backup og meta

KKM Dah Haramkan Hong Thai Inhaler! Ada BAKTERIA BAHAYA Dalam Produk Ini!

Inhaler hidung ialah alat kecil yang digunakan dengan cara disedut melalui hidung untuk melegakan simptom seperti hidung tersumbat, pening kepala atau keletihan. Ia biasanya mengandungi bahan seperti mentol, kapur barus dan minyak aromatik yang membantu memberi rasa segar serta membuka saluran pernafasan. Ramai rakyat Malaysia memilih produk luar seperti inhaler Thailand kerana baunya yang kuat dan kesan yang cepat.

KKM Dah Haramkan Hong Thai Inhaler! Ada BAKTERIA BAHAYA Dalam Produk Ini!

Namun begitu, tidak semua produk sedemikian selamat. Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan bahawa produk Hong Thai Inhaler telah diharamkan di Malaysia selepas ia dilaporkan mengandungi bakteria berbahaya yang boleh menjejaskan kesihatan pengguna.

Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Kesihatan Otak dan Saraf, anda boleh klik di sini.

Inhaler Thailand dan sebab ia popular

inhaler hidung
Jenama inhaler Hong Thai yang popular.

Inhaler Thailand terkenal kerana saiznya kecil, reka bentuk yang menarik serta harga yang berpatutan. 

Ia sering dijual di kedai serbaneka, pasar sempadan, atau platform e-dagang. Ramai pengguna menganggapnya sebagai penyelesaian segera untuk resdung, pening kepala atau keletihan.

Namun, tidak semua produk inhaler Thai di pasaran berdaftar atau disahkan selamat oleh pihak berkuasa. 

Menurut laporan The Star pada 6 November 2025, KKM telah mengarahkan penjualan Hong Thai Inhaler dihentikan serta-merta selepas kerajaan Thailand sendiri menarik balik produk tersebut. Ia melibatkan batch 000332 yang dikeluarkan pada 9 Disember 2024 dengan tarikh tamat tempoh pada pada 8 Disember 2027.

Ujian makmal di Thailand mendapati inhaler berkenaan tercemar dengan bakteria Clostridium spp, kulat serta yis yang melebihi piawaian keselamatan, yang boleh menyebabkan jangkitan paru-paru dan darah, terutama kepada pesakit kronik atau individu imun lemah.

Inhaler Thai dan risiko jika digunakan tanpa kawalan

Walaupun ramai yang percaya inhaler Thai berkesan, penggunaannya tanpa pengesahan keselamatan boleh mendatangkan bahaya. 

Bakteria seperti Clostridium spp boleh hidup lama dalam cecair atau minyak herba di dalam produk tidak steril. 

Sekiranya disedut melalui hidung, bakteria ini boleh masuk ke dalam paru-paru dan menyebabkan:

  • Jangkitan paru-paru kronik
  • Demam, batuk berpanjangan dan sesak nafas
  • Risiko sepsis (jangkitan darah) bagi pesakit imun lemah

Pihak KKM menasihatkan orang ramai supaya tidak menggunakan sebarang produk inhaler hidung yang tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD), termasuk produk yang dijual dalam talian tanpa label kelulusan KKM.

Inhaler resdung: apa alternatif yang lebih selamat?

inhaler hidung
Gunakan jenis inhaler yang berdaftar dan dijual di farmasi sahaja.

Sekiranya anda menggunakan inhaler resdung untuk melegakan hidung tersumbat, pilih produk yang berdaftar dengan KKM dan mempunyai nombor pendaftaran MAL. 

Elakkan membeli produk dari sumber tidak sahih atau yang tiada maklumat pengilang.

Antara alternatif yang lebih selamat termasuk:

  • Inhaler tempatan yang mengandungi minyak kayu putih atau mentol dan berdaftar di bawah KKM
  • Balsem aromaterapi roll-on atau minyak urut herba yang disahkan selamat
  • Rawatan semula jadi seperti penyedutan wap air panas atau semburan hidung saline

Langkah mudah ini membantu mencegah risiko pencemaran bakteria sambil memberi kelegaan pada hidung secara semula jadi.

Kes larangan Hong Thai Inhaler di Malaysia

Pada Oktober 2025, kerajaan Thailand mengumumkan penarikan balik produk Hong Thai Inhaler selepas ia dikesan mengandungi bakteria berbahaya. 

Tidak lama selepas itu, KKM turut mengeluarkan kenyataan rasmi melarang penjualan produk ini di Malaysia kerana ia tidak berdaftar dan berpotensi membahayakan pengguna.

Menurut laporan, bakteria yang ditemui dalam produk tersebut boleh menjejaskan sistem pernafasan dan menyebabkan komplikasi kesihatan serius, terutama kepada pesakit kronik atau warga emas. 

KKM juga mengingatkan orang ramai agar melaporkan kepada Bahagian Penguatkuasaan Farmasi jika menemui produk tersebut masih dijual di pasaran atau dalam talian.

inhaler hidung
Beza inhaler pelega dan pencegah.

Kesimpulan

Kes larangan Hong Thai Inhaler ini menjadi peringatan penting bahawa inhaler hidung bukan sekadar produk kecil tanpa risiko. 

Setiap produk kesihatan yang dihirup ke dalam badan perlu disahkan selamat dan berdaftar dengan KKM bagi mengelakkan bahaya tersembunyi seperti pencemaran bakteria.

Pastikan anda membaca label dengan teliti, menyemak nombor pendaftaran, dan membeli hanya daripada sumber yang dipercayai untuk melindungi diri dan keluarga.

[embed-health-tool-bmi]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Thailand tarik balik produk inhaler herba selepas dikesan mengandungi bakteria berbahaya. Astro Awani. https://www.astroawani.com/berita-dunia/thailand-tarik-balik-produk-inhaler-herba-selepas-dikesan-mengandungi-bakteria-berbahaya-545149. Diakses November 11, 2025.

Hong Thai inhaler banned in Malaysia, says Health Ministry. The Star. https://www.thestar.com.my/news/nation/2025/11/06/unregistered-hong-thai-inhaler-banned-in-malaysia-says-health-ministry. Diakses November 11, 2025.

Kementerian Kesihatan Haramkan Inhaler Thai Yang Terkenal Selepas Penarikan Balik Pencemaran Mikrob. https://consumer.org.my/ms/kementerian-kesihatan-haramkan-inhaler-thai-yang-terkenal-selepas-penarikan-balik-pencemaran-mikrob/. Diakses November 11, 2025.

Health Ministry Bans Sale of Hong Thai Herbal Inhalers. https://www.healthcareasia.org/2025/health-ministry-bans-sale-of-hong-thai-herbal-inhalers/. Diakses November 11, 2025.

Thai authorities flag Hong Thai inhaler batch for microbial contamination. https://www.nst.com.my/world/world/2025/10/1304044/thai-authorities-flag-hong-thai-inhaler-batch-microbial-contamination#google_vignette. Diakses November 11, 2025.

Versi Terbaru

14/11/2025

Ditulis oleh Muhammad Wa'iz

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Diperbaharui oleh: Annes Nadia


Artikel Berkaitan

Cara Menggunakan Inhaler Dos Bermeter Dengan Betul

Cara Hadapi Asma Tanpa Inhaler


Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor · · · Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Dikemas kini 14/11/2025

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan