Tahniah, anda hamil sekali lagi! Dah bersedia untuk melahirkan anak kedua? Dengar kata proses kelahiran akan lebih mudah, benarkah?
Debaran melahirkan anak kedua
Mengetahui anda hamil kembali pasti membuatkan anda tertanya-tanya bagaimana proses kelahiran untuk kali kedua ini.
Umumnya, bagi melahirkan anak kedua, kebanyakan pasangan mengatakan bahawa mereka lebih bersedia fizikal dan mental.
Adakah ia semakin mudah atau sebaliknya?
Pastinya setiap kelahiran menjanjikan keadaan yang berbeza. Debaran sudah tentu ada.
Dikatakan jika proses kelahiran sebelum ini agak sukar dan mencabar, tapi untuk pengalaman kedua ini anda mungkin akan mempunyai saat bersalin yang lebih mudah.
Proses melahirkan anak kedua lebih cepat?
Ya, sememangnya proses melahirkan bayi akan menjadi lebih cepat serta mudah untuk kelahiran kedua ini dan seterusnya.
Malahan pada peringkat awal proses kelahiran (latent labour), akan lebih cepat dan peningkatan intensiti kontraksi menjadi kuat dengan cepat dalam tempoh singkat.
Jadi anda mungkin perlu menentukan tempat bersalin lebih awal berbanding kelahiran pertama dahulu.
Melainkan jika anda menjalani pembedahan C-Sec untuk anak pertama, proses bersalin melibatkan aktiviti meneran akan menjadi lebih singkat.
Keadaan ini dipercayai kerana otot dan faraj telah meregang sebelum ini, sekali gus menjadikan tempoh waktu bersalin kurang daripada 12 jam.
Namjn, bagaimana pula jika sebelum ini proses bersalin anda mudah dan cepat, bolehkah ia terjadi ketika melahirkan anak kedua?
Sudah tentu! Malahan waktu bersalin anak kedua bagi kebanyakan wanita adalah lebih singkat. Jadi usah bimbang ya, wahai ibu.
Pengurusan kesakitan dalam proses kelahiran
Seandainya semasa kelahiran anak pertama anda tidak berdepan kesakitan yang melampau, itu mungkin bermakna anda sudah mengetahui teknik mengendalikan kesakitan yang berkesan.
Maka, untuk kehamilan kedua ini pastinya anda akan berasa lebih yakin dan dapat menguruskan sensasi kuat saat melahirkan anak dengan menggunakan kaedah yang sama.
Walaupun anda mungkin berdepan kesukaran saat bersalin dahulu, namun sekurang-kurangnya kini anda sudah mengetahui persediaan apa yang perlu anda lakukan.
Sebagai contoh, anda mungkin boleh mempelajari teknik pernafasan yang sesuai ataupun mengetahui teknik meneran bayi dengan lebih baik.
Melahirkan anak kedua kurang menyakitkan
Sudah tentu proses kelahiran yang melibatkan rasa sakit kontraksi adalah sama. Bukan mudah untuk melahirkan bayi, kan?
Pun begitu, kebanyakan ibu mengandung mengatakan bahawa mereka dapat mengatasinya dengan lebih baik.
Keadaan tersebut kerana anda sudah mengetahui apa yang perlu dijangkakan dan telah melakukan persediaan dengan sebaiknya.
Oleh sebab tempoh bersalin yang lebih pendek dan singkat, keletihan juga tidak akan dirasai.
Walaupun begitu, setiap wanita hamil untuk kehamilan ke-2, 3 atau seterusnya, perlu sentiasa bersedia untuk berdepan proses kelahiran yang lebih mencabar berbanding sebelumnya.
Bagaimana jika anda berasa takut untuk proses melahirkan bayi, adakah ia normal?
Ketakutan bersalin bagi wanita yang pernah berdepan proses kelahiran dikenali sebagai tokofobia sekunder.
Jangan bimbang! Ia adalah 1 keadaan normal untuk mempunyai perasaan negatif tentang kelahiran bayi, terutamanya jika anda pernah mengalami trauma saat bersalin anak pertama.
3 fakta menarik proses kehamilan kali kedua
- Tempoh bersalin yang pendek
Purata proses melahirkan bayi untuk kali pertama adalah 18 jam. Namun untuk kali kedua ini ia akan menjadi lebih pendek, sekitar 8 jam.
Pastinya, setiap wanita mengalami proses bersalin yang berbeza. Tetapi kebanyakan wanita yang bersalin anak kedua dan seterusnya berdepan kelahiran yang lebih cepat. Berita baik, kan?
Apabila anda pernah bersalin sebelum ini, otot dan ligamen menjadi lebih santai dan bersedia. Ini disebabkan semuanya sudah diregangkan.
Maka bayi akan turun lebih mudah dan serviks anda juga melebar (terbuka) dengan cepat.
- Kekejangan selepas bersalin lebih teruk
Kebanyakan wanita mengalami kekejangan selama 3 hingga 5 hari pertama sewaktu menyusukan bayi.
Ketika bayi menghisap susu, badan akan mengeluarkan hormon oksitosin yang membantu mengeratkan jalinan antara anda dan bayi.
Dalam masa yang sama ia juga menjadikan rahim kejang untuk menghentikan pendarahan dan menyusut kembali kepada keadaan sebelum hamil.
- Lebih yakin tentang kelahiran dan keibuan
Walaupun mungkin proses melahirkan anak kedua berbeza dengan yang pertama, tapi sekurang-kurangnya anda pernah melalui proses tersebut dan tahu apa yang boleh dijangkakan.
Anda akan lebih mempercayai diri bahawa anda boleh melakukannya dan paling penting, anda mengetahui ada ganjaran kecil tidak ternilai menanti anda selepas itu.
Pengalaman berbeza
Setiap keperibadian anak adalah berbeza, kan? Begitu jugalah dengan proses kelahiran.
Tiada siapa dapat menjangkakan apa yang akan berlaku, tetapi percayalah, anda sudah bersedia untuk melahirkan anak kedua.
Dunia keibuan telahpun anda lalui bersama zuriat pertama, sudah tentu untuk yang kedua anda akan lebih berkeyakinan untuk menempuhinya.
[embed-health-tool-due-date]