Kanser prostat mempunyai potensi kesembuhan yang tinggi jika rawatan diberikan pada tahap awal. Oleh sebab itu, penting bagi setiap lelaki yang berisiko untuk membuat ujian saringan bagi mengesahkan diagnosis barah. Ini antara cara merawat kanser prostat
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kanser Prostat, sila dapatkannya di sini.
Pengawasan aktif antara cara merawat kanser prostat
Terdapat keadaan di mana seseorang pesakit yang telah disahkan dengan diagnosis kanser prostat tidak mahu menjalani sebarang rawatan.
Dalam situasi tersebut, pengawasan secara aktif boleh dibuat bagi mengetahui perkembangan kanser.
Ujian seperti paras PSA, pemeriksaan rektal digital dan biopsi akan dibuat secara berkala. Jika hasilnya menunjukkan tanda-tanda proses kanser sedang berjalan, rawatan akan diberikan.
Dalam konteks pemarkahan penggredan Gleason, mereka yang disahkan ketumbuhan Gleason 6 sesuai diawasi secara aktif.
Penting untuk anda fahami adalah dengan tidak memberikan rawatan aktif ketika kanser didiagnosis pada tahap awal. Supaya ia tidak meningkatkan risiko untuk mengalami metastasis atau menyebabkan kematian.
Fokus utama adalah kemudaratan yang berisiko lebih tinggi berbanding dengan kebaikan yang bakal dinikmati pesakit sekiranya rawatan aktif diberikan kepada mereka.
Pembedahan
Sekiranya sel kanser hanya ditemui pada kelenjar prostat dan belum merebak ke organ lain, maka selepas pembedahan, pesakit boleh berpotensi untuk sembuh.
Prostatektomi, salah satu cara merawat kanser prostat
Pembuangan prostat wajar dilakukan bagi mengelakkan komplikasi yang bakal dialami pesakit jika kanser makin parah.
Sama ada menggunakan pendekatan klasik (potongan pada abdomen) atau menggunakan kaedah moden (robot), objektifnya adalah untuk membuang sebanyak mungkin bahagian kelenjar terlibat bersama tisu di sekelilingnya.
Bagi hospital yang ada kepakaran dalam bidang pembedahan robotik, ia boleh berikan kelebihan berbanding pendekatan klasik berikutan ia:
- Kurang invasif
- Boleh memberikan penglihatan yang lebih jelas kepada pakar bedah
- Kurang risiko pendarahan
- Masa sembuh yang singkat
Selepas pembedahan selesai, sampel biopsi tisu akan dianalisis bagi memastikan semua sel kanser sudah dibuang.
Perkara ini boleh menjadi rumit bagi kanser prostat memandangkan lapangan pembedahan agak sempit.
Ini bermakna, pakar bedah berisiko untuk memotong menerusi tisu kanser dan bukannya di sekeliling tisu kanser (proses pembuangan lebih efektif).
Sekiranya sel kanser tidak dibuang sepenuhnya, risiko untuk ia tumbuh semula boleh jadi setinggi 50 peratus.
Cara merawat kanser prostat #Reseksi transuretral prostat (TURP)
Berbeza dengan kaedah prostektomi, TURP lebih disarankan kepada pesakit sebagai langkah paliatif untuk rawatan prostat.
Doktor akan menggunakan satu alat yang dikenali sebagai resektoskop dan gegelung elektrik bagi membuang tisu prostat.
Kaedah ini turut disarankan kepada pesakit yang mengalami masalah bengkak prostat (BPH) dengan simptom walaupun rawatan sudah diberikan.
Orkiektomi, buang testis untuk penghidap barah testis
Pembuangan testis atau orkiektomi merupakan kaedah rawatan secara tidak langsung bagi penghidap kanser prostat.
Testis merupakan organ yang menghasilkan kira-kira 95 peratus testosteron badan.
Oleh sebab testosteron merupakan hormon utama yang menggalakkan tumbesaran sel prostat dan sel kanser prostat, pembuangan testis boleh bantu melambatkan perkembangan sel kanser.
Cara merawat kanser prostat #Terapi prostat (radio)
Rawatan menggunakan sinar bertenaga tinggi untuk membunuh sel kanser lazim dilakukan sekiranya:
- Pesakit tidak sesuai menjalani pembedahan
- Sebagai langkah untuk membunuh sel kanser selepas pembedahan dilakukan (terapi adjuvan)
- Rawatan paliatif bagi kanser yang tidak mempunyai potensi kesembuhan.
Terapi radiasi sinar eksternal
Melalui prosedur terapi radiasi, pancaran akan diberikan melalui permukaan luar badan terhadap kelenjar prostat dan tisu berdekatan.
Suatu ketika dahulu, prosedur ini boleh menyebabkan kesan bakar pada organ prostat dan rektum.
Gel khas yang dikenali sebagai spaceOAR sering digunakan bagi memastikan keadaan tersebut dapat dielakkan.
Walau bagaimanapun kini, kaedah pemancaran radiasi adalah lebih baik berbanding dahulu dan penghidap jarang mengalami kesan sampingan terhadap tisu normal di sekeliling organ prostat.
Terapi radiasi sinar dalaman (brachytherapy) salah satu cara merawat kanser prostat
Kaedah ini melibatkan penanaman pelet radioaktif di dalam ketumbuhan prostat.
Terdapat perbezaan dos bergantung kepada tahap kanser yang dialami oleh pesakit dan ia boleh digunakan sebagai terapi kesembuhan.
Bagi meningkatkan keberkesanan rawatan, kadangkala kaedah ini akan diberikan bersama dengan terapi radiasi sinar eksternal untuk mencapai hasil yang lebih memuaskan.
Walau bagaimanapun, bagi penghidap yang mengalami tumbesaran pada saiz kelenjar prostat, brachytherapy tidak sesuai digunakan.
Terapi prostat (hormon)
Terdapat beberapa jenis cara merawat kanser prostat melalui rawatan hormon yang sesuai dilakukan oleh penghidap yang tidak boleh menjalani prosedur rawatan lain.
Antaranya adalah seperti berikut:
- Terapi LH-RH: Penggunaan analog kepada hormon luteinizing boleh menurunkan kadar penghasilan testosteron yang berperanan penting dalam perkembangan kanser prostat.
- Penghalang CYP17: Berbeza dengan terapi LH-RH yang mempengaruhi kadar penghasilan testosteron oleh testis, kaedah ini lebih tertumpu kepada proses penghasilan testosteron oleh kelenjar adrenal. Walaupun berkesan, kaedah ini masih baharu dan ubatnya dalam proses ujian klinikal.
- Terapi anti androgen: Kaedah ini lebih tertumpu kepada reseptor androgen pada permukaan prostat. Apabila hormon testosteron tidak berupaya untuk melekat padanya, ia boleh halang tumbesaran organ prostat.
- Ubat masalah bengkak prostat (BPH): Oleh sebab ubat BPH boleh menghalang penghasilan dihidrotestosteron, ia sering digunakan sebagai langkah pencegahan bagi kanser prostat.
Cara merawat kanser prostat #Rawatan metastasis
Kanser prostat berisiko untuk tersebar ke organ lain termasuklah tulang.
Bagi mereka yang mengalami metastasis, rawatan bagi keadaan tersebut penting untuk:
- Mengurangkan rasa sakit
- Mengelakkan berlakunya komplikasi akibat metastasis tulang seperti keretakan dan himpitan pada saraf tunjang.
Antara pilihan cara merawat kanser prostat yang boleh merawat masalah metastasis adalah:
- Terapi radio
- Penggunaan ubat beradioaktif
- Ubat yang boleh mengubah persekitaran mikro pada struktur tulang
Bagi individu yang mengalami metastasis pada organ lain, rawatan lebih berkonsepkan paliatif dan bergantung kepada tahap simptom yang dialami pesakit.
Terapi prostat (kemo)
Terapi kemo berupaya untuk membunuh sel yang membahagi secara cepat (seperti sel kanser).
Namun, ia juga boleh mempengaruhi sel sihat yang mempunyai keupayaan biologi yang sama.
Bagi penghidap kanser prostat, terapi kemo boleh diberikan sebagai rawatan sokongan kepada kaedah rawatan lain.
Cara merawat kanser prostat #Terapi prostat (imun)
Penggunaan sistem pertahanan badan untuk melawan sel kanser sememangnya popular pada masa sekarang.
Ia boleh membantu pesakit yang mengalami rintangan terhadap terapi hormon dan tidak sesuai menjalani prosedur rawatan yang lain.
Seperti vaksin yang mendorong sistem pertahanan badan untuk melawan bakteria atau virus, terapi imun boleh aktifkan kebolehan sistem imun untuk melawan kanser.
Walau bagaimanapun, risiko kaedah rawatan ini adalah sel bukan kanser berisiko untuk terlibat sama. Namun pantauan perlu dilakukan.
Baca juga: