Tahukah anda apa itu penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD)? Dalam artikel ini anda akan mengetahui mengenai tanda tanda HFMD dan cara merawatnya yang dikongsikan pakar.
Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor
Tahukah anda apa itu penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD)? Dalam artikel ini anda akan mengetahui mengenai tanda tanda HFMD dan cara merawatnya yang dikongsikan pakar.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.
Tabiat si kecil yang suka memasukkan setiap benda ke dalam mulut boleh meningkatkan risiko mereka untuk dijangkiti penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).
Penyakit yang sedang menular ini amat mudah berjangkit, namun masih terdapat ramai ibu bapa yang tidak begitu jelas mengenai tanda tanda HFMD dan apa yang perlu dilakukan.
Bagi membantu pemahaman ibu bapa mengenai HFMD, Ketua Jabatan Pediatrik Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Dr Erwin Khoo berkongsikan tiga fakta penting mengenainya bersama panduan berguna yang boleh diamalkan.
HFMD adalah contoh viral exanthem, iaitu ruam atau radang pada kulit yang disebabkan jangkitan virus.
Antara tanda tanda HFMD biasa adalah termasuk demam, luka di dalam mulut dan ruam yang cenderung muncul pada tangan, kaki, lutut, siku dan punggung.
Menurut Dr Erwin, virus adalah penyebab HFMD dan biasanya ia adalah virus Coxsackie A16 dan Enterovirus 71.
“Virus-virus ini boleh ditemui dalam saluran pernafasan dan najis, serta di dalam lepuh berair yang terbentuk pada tangan dan kaki. Virus tersebut kekal mudah berjangkit pada permukaan keras untuk beberapa hari,” ujarnya.
Beliau menjelaskan, tempoh eraman biasanya antara 3 hingga 7 hari dan boleh berlanjutan sehingga 2 minggu.
Situasi tersebut menjadikan HFMD mudah merebak dalam kalangan kontak rapat, perkongsian perkakasan atau barangan mainan mahupun apabila kebersihan tangan tidak diamalkan dengan baik, khususnya selepas rutin menukar lampin.
HFMD sering dikaitkan dengan kanak-kanak, kerana kebanyakan kes jangkitan melibatkan si kecil di bawah usia 6 tahun. Namun hakikatnya, ia turut boleh menjangkiti individu dewasa dan boleh menularkan virus kepada yang lain.
Bagi mencegah penularan jangkitan HFMD ini, ibu bapa dan penjaga dinasihat untuk mengamalkan kebersihan tangan yang baik, terutamanya jika terdapat anak yang menghidap HFMD seperti:
Bagi anak yang dijangkiti, disarankan untuk berehat di rumah bagi mencegah penyebaran jangkitan.
Dr Erwin menjelaskan lagi, walaupun terdapat virus berbeza yang menyebabkan HFMD, tetapi tiada rawatan khusus atau ubat untuk mengurangkan gejalanya. Cuma terdapat kaedah bagi melegakan simptom.
Beliau turut memberi amaran mengenai beberapa remedi yang biasa dikongsikan seperti mandi menggunakan larutan garam kasar atau berendam di dalam air berenzim, kerana ia boleh merengsakan kulit.
Baca juga:
Berikut adalah beberapa cara merawat HFMD di rumah yang boleh ibu bapa cuba:
Jika rasa sakit menghalang anak berehat, dapatkan nasihat doktor mengenai penggunaan ubat penahan sakit walaupun mereka tidak demam.
Dalam kebanyakan kes, pemulihan di rumah dengan penggunaan ubat kaunter adalah memadai untuk melegakan gejala seperti demam, ruam atau bintik-bintik merah pada tapak tangan atau kaki, mahupun ulser mulut.
Kata Dr Erwin, biarpun bintik tersebut tidak gatal, namun ulser di dalam mulut boleh menyakitkan dan menghalang anak daripada makan dan minum.
“Keadaan tersebut jika dibiarkan boleh membawa kepada dehidrasi dan dalam kes serius, memerlukan rawatan perubatan,” ujar beliau lagi.
Ibu bapa perlu mengenal pasti simptom dehidrasi teruk pada anak seperti kurang kencing, mulut kering dan kurang air mata apabila menangis. Pastikan anda membawa mereka untuk mendapatkan rawatan perubatan segera.
Bawa si kecil untuk pemeriksaan doktor jika mereka mengalami gejala seperti pernafasan cepat, kebingungan, mengantuk, pening-pening, leher kebas, sawan, demam melebihi 3 hari dan jika anak tidak mahu makan atau minum.
Dalam kes jarang berlaku, HFMD boleh menyebabkan meningitis virus. Sebaiknya, ibu bapa disarankan membawa anak berjumpa doktor untuk mencegah komplikasi ini.
Sekiranya terdapat sebarang ketidakpastian mengenai tanda tanda HFMD, berjumpalah dengan doktor segera.
Penafian
Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Disemak secara perubatan oleh
Panel Perubatan Hello Doktor
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen