Mabuk hamil yang menyebabkan rasa loya dan muntah semasa mengandung adalah perkara biasa. Namun, muntah darah ketika hamil atau dikenali sebagai hematemesis, mungkin petanda wujudnya masalah kesihatan lain.
Teruskan pembacaan anda untuk mengetahui lebih lanjut mengenai keadaan ini.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kehamilan, sila dapatkannya di sini.
Muntah darah ketika hamil
Keadaan mabuk hamil ketika trimester pertama yang mengembangkan rasa mual dan muntah sekali atau dua kali sehari adalah biasa.
Pun begitu, untuk mabuk hamil yang teruk disebut sebagai hiperemesis gravidarum, boleh menyebabkan anda muntah darah.
Jadi adakah muntah darah semasa mengandung satu keadaan normal?
Walaupun muntah adalah situasi biasa untuk bakal ibu, namun jika melibatkan muntah darah, ia bukanlah situasi yang normal.
Sekiranya ia berlaku, anda perlu segera berjumpa doktor. Bahkan, muntah darah semasa trimester kedua atau ketiga juga bukanlah sesuatu yang normal.
Tanda dan gejala hematemesis dalam kehamilan
Warna dan konsistensi darah yang dimuntahkan adalah berbeza mengikut punca pendarahan.
Selain muntah darah, ibu hamil juga mungkin akan mengalami beberapa simptom lain, seperti:
- Loya
- Sakit perut dan tidak selesa
- Anak mata membesar
- Penglihatan kabur
- Pening atau sakit kepala ringan
Adakah muntah sampai keluar darah menandakan berlaku keguguran?
Usah bimbang, muntah darah bukanlah tanda keguguran dan semoga keadaan tersebut tidak menjejaskan bayi dalam kandungan anda. Terdapat pelbagai faktor yang boleh menyebabkan terjadinya muntah darah.
Namun sekiranya anda mengalami simptom keguguran lain, lakukan pemeriksaan doktor dengan segera.
Punca muntah darah ketika hamil
Antara punca biasa yang mengakibatkan ibu hamil mengalami muntah sampai keluar darah adalah:
Gastritis
Keradangan perut berpunca daripada bakteria berbahaya – helicobacter pylori yang menjangkiti lapisan dalam perut.
Gastritis akut membawa kepada keradangan kecil, manakala gastritis kronik akan menyebabkan keradangan teruk.
Gangguan ini boleh menjadi penyebab muntah darah, yang turut disertai dengan rasa kesakitan pada perut dan lemah badan.
Dehidrasi
Salah satu sebab utama bakal ibu mengalami muntah sampai keluar darah adalah kerana dehidrasi.
Apabila badan kekurangan cecair, ia akan memberikan tekanan berlebihan menyebabkan ibu memuntahkan pigmen hempedu dan darah.
Kelaparan antara punca muntah darah ketika hamil
Seperti kita semua sedia maklum, wanita yang mengandung perlu lebih kerap makan bagi menghilangkan rasa laparnya.
Jika dibiarkan kelaparan semasa hamil, perut kosong boleh menyebabkan anda berasa sakit dan mungkin muntah darah.
Kedengaran pelik, bukan? Tetapi jika tidak cukup pengambilan makanan, badan mungkin memberontak dengan muntah.
Esofagus terluka
Kerap loya dan muntah berulang kali semasa hamil adalah perkara biasa.
Tetapi jika berterusan, terutamanya muntah yang teruk boleh mengakibatkan saluran kerongkong (esofagus) terluka.
Kecederaan ini boleh mengakibatkan terdapatnya kesan darah dalam muntah.
Diet tidak sihat
Kekurangan diet seimbang semasa mengandung juga boleh menyebabkan muntah darah.
Anda akan lebih kerap berasa mual dan ingin muntah selepas makan atau pada awal pagi jika tidak mengamalkan diet yang sihat. Ini kerana tubuh mempunyai cara tersendiri untuk melawan perkara yang tidak boleh diterima badan.
Hipertensi punca muntah darah ketika hamil
Kehamilan biasanya akan menyebabkan hipotensi atau tekanan darah rendah. Namun jika bakal ibu mempunyai hipertensi, ia boleh mengakibatkan hematemesis.
Sekiranya berlaku, doktor akan menyarankan rehat secukupnya dan berada dalam persekitaran yang tenang. Ini kerana tekanan boleh menyebabkan sakit perut, sekali gus punca kepada muntah darah.
Keracunan makanan
Keracunan makanan adalah masalah gastrousus. Makanan basi atau bertoksik boleh meningkatkan risiko tambahan semasa kehamilan.
Pastikan anda lebih berwaspada tentang kebersihan makanan yang diambil. Jauhi makanan yang boleh mencetuskan alahan dan komplikasi.
Ubat-ubatan
Pengambilan ubat-ubatan tanpa preskripsi seperti aspirin dan ibuprofen boleh menyebabkan kerengsaan dan pendarahan. Ubatan seperti ini mengurangkan pengeluaran mukus dan merengsakan lapisan perut.
Aspirin diketahui boleh menyebabkan pembekuan darah dan mengganggu fungsi platelet merah. Vitamin pranatal juga diketahui boleh menyebabkan loya dan muntah.
Punca muntah darah ketika hamil #Saluran gastrointestinal terluka
Muntah memberikan tekanan pada dada, saluran kerongkong dan perut. Peningkatan tekanan secara tiba-tiba boleh menyebabkan luka pada saluran usus.
Keadaan tersebut secara tidak langsung boleh menyebabkan muntah dan keradangan dada. Anda juga boleh mengalami sakit dada, berpeluh dan sesak nafas jika terdapat luka pada saluran gastrousus.
Sirosis
Pengambilan alkohol berlebihan atau penyakit autoimun seperti hemochromatosis – penyerapan jumlah zat besi berlebihan dalam darah – boleh mengembangkan sirosis.
Keadaan tersebut membawa kepada pelebaran saluran darah, yang akhirnya akan pecah dan menjejaskan esofagus (saluran kerongkong).
Sirosis boleh menjadi serius dan menjejaskan kesihatan hati. Individu yang mengalami masalah sirosis kronik boleh memuntahkan darah pada jumlah yang besar.
Akhir kata
Walau apapun puncanya, mengalami muntah darah ketika hamil sudah pasti boleh menimbulkan rasa bimbang.
Dengan pilihan rawatan tepat dan segera, pastinya membantu ibu untuk proses kehamilan yang sihat.
[embed-health-tool-due-date]