backup og meta

Kalau BMI Anda Lebih 35, Itu Tanda Obesiti Morbid, Ada Risiko Dapat 9 Jenis Penyakit Ini!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 08/11/2021

    Kalau BMI Anda Lebih 35, Itu Tanda Obesiti Morbid, Ada Risiko Dapat 9 Jenis Penyakit Ini!

    Terdapat pelbagai penyebab kegemukan yang boleh membuatkan seseorang itu mengalami keadaan badan gemuk yang teruk. Kegemukan yang teruk ini juga lebih dikenali dengan nama obesiti morbid.

    Ini maklumat yang anda kena tahu berkenaan obesiti morbid. 

    Apakah itu obesiti morbid?

    Obesiti morbid ialah keadaan di mana seseorang itu mempunyai nilai BMI lebih daripada 35.

    Untuk pengetahuan anda, BMI ialah satu ukuran atau skala yang digunakan untuk menganggarkan kandungan lemak tubuh.

    Ia membantu menentukan sama ada anda memiliki berat badan yang sihat mengikut saiz badan anda.

    Obesiti morbid ini ialah satu keadaan kesihatan yang serius yang boleh mengganggu fungsi fizikal asas tubuh manusia seperti bernafas atau berjalan.

    Mereka yang mengalami masalah ini berisiko lebih tinggi untuk mendapat penyakit kronik seperti diabetes, tekanan darah tinggi, apnea tidur, penyakit refluks gastroesophageal (GERD), penyakit hempedu, osteoartritis, penyakit jantung, dan juga kanser.

    Ini punca yang menyebabkan obesiti morbid

    obesiti morbid

    Jika anda tertanya-tanya, apakah punca atau penyebab kegemukan yang menyebabkan obesiti morbid, ini yang anda kena tahu.

    Semasa anda makan, tubuh badan anda akan menggunakan kalori yang anda makan untuk menjalankan fungsi badan anda.

    Walaupun dalam keadaan rehat, tubuh memerlukan kalori untuk mengepam jantung anda atau mencerna makanan.

    Sekiranya kalori tersebut tidak digunakan, tubuh akan menyimpannya dalam bentuk lemak.

    Tubuh anda akan membina simpanan lemak jika anda terus makan lebih banyak kalori daripada keperluan tubuh badan anda.

    Oleh itu, obesiti morbid boleh dikatakan berpunca daripada simpanan lemak yang terlalu banyak dalam tubuh badan anda.

    Siapakah yang berisiko mendapat obesiti morbid ini?

    Sesiapa sahaja amat berisiko untuk mendapat obesiti morbid sekiranya mereka mengambil jumlah kalori lebih daripada keperluan tubuh mereka.

    Inilah penyebab kegemukan yang paling biasa.

    Ada kajian yang menunjukkan bahawa faktor genetik turut memainkan peranan berkaitan bagaimana tubuh badan kita menyimpan tenaga.

    Selain itu, terdapat juga beberapa faktor tingkah laku yang boleh mempengaruhi obesiti individu seperti tabiat pemakanan dan juga kecergasan tubuh.

    Tabiat pemakanan biasanya sudah dibentuk sejak kita masih kecil dan agak sukar untuk dibetulkan kembali apabila sudah meningkat dewasa.

    Tambahan pula, apabila seseorang sudah dewasa, kita mungkin banyak terlibat dengan jenis pekerjaan yang tidak begitu aktif seperti duduk di meja kerja selama berjam-jam lamanya.

    Kita juga mungkin kekurangan waktu untuk bersenam atau melakukan sebarang aktiviti fizikal.

    Kaedah pengesanan jika anda seorang yang obes

    Bagi menentukan sama ada anda mengalami obesiti atau tidak, doktor akan melakukan pemeriksaan fizikal dan melihat kepada sejarah berat badan anda.

    Selain itu, doktor juga akan bertanya mengenai tabiat pemakanan, tabiat senaman dan juga sejarah perubatan.

    Bagi mendapatkan nilai BMI, doktor akan melakukan pengiraan berat dan ketinggian anda.

    Berikut ialah nilai BMI yang anda perlu tahu:

    • Kurang berat badan: bawah 18.5
    • Normal: 18.5 hingga 24.9
    • Berlebihan berat badan: 25 hingga 29.9
    • Obes: 30 hingga 34.9
    • Obesiti morbid: 35 hingga 39.9

    Namun, pengiraan BMI ini hanya terhad kepada anggaran lemak badan anda sahaja.

    Ada individu seperti atlet sukan yang mungkin menunjukkan nilai BMI obes, namun ia bukanlah disebabkan oleh lemak badan tetapi jisim otot mereka.

    Oleh sebab itu, doktor mungkin memerlukan ujian lain untuk menentukan ukuran lemak badan anda yang sebenar.

    Komplikasi obesiti morbid

    obesiti morbid

    Pelbagai penyebab kegemukan yang menjadikan obesiti morbid berlaku, juga boleh menyebabkan komplikasi kepada kesihatan.

    Jika obesiti ini tidak ditangani dengan sebaiknya, ia boleh menyebabkan beberapa masalah kesihatan yang serius. Antaranya ialah:

    • Penyakit jantung
    • Strok
    • Kencing manis jenis 2
    • Osteoartritis
    • Apnea tidur
    • Batu hempedu
    • Sesetengah jenis kanser
    • Sindrom metabolik
    • Masalah berkaitan organ pembiakan

    Cara untuk mengelakkan masalah obesiti yang teruk

    Bagi mengelakkan risiko mendapat obesiti morbid, semestinya penjagaan pemakanan dan senaman merupakan kunci yang paling penting.

    Mereka yang ingin mengelakkan masalah obesiti ini mestilah mengubah tabiat pemakanan mereka.

    Antara tip yang mesti diikuti adalah dengan mengambil lebih banyak buah-buahan dan juga sayuran.

    Selain itu, anda juga perlu mengawal jumlah makanan anda dengan mengambil saiz hidangan makanan yang lebih kecil. Anda juga perlu mengira jumlah kalori anda setiap hari.

    Selain itu, anda juga perlu mengelakkan pengambilan lemak tepu, lemak trans dan juga gula yang telah diproses.

    Selain daripada perubahan tabiat pemakanan, anda juga perlu mengubah tabiat aktiviti fizikal anda.

    Jika anda mahu menurunkan berat badan, anda perlu lebih aktif dengan melakukan pelbagai jenis senaman dan aktiviti.

    Antara yang boleh anda lakukan adalah dengan bersenam, joging, berenang, berjalan laju dan berbasikal.

    Selain itu, aktiviti harian yang bersifat aktif juga boleh membantu anda. Ini termasuklah berkebun dan mengemas rumah.

    Kesimpulan

    Walaupun anda merupakan seorang individu dengan obesiti morbid, tidak bermakna ia akan kekal dengan anda selama-lamanya.

    Anda boleh mengembalikan berat badan kepada tahap yang normal jika anda konsisten mengubah tabiat pemakanan dan aktiviti harian anda. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 08/11/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan