- Wanita yang mempunyai Indeks Jisim Badan (BMI) melebihi 27 kg/m2
- Pernah didiagnosis dengan diabetes gestasi untuk kehamilan sebelum ini
- Mempunyai ahli keluarga terdekat (first-degree) yang menghidap diabetes mellitus
- Pernah melahirkan bayi makrosomik (berat melebihi 4kg)
- Kematian dalam rahim, kecacatan kongenital, bahu bayi tersekat ketika bersalin
- Pengesanan gula dalam air kencing sewaktu lawatan doktor yang pertama
- Kehamilan kembar
Selain perkara-perkara di atas, peningkatan usia juga dikaitkan dengan risiko menghidap diabetes gestasi yang lebih tinggi. Oleh yang demikian, wanita mengandung yang berusia 25 tahun dan ke atas, walaupun tanpa faktor risiko yang lain, akan disaring sekitar minggu ke-24 hingga minggu ke-28.
Terdapat juga kajian yang telah mengenal pasti bahawa wanita yang mengecapi kehamilan melalui bantuan teknologi reproduktif seperti IVF lebih berisiko untuk menghidapi kencing manis ketika hamil. Ini berikutan kebarangkalian untuk mereka mendapat kehamilan kembar tinggi dan ia adalah faktor risiko untuk mendapat komplikasi kehamilan ini.
Mujurlah, majoriti penghidap diabetes gestasi akan pulih dengan sendirinya selepas melahirkan bayi mereka. Tambahan lagi, Laporan Obstetrik Kebangsaan menunjukkan semenjak tahun 2011 sehinggalah tahun 2015, insiden diabetes gestasi kini semakin menurun.
Pada tahun 2015, buat pertama kalinya, insiden diabetes gestasi mencatatkan nilai bawah 8% iaitu 7.42%. Walau bagaimanapun, terdapat segolongan kecil penghidap yang kurang bernasib baik akan terus-menerus menghidap kencing manis walaupun telah selamat bersalin.
Tanda kencing manis ketika hamil

Kebanyakan wanita tidak akan menunjukkan sebarang tanda kencing manis ketika hamil walaupun ujian darah mengesahkan diagnosis mereka. Walau bagaimanapun, antara tanda kencing manis ketika hamil yang boleh berlaku termasuklah:
Penting untuk diingatkan bahawa disebabkan oleh perubahan fisiologi dan anatomi ketika mengandung, boleh berlaku kekeliruan antara tanda kencing manis ketika hamil dan juga kesan kehamilan.
Sebagai contoh, rasa letih dan lesu boleh juga disebabkan oleh keadaan kehamilan itu sendiri. Perkembangan bayi dalam rahim juga berupaya untuk memberikan tekanan kepada pundi kencing ibu, mendorong si ibu untuk kerap membuang air kecil.
Bagaimana diagnosis dicapai?
Ujian saringan akan dijalankan pada minggu-minggu yang berbeza mengikut faktor risiko individu tersebut. Ujian saringan yang dilakukan melibatkan pengambilan secara oral larutan air yang mengandungi 75 gram glukosa (OGTT).
Untuk wanita yang mempunyai mana-mana faktor risiko yang disenaraikan dalam bab yang lepas, mereka perlu menjalani ujian saringan ketika mereka hadir kali pertama ke klinik. Sekiranya saringan menunjukkan keputusan yang negatif, ujian ulangan akan dilakukan sekitar minggu ke-24 hingga minggu ke-28 kehamilan.
Untuk wanita yang berusia 25 tahun dan ke atas tanpa mempunyai sebarang faktor risiko yang lain, ujian OGTT tidak dilakukan ketika mereka hadir ke klinik buat kali pertama. Sebaliknya, ujian saringan dilakukan sekitar minggu ke-24 hingga minggu ke-28 kehamilan.
Berdasarkan ujian saringan yang dijalankan, seseorang itu akan didiagnosis dengan diabetes gestasi jika:
Paras gula dalam darah (puasa semalaman) berada pada paras 5.1 mmol/L atau lebih
ATAU
Paras gula dalam darah (2 jam selepas makan) berada pada paras 7.8 mmol/L atau lebih