backup og meta

Mengalami Masalah Kencing Yang Teruk? Hati-Hati Ia Mungkin Simptom Kanser Prostat

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 14/02/2023

    Mengalami Masalah Kencing Yang Teruk? Hati-Hati Ia Mungkin Simptom Kanser Prostat

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kanser Prostat, sila dapatkannya di sini.

    Penghidap kanser prostat boleh mengalami simptom yang kelihatan sama dengan masalah prostat yang lain.

    Keupayaan pesakit untuk mengenal pasti gejala tersebut boleh menggalakkan mereka untuk hadir membuat pemeriksaan di fasiliti kesihatan terdekat.

    Diagnosis dan rawatan yang diberikan pada peringkat awal mempunyai potensi kesembuhan yang tinggi.

    Oleh itu, penting bagi setiap lelaki untuk mengetahui perihal tanda prostat (kanser) agar ia boleh didiagnosis seawal mungkin.

    Simptom lazim

    Kebanyakan tanda prostat (kanser) yang dialami oleh penghidap kanser prostat berkisar dengan perubahan anatomi pada organ tersebut.

    Prostat ini terletak di bawah pundi kencing pada bahagian bawah pelvis.

    Kemudiannya, air kencing di dalam pundi kencing akan keluar melalui tiub uretra menerusi prostat.

    Apabila terdapat perubahan struktur pada organ tersebut akibat kanser, tumbesaran dan proses keradangan yang berlaku boleh mengganggu aliran air kencing sehingga menyebabkan gejala seperti berikut.

    #1 Kerap terkencing, manifestasi tidak spesifik hanya kepada kanser prostat 

    Kekerapan kencing tidak spesifik kepada kanser prostat namun mereka yang menghidap barah tersebut kerap mengalaminya.

    Perkara ini boleh berlaku apabila kanser tersebut menekan atau melemahkan struktur pundi kencing hingga menyebabkan air kencing sukar untuk dikawal.

    Oleh sebab itu, mereka yang mengalaminya akan kerap ke tandas.

    Selain daripada kanser, mereka yang didiagnosis dengan masalah prostat bengkak juga boleh mengalami gejala ini.

    #2 Sukar tahan kencing kerana kanser prostat

    Berbeza dengan kerap kencing, mereka yang sukar tahan kencing perlu bergegas ke bilik air. 

    Oleh sebab kanser prostat boleh merebak sehingga menganggu integriti organ pundi kencing yang terletak berdekatan dengannya, maka simptom ini kerap berlaku kepada penghidap.

    Lebih parah lagi, sekiranya gejala tahan kencing berlaku bersama dengan masalah kerap kencing.

    Seperti gejala kerap kencing, mereka yang mengalami masalah prostat bengkak juga boleh mendapat tanda prostat (kanser) ini.

    #3 Kencing waktu malam (nokturia)

    Bukan semua individu yang bangun untuk kencing pada waktu malam itu mengalami masalah kanser prostat.

    Gejala ini lazim berlaku berikutan proses penuaan, kencing manis dan masalah prostat yang lain (prostat bengkak misalnya).

    Bagi kanser prostat, apa yang menjadi kepentingan adalah perubahan pada corak tabiat kencing.

    Jika sebelum ini anda tidak bangun tidur untuk kencing, namun jika sekarang tabiat tersebut berubah, maka anda perlu berjumpa doktor.

    Begitu juga dengan mereka yang kebiasaannya bangun tidur untuk kencing. Jika kekerapan bangun berubah, pemeriksaan oleh doktor penting untuk melihat sekiranya terdapat masalah kanser prostat.

    #4 Masalah sukar kencing, bukan sahaja dialami oleh penghidap masalah prostat bengkak 

    Seperti simptom kencing pada waktu malam, masalah sukar untuk kencing juga merupakan gejala lazim dialami akibat proses penuaan.

    Ia juga merupakan manifestasi masalah kesihatan prostat yang lain seperti prostat bengkak.

    Terdapat juga individu yang sukar kencing jika mereka dalam keadaan gopoh-gapah.

    Namun, jika tiada apa-apa faktor yang boleh menyebabkan anda mengalami masalah sukar kencing, pastikan anda membuat pemeriksaan kesihatan.

    #5 Pancutan kencing lemah disebabkan masalah pada prostat

    Apabila sel kanser sudah merebak ke otot berdekatan dengan organ prostat, ia boleh menyebabkan simptom pancutan air kencing menjadi lemah.

    Penghidap juga seringkali meluangkan masa yang lama di dalam tandas untuk mengosongkan pundi kencing mereka.

    Tambahan pula, lelehan air kencing boleh berlaku dan pesakit berisiko mengalami masalah tidak puas kencing.

    Namun begitu, tanda prostat (kanser) ini tidak spesifik kepada kanser prostat. Mereka yang mengalami proses penuaan juga lazim mengalami gejala ini.

    Simptom tidak lazim

    Terdapat simptom tidak lazim yang boleh dialami oleh penghidap kanser prostat.

    Oleh sebab kebanyakan gejala kanser prostat bersifat tidak spesifik, jadi sekiranya pesakit menunjukkan simptom berikut, siasatan lanjut wajar dilakukan.

    #1 Darah di dalam air kencing (hematuria)

    Banyak keadaan kesihatan yang boleh menyebabkan masalah darah di dalam air kencing.

    Namun jika anda mempunyai faktor risiko kanser prostat ditambah pula dengan sejarah keluarga terhadap penyakit tersebut, maka ujian saringan wajar dilakukan.

    #2 Darah di dalam air mani

    Oleh sebab kesihatan seksual merupakan topik sensitif, jadi bukan semua individu selesa berkongsi sekiranya terdapat darah di dalam air mani mereka.

    Namun, implikasi kesihatannya boleh mempengaruhi kualiti hidup penghidap.

    Terdapat beberapa punca bagi masalah darah di dalam air mani; salah satu daripadanya adalah kanser.

    Warna air mani mereka yang berkenaan boleh jadi merah atau warna seakan-akan merah jambu.

    #3 Mati pucuk secara tiba-tiba 

    Mati pucuk lazim dialami oleh lelaki, namun jika ia berlaku secara tiba-tiba, puncanya harus disiasat.

    Terdapat pelbagai aspek yang perlu dilihat dalam proses mengesan punca berlakunya mati pucuk.

    Namun begitu, salah satu daripada punca lazim berlakunya masalah tersebut adalah kanser prostat.

    #4 Sakit pada bahagian belakang, pinggul atau tulang rusuk

    Gejala sakit pada bahagian belakang, pinggul atau tulang rusuk boleh berlaku sekiranya kanser prostat sudah merebak ke kawasan tersebut.

    Oleh sebab kebanyakan penghidap kanser tidak mengalami sebarang tanda prostat (kanser) pada peringkat awal, maka gejala tersebut boleh jadi simptom terawal yang dialami oleh penghidap.

    #5 Hilang kawalan pundi kencing

    Terdapat beberapa sebab kenapa masalah hilang kawalan pundi kencing boleh berlaku dalam kalangan penghidap kanser prostat.

    Oleh sebab gejala ini tidak lazim dialami oleh mereka yang menghidap kanser prostat, maka ia boleh berpunca daripada perubahan patologi yang berlaku secara tidak langsung.

    Sebagai contoh, sel kanser boleh merebak ke tulang belakang sehingga menyebabkan saraf tunjang tersepit.

    Perkara ini boleh menyebabkan kawalan terhadap pundi kencing hilang.

    #6 Hilang berat badan tanpa mencuba

    Oleh sebab mereka yang mengalami kanser cenderung untuk hilang selera makan, sekali gus simptom hilang berat badan boleh berlaku.

    Penurunan berat badan dalam pesakit kanser dianggap signifikan apabila mereka hilang 5% berat badan dalam tempoh 6 hingga 12 bulan.

    Simptom lain seperti perubahan tabiat buang air besar dan bengkak pada bahagian kaki dan tangan juga boleh berlaku walaupun jarang.

    Komplikasi

    tanda prostat

    Apabila sel kanser sudah merebak ke organ lain, ia boleh menyebabkan komplikasi yang dimanifestasikan sebagai simptom kanser.

    #1 Sakit pinggul disebabkan oleh kanser prostat

    Apabila kanser prostat sudah menjalar menerusi bahagian pinggul, ia boleh menyebabkan kesakitan kronik.

    #2 Sekatan air kencing

    Oleh sebab kanser prostat boleh menghimpit tiub uretra, ia boleh menyebabkan air kencing tersekat dan tidak boleh keluar.

    Lebih teruk lagi, pada tahap lewat kanser, ketumbuhan yang membesar itu boleh menyekat saluran ureter (saluran yang menyalurkan air kencing dari buah pinggang ke pundi kencing.

    Jika saluran uretra terhalang sepenuhnya, penghidap boleh mengalami keadaan yang dikenali sebagai sekatan air kencing akut.

    Ia merupakan masalah kesihatan yang menyebabkan simptom sakit kesan daripada peningkatan tekanan pundi kencing yang berpunca oleh pengumpulan air kencing.

    Tanpa rawatan, pengaliran air kencing boleh berlaku secara terbalik (ke arah buah pinggang) sehingga menyebabkan jangkitan dan kerosakan buah pinggang.

    #3 Inkontinens (sukar tahan kencing)

    Oleh sebab penghidap kanser prostat berisiko mengalami metastasis (penyebaran kanser) ke tulang belakang, ia boleh menyebabkan masalah sukar tahan kencing seperti yang tersebut di atas.

    Dalam rawatan barah prostat, pembedahan boleh menyebabkan masalah inkontinens sekiranya berlaku kecederaan pada urat saraf tunjang.

    #4 Metastasis sel kanser prostat ke tulang

    Oleh sebab tulang merupakan kawasan metastasis lazim bagi kanser prostat, mereka yang tidak membuat saringan lazim mengalami masalah berkaitan dengan tulang terutamanya pada peringkat lewat kanser.

    Antara masalah yang berpunca daripada penyebaran sel kanser ke tulang adalah:

    1. Sakit tulang: Kesakitan yang dialami berkaitan dengan masalah metastasis lazimnya berlaku pada bahagian belakang, pinggul dan tulang rusuk.
    2. Tulang retak: Apabila sel kanser sudah merebak ke tulang, ia boleh melemahkan struktur tulang menyebabkan ia mudah retak. Mereka yang menghidap masalah ini mudah mengalami keretakan walaupun dengan trauma minimum.
    3. Urat saraf tunjang tersepit: Metastasis pada tulang belakang boleh menyebabkan struktur tersebut rapuh dan urat saraf mudah tersepit. Perkara ini boleh menyebabkan masalah kebas kaki dan hilang kawalan usus serta pundi kencing.
    4. Terlebih kalsium: Oleh sebab metastasis lazim berlaku pada tulang, jumlah kalsium di dalam badan turut meningkat. Penghidap boleh mengalami gejala seperti muntah, kekeliruan dan jika serius, koma.

    Konklusi

    Tiada simptom spesifik yang merujuk kepada diagnosis kanser prostat.

    Jika anda mengalami simptom dan mempunyai faktor risiko kanser prostat, pergi ke fasiliti kesihatan terdekat bagi mendapatkan pemeriksaan kesihatan. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Muhamad Firdaus Rahim

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 14/02/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan