backup og meta

Sedang Menjalani Rawatan Kanser Kolorektal? Buat 5 Perkara Ini Untuk Kekal Sihat!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 14/10/2021

    Sedang Menjalani Rawatan Kanser Kolorektal? Buat 5 Perkara Ini Untuk Kekal Sihat!

    Bukan mudah untuk menjaga kesihatan diri ketika sedang menjalani rawatan kanser kolorektal. Kadangkala, pesakit lebih berisiko untuk mendapat jangkitan, lebih-lebih lagi jika sedang melakukan rawatan kemoterapi.

    Untuk pengetahuan anda, rawatan untuk kanser kolorektal selalunya ditentukan mengikut tahap kanser.

    Jika kanser belum merebak, pesakit mungkin perlu menjalani pembedahan sebagai salah satu rawatan utama. Selepas itu, rawatan kemoterapi akan dilakukan secara susulan selama 6 bulan.

    Namun, cara rawatan untuk kanser kolon mungkin berbeza mengikut individu.

    Selain tahap kanser, kadar kesihatan serta faktor lain juga memainkan peranan dalam pemilihan rawatan yang sesuai.

    5 cara kekal sihat semasa rawatan kanser kolorektal

    Tidak dinafikan, rawatan kanser merupakan sesuatu yang sukar untuk pesakit. Ia boleh menyebabkan pelbagai kesan sampingan, lebih-lebih lagi jika rawatan tersebut memberikan impak yang negatif terhadap tisu atau organ yang sihat.

    Jika anda mempunyai kanser kolorektal, anda pasti ingin tahu cara yang terbaik untuk kekal sihat semasa menerima rawatan.

    Sebenarnya, ada banyak cara yang boleh dilakukan untuk menjaga kesihatan diri semasa terima rawatan kanser. Antara langkah yang perlu dibuat adalah:

    1. Jaga kebersihan diri ketika rawatan kanser kolorektal

    menjaga kesihatan diri

    Tahukah anda, anda lebih berisiko untuk mengalami jangkitan sekiranya melakukan rawatan kemoterapi?

    Untuk mengelakkan jangkitan ini, anda perlu menjaga kebersihan diri dengan lebih baik.

    Sebagai contoh, basuh tangan dengan kerap. Minta ahli keluarga, sahabat handai dan juga orang yang datang melawat untuk turut sama membasuh tangan.

    Selain itu, berhati-hati ketika memegang sesuatu yang tajam. Jika anda mengalami cedera ringan, basuh kawasan luka dengan berhati-hati dan sapu krim antibiotik.

    Jika anda mengalami tanda-tanda jangkitan, rujuk doktor secepat mungkin. Pastikan anda mendapatkan rawatan yang sepatutnya, lebih-lebih lagi jika anda mulai demam panas.

    2. Menjaga kesihatan diri dengan makan secara sihat

    Pesakit kanser kolorektal perlu mengambil makanan yang kaya dengan buah-buahan, sayur-sayuran dan juga bijirin penuh untuk memastikan badan sentiasa sihat semasa dan selepas rawatan.

    Pengambilan makanan yang sihat amat penting untuk memastikan berat badan pesakit berada dalam lingkungan yang sihat.

    Jika anda ingin mengambil suplemen, berbincanglah dengan doktor terlebih dahulu.

    Buat masa ini, kajian menunjukkan pengambilan suplemen tambahan tidak dapat membantu pesakit kanser hidup dengan lebih lama.

    Malah, ada juga beberapa suplemen yang tidak sesuai dimakan dan hanya akan membawa mudarat.

    3. Cuba bersenam dengan kerap

    menjaga kesihatan diri

    Pesakit kanser kolorektal boleh menjaga kesihatan diri dengan kerap melakukan senaman.

    Walau bagaimanapun, senaman mungkin sesuatu yang sukar untuk dilakukan oleh pesakit kanser, lebih-lebih lagi yang sedang menjalani rawatan.

    Cuba lakukan senaman ringan seperti berjalan kaki di sekitar kawasan perumahan selama 30 minit setiap hari, sekurang-kurangnya 2 kali seminggu.

    Senaman bukan sahaja dapat menyihatkan badan, ia juga dapat membantu pesakit melawan keletihan yang berlaku disebabkan rawatan kanser. Malah, senaman juga boleh menurunkan risiko kanser berulang pada masa hadapan.

    Pesakit kanser kolorektal juga mengakui senaman ringan ini dapat membantu mereka mengawal tekanan perasaan dengan lebih baik. Mereka kurang stres dan lebih gembira usai melakukan senaman.

    4. Jangan merokok untuk elak kanser kolorektal

    Cara yang terbaik untuk pesakit kanser menjaga kesihatan diri adalah dengan meninggalkan amalan merokok.

    Walaupun sukar, berhenti merokok merupakan keputusan yang terbaik untuk kesihatan diri anda. Bagus jika anda berniat untuk berhenti merokok, tetapi jangan mudah berputus asa!

    Secara purata, perokok perlu mencuba sebanyak 6 hingga 7 kali sebelum benar-benar boleh berhenti merokok.

    Selain itu, jauhkan diri daripada orang yang merokok. Asap rokok sekunder juga mempunyai kesan yang sama terhadap kesihatan diri anda.

    5. Jaga kesihatan mental

    menjaga kesihatan diri

    Pesakit kanser kolorektal yang sedang menjalani rawatan kemoterapi perlulah menjaga kesihatan diri dan juga kesihatan mental masing-masing ketika melakukan rawatan.

    Menghidap kanser merupakan satu pengalaman yang menakutkan. Oleh sebab itu, ia merupakan sesuatu yang normal untuk anda rasa sedih, risau, takut dan marah.

    Rawatan kanser juga boleh memberikan kesan yang negatif terhadap emosi pesakit. Kadangkala, anda akan rasa sukar untuk fokus dan mengingat sesuatu perkara.

    Sebagai pesakit, ada beberapa langkah yang boleh dilakukan untuk menjaga kesihatan diri dan kesihatan mental anda:

    1. Kongsi masalah bersama doktor anda. Mereka boleh menawarkan khidmat kesihatan mental kepada anda.
    2. Minta sokongan daripada ahli keluarga, kawan-kawan atau daripada bekas pesakit kanser sendiri.
    3. Luangkan masa bersama ahli keluarga dan rakan-rakan.
    4. Pastikan anda kekal aktif setiap hari. Aktiviti fizikal telah terbukti dapat mengurangkan kadar depresi dalam kalangan pesakit kanser.
    5. Jadi ahli kumpulan sokongan di kawasan anda atau bercakap dengan pakar kesihatan mental.

    Kesimpulan

    Bukan mudah untuk menjaga kesihatan diri tatkala menjalani rawatan kanser.

    Walaupun dikelilingi oleh ahli keluarga dan sahabat handai yang tidak putus-putus memberikan sokongan, perjalanan menentang kanser merupakan satu perjalanan yang sunyi.

    Oleh sebab itu, tidak mustahil pesakit akan rasa keseorangan dan kadangkala mudah berputus asa. Jika ini yang berlaku, pastikan anda bercakap dengan doktor secepat mungkin.

    Masalah mental dalam kalangan pesakit kanser merupakan sesuatu yang serius dan perlu dirawat secepat mungkin.

    Jangan rasa malu atau segan untuk berkongsi apa yang terbuku di dalam hati bersama pakar. Mereka dapat membantu anda.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 14/10/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan