backup og meta

Apa Itu Kanser Prostat: Tanda, Punca Dan Rawatan Yang Anda Perlu Tahu

Apa Itu Kanser Prostat: Tanda, Punca Dan Rawatan Yang Anda Perlu Tahu

Kanser prostat adalah sejenis barah pada bahagian kelenjar prostat. Bagi memahami masalah kesihatan ini dengan lebih mendalam, anda perlu mengetahui perihal apa itu prostat.

Jadi, apa itu prostat? Kelenjar prostat terletak di bawah pundi kencing dan berada di hadapan rektum. Ia bertanggungjawab menghasilkan cecair seminal yang merupakan salah satu komponen dalam air mani.

Cecair tersebut penting bagi memastikan sel sperma dapat berfungsi pada tahap yang optimum, sekali gus ia juga mempengaruhi tahap kesuburan lelaki.

Selain itu, kelenjar prostat juga mempunyai otot yang berperanan untuk menolak keluar air mani sehingga menyebabkan ia  terpancut ketika orgasme.

Oleh sebab itulah, mereka yang mempunyai masalah dengan organ prostat seperti kanser atau prostat bengkak kebiasaannya akan mengalami simptom pancutan lemah.

Seperti kanser lain, individu  yang didiagnosis dengan kanser prostat kebiasaannya tidak menunjukkan sebarang simptom pada peringkat awal. Namun, pemeriksaan teliti perlu dilakukan bagi menentukan rawatan yang sesuai.

Dalam artikel kali ini, kami akan terangkan apa itu prostat dan maksud kanser prostat. 

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kanser Prostat, sila dapatkannya di sini.

Apa itu prostat (kanser): Jenis-jenisnya

Kategori kanser prostat dibuat berdasarkan kepada perubahan tisu yang terlibat semasa proses patologi dalam membentuk kanser.

Jika anda sudah memahami apa itu prostat (kanser), anda perlu mengetahui jenis perubahan yang berlaku dan pengelasan yang dibuat.

Antaranya seperti berikut.

1. Adenokarsinoma

Hampir semua kes kanser prostat yang didiagnosis merupakan sub kanser adenokarsinoma. Ia berikutan majoriti sel yang terdapat pada organ prostat adalah sel kelenjar.

Adenokarsinoma tidak spesifik kepada kanser prostat sahaja. Ini kerana, kanser organ lain seperti payudara, kolorektal dan peparu turut mempunyai perubahan kanser jenis ini.

Oleh sebab sub kanser prostat yang lain sangat jarang ditemui, pesakit yang didiagnosis besar kemungkinan mengalami sub kanser adenokarsinoma jika tidak diberitahu jenisnya oleh doktor.

2. Karsinoma sel kecil

Kurang daripada 1 peratus kes kanser prostat yang didiagnosis merupakan sub jenis karsinoma sel kecil.

Walau bagaimanapun, sub kanser ini agak berbahaya memandangkan ia boleh merebak ke organ lain (metastasis) pada peringkat awal penyakit.

Berbeza dengan sub kanser adenokarsinoma, metastasis ke otak sangat lazim dalam kes kanser prostat karsinoma sel kecil.

3. Tumor neuroendokrin 

Sub kanser prostat neuroendokrin merupakan sejenis kanser yang sangat agresif. Ia boleh didiagnosis pada peringkat awal penyakit atau hanya timbul selepas penghidap menjalani rawatan. 

Ketumbuhan kanser berlaku pada kadar yang sangat cepat dan ia boleh merebak ke organ lain dengan pantas. Namun, ia sangat rendah untuk terjadi. 

4. Karsinoma sel transisional

Karsinoma sel transisional atau nama lainnya, karsinoma urotelial prostat merupakan sub kanser yang sangat agresif.

Kajian saintifik telah membuktikan mereka yang menghidap masalah ini kebiasaannya mati dalam masa dua tahun selepas didiagnosis.

Malangnya, maklumat berkaitan dengan sub kanser ini masih lagi terhad memandangkan ia jarang berlaku. 

5. Sarkoma

Kebanyakan individu yang didiagnosis dengan kanser prostat sarkoma tidak mempunyai prognosis (ramalan potensi kesembuhan) yang baik.

Kajian yang dijalankan oleh Universiti Sichuan, China pada tahun 2013 menunjukkan hampir 50% pesakit akan mati dalam tempoh masa dua tahun selepas diagnosis.

6. Karsinoma sel skuamos

Sub kanser ini hanya merangkumi 0.5 hingga 1 peratus perubahan neoplastik pada kelenjar prostat.

Ia merupakan sejenis kanser yang agresif, sering merebak ke tulang, hati dan peparu manusia serta mempunyai prognosis yang tidak baik.

Mereka yang didiagnosis dengan masalah ini kebiasaannya mempunyai jangka hayat kurang daripada dua tahun. 

Baca juga:

Simptom kanser prostat

Seperti masalah kanser yang lain, perubahan awal pada organ prostat yang melibatkan kanser tidak menunjukkan sebarang simptom.

Ada yang mengalami simptom semasa peringkat awal dan ada juga yang hanya menunjukkan gejala ketika berada di tahap lewat.

Mereka yang mengalami kanser prostat boleh menunjukkan gejala seperti:

  1. Rasa seakan-akan terbakar selepas kencing atau ejakulasi.
  2. Kerap kencing pada waktu malam.
  3. Sukar untuk kawal kencing (mula atau berhenti).
  4. Masalah mati pucuk yang muncul tanpa punca yang jelas.
  5. Darah di dalam air kencing atau air mani.
  6. Pancutan kencing atau ejakulasi lemah.
  7. Sakit pada bahagian belakang, pinggul atau tulang rusuk (kanser sudah merebak ke tulang).
  8. Hilang berat badan walaupun tanpa usaha.

Punca

Bagaimana kanser prostat berlaku?

Walaupun saintis sudah memahami apa itu prostat (kanser), bunca berlakunya masalah kesihatan tersebut masih lagi tidak jelas.

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa faktor risiko yang meningkatkan kecenderungan seseorang itu untuk mendapat kanser prostat.

Secara asasnya, perubahan maklumat genetik (DNA) boleh menyebabkan mutasi pada sel prostat normal menyebabkan ia menjadi sel kanser.

Mutasi gen yang diwarisi

Terdapat beberapa jenis mutasi yang boleh meningkatkan risiko bagi individu untuk mendapat kanser prostat. Antara mutasi gen yang dikaitkan dengan masalah kanser prostat adalah:

  1. BRCA1 dan BRCA2 (mutasi gen yang sering dikaitkan dengan masalah kanser payudara dan ovari wanita.
  2. CHEK2, ATM, PALB2 dan RAD51D (mutasi pada gen yang membaiki kerosakan DNA).
  3. Masalah pada gen yang membetulkan kesilapan DNA semasa proses pembahagian sel seperti MSH2, MSH6, MSH1 dan PMS2.
  4. RNASEL (kerosakan fungsi pada gen penindas tumor).
  5. HOXB13 (gen yang mengawal atur perkembangan kelenjar prostat).

Kajian berkenaan dengan jenis gen yang boleh mempengaruhi risiko kanser prostat masih lagi menjadi fokus para saintis.

Mutasi gen yang diperolehi

Bukan semua pesakit kanser mempunyai sejarah kanser dalam keluarga. Malah, kebanyakan penghidap mengalami mutasi sepanjang hayat mereka. Mutasi sebegini tidak diwariskan kepada generasi seterusnya.

Setiap kali satu sel bersedia untuk membahagi kepada 2 sel baharu, ia akan menyalin semula maklumat DNA. Walau bagaimanapun, proses ini tidak selalunya sempurna. 

Bergantung kepada faktor seperti pemakanan, paras hormon dalam badan dan gaya hidup. Ini kerana, proses pembahagian sel boleh menyebabkan kecacatan pada maklumat DNA.

Semakin laju sel prostat anda berupaya untuk membahagi, semakin tinggi kebarangkalian anda untuk mendapat kanser prostat akibat daripada mutasi.

Apa itu prostat (kanser): Apakah faktor risikonya?

Berikut merupakan faktor risiko yang boleh meningkatkan kebarangkalian anda untuk didiagnosis dengan masalah barah prostat.

  1. Individu yang berusia 50 tahun dan keatas.
  2. Berketurunan Afrika Amerika
  3. Sejarah kanser prostat dalam keluarga.
  4. Pernah didiagnosis dengan masalah kanser atau mempunyai sejarah yang dikaitkan dengan mutasi gen seperti BRCA1 atau BRCA2.
  5. Pengambilan produk tenusu

Faktor risiko yang tidak mempunyai kaitan yang jelas dengan risiko kanser prostat:

  1. Pengambilan produk tenusu dan kalsium secara berlebihan.
  2. Masalah berat badan.
  3. Tabiat merokok.
  4. Faktor pekerjaan dan tahap pendedahan terhadap bahan kimia.
  5. Proses radang pada kelenjar prostat (prostatitis).
  6. Jangkitan kelamin seperti gonorhea atau chlamydia.
  7. Vasektomi.

Langkah pencegahan kanser prostat

Selepas mengetahui apa itu prostat, kita perlulah tahu apakah langkah pencegahan kanser prostat.

Walaupun punca berlakunya kanser prostat masih lagi tidak jelas, beberapa langkah boleh diambil bagi memastikan risiko kanser berada pada tahap yang rendah.

Perubahan gaya hidup untuk hindar kanser prostat

kanser prostat

Walaupun faktor masalah berat badan berlebihan dan obesiti masih tidak mempunyai kaitan yang jelas dengan kanser prostat, namun kawalan pada gaya hidup boleh membantu menurunkan risiko barah.

Sebagai contoh, walaupun bukan semua saintis bersetuju, namun hasil beberapa kajian telah menunjukkan kaitan yang kuat di antara barah prostat dan pengambilan produk tenusu dan kalsium.

Nasihat terbaik untuk merendahkan risiko adalah seperti berikut:

  1. Kekalkan berat pada paras normal berpandukan kepada jisim berat badan (BMI).
  2. Pastikan anda melakukan aktiviti fizikal secara kerap.
  3. Amalkan gaya pemakanan yang sihat. Ambil makanan berserat dan kurangkan pengambilan makanan yang mengandungi gula yang tinggi, daging merah dan makanan berproses.
  4. Elakkan daripada mengambil suplemen yang mengandungi kalsium melainkan jika diarahkan oleh doktor.
  5. Jika anda keliru atau tidak memahami apa itu prostat (kanser), cari maklumat daripada sumber yang boleh dipercayai. Tahap pemahaman tentang apa itu prostat boleh mempengaruhi kecenderungan anda untuk mengamalkan langkah pencegahan.

Bila anda perlu berjumpa dengan doktor?

Apa itu prostat

Oleh sebab simptom kanser prostat lebih tertumpu kepada masalah kencing, lebih mudah untuk pesakit kenal pasti apa itu prostat (kanser).

Walaupun gejala yang dialami hanya bersifat ringan, tapi pemeriksaan doktor boleh membantu mengesan kanser pada peringkat awal.

Institut Kanser Amerika Syarikat menyarankan lelaki yang berusia di antara 30 hingga 40 tahun perlu berjumpa doktor jika mengalami simptom kanser prostat.

Jika bukan barah sekalipun, gejala tersebut boleh berlaku disebabkan oleh masalah prostat bukan kanser terutamanya bagi anda yang berusia 50 tahun ke atas.

Ini kerana, jika ayah atau abang anda didiagnosis dengan barah prostat, risiko anda untuk mendapat kanser adalah tiga kali ganda berbanding dengan populasi normal. Kami berharap agar artikel mengenai apa itu prostat (kanser) dapat membantu anda. 

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Prostate cancer. (https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/prostate-cancer/symptoms-causes/syc-20353087). Diakses pada 14 Ogos 2020.
  2. About Prostate Cancer. (https://www.cancer.org/cancer/prostate-cancer/about.html). Diakses pada 14 Ogos 2020.
  3. Understanding Prostate Changes: A Health Guide for Men. (https://www.cancer.gov/types/prostate/understanding-prostate-changes). Diakses pada 14 Ogos 2020.
  4. Small Cell Carcinoma of the Prostate: A Case Report and Brief Review of the Literature. (https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC5408139/#:~:text=Pure%20Small%20Cell-,Introduction,far%20more%20common%20prostatic%20adenocarcinomas.). Diakses pada 14 Ogos 2020.
  5. Neuroendocrine carcinoma of the prostate gland. (https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC4677861/#:~:text=Small%20cell%20prostate%20carcinoma%20(SCPC)%20is%20a%20rare%20form%20of,and%20portends%20a%20poor%20prognosis.). Diakses pada 14 Ogos 2020.
  6. Primary urothelial carcinoma of the prostate. (https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC6370032/). Diakses pada 14 Ogos 2020.
  7. Adult Prostate Sarcoma: the Memorial Sloan Kettering Experience. (https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC4678959/). Diakses pada 14 Ogos 2020.
  8. Squamous Cell Carcinoma of the Prostate. (https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC3151589/#:~:text=Main%20Points-,Squamous%20cell%20carcinoma%20of%20the%20prostate%20is%20a%20rare%20tumor,survival%20of%20approximately%2014%20months.). Diakses pada 14 Ogos 2020.
  9. What Causes Prostate Cancer? (https://www.cancer.org/cancer/prostate-cancer/causes-risks-prevention/what-causes.html). Diakses pada 14 Ogos 2020.
  10. Prostate Cancer Risk Factors. (https://www.cancer.org/cancer/prostate-cancer/causes-risks-prevention/risk-factors.html). Diakses pada 14 Ogos 2020.
  11. Can Prostate Cancer Be Prevented? (https://www.cancer.org/cancer/prostate-cancer/causes-risks-prevention/prevention.html). Diakses pada 14 Ogos 2020.
  12. Living as a Prostate Cancer Survivor. (https://www.cancer.org/cancer/prostate-cancer/after-treatment/follow-up.html). Diakses pada 14 Ogos 2020.

Versi Terbaru

13/02/2023

Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Diperbaharui oleh: Fatin Zahra


Artikel Berkaitan

Pesakit Kanser Prostat Perlu Buat Rawatan Awal, Usah Bimbang Anda Masih Berpotensi Untuk Sembuh

Mengalami Masalah Kencing Yang Teruk? Hati-Hati Ia Mungkin Simptom Kanser Prostat


Disemak secara perubatan oleh

Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 13/02/2023

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan