backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

2

Tanya Doktor
Simpan

Tahukah Anda Tentang Punca Dan Faktor Risiko Kanser Prostat? Cegah Sebelum Terlambat!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 09/11/2021

    Tahukah Anda Tentang Punca Dan Faktor Risiko Kanser Prostat? Cegah Sebelum Terlambat!

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kanser Prostat, sila dapatkannya di sini.

    Terdapat pelbagai jenis faktor dan punca yang boleh menyebabkan berlakunya perubahan barah atau kanser terhadap organ prostat.

    Secara asasnya, proses kanser bermula apabila terdapat perubahan pada maklumat genetik (DNA) yang mengakibatkan sel membesar dan membahagi di luar kawalan.

    Perkara ini boleh tercetus kesan daripada gabungan faktor genetik dan persekitaran.

    Usia

    Semakin meningkat usia seseorang itu, semakin tinggi kecenderungan proses biologi di dalam badan mereka untuk mengalami ralat terutamanya apabila ia berkaitan dengan proses pembaikan DNA.

    Kira-kira 80 peratus individu didiagnosis dengan masalah barah prostat selepas mereka berusia 65 tahun.

    Walaupun secara teorinya, jarang bagi mereka yang berusia 40 tahun ke bawah untuk didiagnosis dengan masalah ini. Namun saban tahun, jumlah mereka yang didiagnosis dalam kumpulan umur tersebut semakin meningkat.

    Faktor persekitaran dan sejarah keluarga merupakan aspek yang perlu diberi perhatian bagi memastikan diagnosis dibuat pada peringkat awal.

    Bangsa

    Lelaki berkulit hitam mempunyai risiko kanser prostat yang tinggi berbanding lelaki daripada bangsa lain untuk didiagnosis pada usia muda.

    Kajian juga menunjukkan kanser prostat yang dihidapi oleh lelaki berkulit hitam adalah lebih agresif, namun punca di sebaliknya masih tidak jelas.

    Geografi

    Insiden berlakunya barah prostat adalah lebih tinggi pada sesetengah lokasi seperti di Amerika Utara, Eropah dan Australia.

    Faktor geografi juga boleh mempengaruhi punca lain seperti bangsa.

    Sebagai contoh, berbanding dengan lelaki Asia yang tinggal di negara Asia, mereka (lelaki Asia) yang menetap di negara Eropah, mempunyai risiko kanser prostat yang lebih tinggi.

    Diet dan gaya hidup

    Pemakanan merupakan satu topik kontroversi apabila ia berkisar tentang masalah kanser prostat.

    Terdapat kajian yang menunjukkan pengambilan produk tenusu, daging merah dan produk makanan lain yang tinggi kalsium boleh meningkatkan risiko kanser.

    Makanan berserat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran pula boleh memberikan perlindungan terhadap peningkatan risiko tersebut.

    Selain daripada meningkatkan risiko penyakit, terdapat juga kajian yang menunjukkan pengambilan produk tenusu boleh meningkatkan risiko kematian akibat kanser prostat sekiranya pesakit telah didiagnosis dengan barah tersebut.

    Faktor lain seperti gaya hidup tidak aktif turut menyumbang kepada proses patologi kanser.

    Obesiti merupakan kesan negatif akibat daripada pengamalan gaya hidup tidak aktif dan ia merupakan salah satu faktor risiko utama kanser prostat agresif.

    Pendedahan terhadap bahan berbahaya semasa bekerja

    Terdapat beberapa bahan yang dikaitkan dengan peningkatan barah prostat:

    1. Kadmium: Jika anda tidak mendapat nutrisi zink yang cukup, anda mempunyai risiko tinggi untuk mengalami kesan buruk akibat daripada pendedahan kadmium.
    2. Racun herba: kajian menunjukkan terdapat kaitan yang kuat di antara pendedahan terhadap racun tumbuh-tumbuhan dengan kanser prostat. Mereka yang terdedah mempunyai risiko sekurang-kurangnya 50 peratus untuk mendapat kanser prostat dan kebiasaannya kanser tersebut lebih agresif dan mudah tersebar ke organ lain.
    3. Baja: Mereka yang menggunakan baja atau terlibat dalam penghasilan baja mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat kanser prostat. Menurut kajian pada 2015, peningkatan pada risiko ini boleh berlaku jika anda mempunyai sejarah keluarga dengan kanser.
    4. Asap: Terdapat pelbagai jenis bahan kimia yang terkandung dalam asap. Perkara ini boleh meningkatkan risiko kanser terutamanya dalam kalangan ahli bomba.

    Kekurangan vitamin D

    Berbeza dengan nutrisi lain, vitamin D boleh dihasilkan oleh badan kita sendiri. Ia penting bagi mengawal paras kalsium dan fosforus di dalam badan.

    Penghasilan vitamin ini melibatkan pendedahan kulit terhadap sinar ultraungu (UV) yang terdapat dalam cahaya matahari.

    Kolesterol yang terdapat pada kulit (7-dehydrocholesterol) akan ditukarkan kepada vitamin D3 sebelum ia dihantar ke organ buah pinggang dan hati untuk ditukarkan kepada vitamin D aktif. 

    Kejayaan kepada proses penghasilan vitamin di dalam badan bergantung kepada jumlah melanin pada kulit dan durasi anda terdedah kepada matahari.

    Walaupun melanin penting untuk melindungi badan dari kesan buruk matahari, namun jumlah yang tinggi akan menyukarkan sinaran UV untuk sampai kepada molekul kolesterol.

    Ini bermakna, mereka yang berkulit gelap perlu duduk di bawah matahari lebih lama berbanding individu cerah untuk penghasilan vitamin D yang sama.

    Apabila anda sering mengalami masalah kurang vitamin D, risiko untuk mendapat kanser prostat lebih tinggi.

    Namun, masalah ini mudah dikesan dan pengambilan suplemen seperti yang diarahkan doktor boleh mengembalikan paras vitamin D normal dalam badan.

    Aktiviti seksual

    Suatu masa dahulu, ahli akademik pernah beranggapan bahawa mereka yang kerap melakukan hubungan seks mempunyai risiko untuk mendapat barah prostat.

    Penerangan di sebalik perkara itu adalah hubungan seks yang kerap meningkatkan risiko penyakit kelamin.

    Penyakit kelamin boleh menyebabkan keradangan prostat maka risiko untuk mendapat kanser turut meningkat.

    Walau bagaimanapun, beberapa kajian berskala besar dan kajian susulan pada 2016 menunjukkan mereka yang kerap mengalami ejakulasi mempunyai risiko rendah untuk mendapat kanser prostat.

    Punca di sebaliknya masih tidak jelas namun saintis beranggapan ia mempunyai konsep yang sama dengan kanser kolorektal.

    Apabila jumlah ejakulasi berkurangan, bahan karsinogen di dalam cecair ejakulasi mengalami kontak yang lama dengan tisu prostat.

    Prostatitis

    Walaupun radang prostat akibat daripada penyakit kelamin sering dikaitkan dengan kanser prostat, namun tiada mikroorganisma spesifik yang mempunyai kaitan dengannya.

    Cara yang paling mudah dan selamat adalah pakai alat perlindungan (kondom) ketika seks jika anda sering bertukar pasangan.

    Masalah prostat lain

    Terdapat juga faktor lain yang boleh meningkatkan risiko kanser. Walau bagaimanapun, segelintir daripadanya tidak mempunyai kaitan yang kuat dengan masalah kesihatan tersebut.

    Antaranya adalah:

    1. Prosedur vasektomi: Terdapat perdebatan hangat tentang peningkatan risiko kanser prostat dalam kalangan individu yang menjalani prosedur vasektomi, namun kajian terbaru menunjukkan ia tidak mempunyai kaitan yang signifikan.
    2. Lemah imun: Mereka yang menghidap penyakit yang melemahkan sistem imun seperti jangkitan HIV/AIDS dan kencing manis mempunyai risiko yang sama dengan populasi lelaki umum. Namun, jika didiagnosis, perkembangan kanser prostat mereka lebih agresif.
    3. Obesiti: Lelaki yang mempunyai berat badan berlebihan tidak mempunyai peningkatan risiko kanser prostat yang ketara, namun proses patologinya adalah lebih agresif.

    Faktor keluarga dan genetik

    Walaupun terdapat kaitan yang kuat di antara mutasi genetik dengan kanser prostat, namun tidak semestinya lelaki yang ada sejarah keluarga akan menunjukkan paten mutasi seperti yang dijangka.

    Dengan kata lain, walaupun tiada mutasi genetik yang dapat dikesan, tapi jika anda ada sejarah keluarga kanser ini, maka pemeriksaan kesihatan adalah sangat penting. 

    Lelaki yang mempunyai ayah, adik-beradik atau anak lelaki yang didiagnosis dengan kanser prostat mempunyai risiko yang lebih tinggi berbanding lelaki yang mempunyai saudara lelaki dengan kanser prostat.

    Sementara itu, lelaki yang mempunyai sejarah keluarga kanser payudara juga mempunyai risiko yang tinggi untuk didiagnosis dengan kanser prostat.

    Mutasi dan sindrom genetik

    Di antara 5 hingga 10 peratus diagnosis barah prostat dibuat pada mereka yang mempunyai mutasi warisan.

    Risiko bagi seseorang itu untuk mendapat kanser ini meningkat apabila tiga saudara lelaki mereka sudah didiagnosis dengan kanser prostat.

    Antara mutasi warisan yang meningkatkan kebarangkalian kanser prostat adalah seperti berikut:

    1. Mutasi gen BRCA: Mutasi bagi kedua-dua gen BRCA1 dan BRCA2 dikaitkan dengan peningkatan risiko kanser prostat. Walau bagaimanapun pertimbangan risiko kanser bergantung kepada situasi klinikal. Contohnya, doktor lebih risau jika anda mempunyai mutasi ini dan terdapat sejarah kanser payudara atau kanser pankreas dalam keluarga, berbanding dengan sejarah saudara lelaki yang didiagnosis dengan kanser prostat pada usia yang lanjut.
    2. Sindrom Lynch: Sindrom ini mempunyai kaitan yang kuat dengan kanser kolorektal. Namun, penghidap juga boleh didiagnosis dengan kanser prostat.
    3. Mutasi RNASEL
    4. Mutasi pada gen HOXB13: Walaupun mutasi ini tidak lazim, ia sering dikaitkan dengan perkembangan kanser prostat pada usia muda.

    Walaupun saintis telah menemui banyak gen yang dikaitkan dengan kanser prostat, namun kaitannya dengan masalah kesihatan tersebut masih mengelirukan.

    Hal ini disebabkan oleh punca kanser prostat biasanya merupakan hasil interaksi faktor genetik dan persekitaran.

    Walau bagaimanapun, gen seperti BRCA mempunyai peranan yang penting dalam mengawal atur fungsi gen penindas tumor. 

    Tanpanya, kerosakan DNA tidak boleh dibaiki dan perkara ini akan menganggu fungsi fisiologi normal badan sehingga terbentuknya sel kanser.

    Konklusi

    Oleh sebab, masalah kanser prostat terbentuk hasil interaksi di antara pelbagai jenis faktor, termasuklah genetik dan persekitaran, maka sukar untuk kita menentukan puncanya.

    Jika anda mempunyai sebarang faktor risiko atau mengalami simptom kanser prostat, pergi ke fasiliti kesihatan untuk pemeriksaan dan nasihat perubatan oleh doktor bertauliah.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 09/11/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan