Gambar penulisbadge
Ditulis oleh Asyikin Md Isa Disemak pada 15/06/2021
Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor