Penyakit ureter

Saluran ureter yang membawa air kencing dari buah pinggang ke pundi kencing boleh tersumbat disebabkan pelbagai perkara.
Jika berlakunya sebarang halangan pada saluran ureter, air kencing boleh mengalir balik ke dalam buah pinggang dan merosakkannya. Ini boleh menyebabkan kesakitan dan meningkatkan risiko untuk mengalami jangkitan.
Malah, sebarang halangan pada saluran ureter boleh menyebabkan kegagalan buah pinggang, sepsis atau kematian.
Saluran ureter tersumbat sebenarnya merupakan masalah yang lazim berlaku. Disebabkan keadaan ini boleh dirawat, komplikasi yang serius jarang berlaku.
Punca halangan pada saluran ureter
Halangan pada saluran ureter banyak berlaku kepada lelaki yang berusia 60 tahun ke atas disebabkan pembesaran prostat. Apabila fungsi ureter jadi terbatas, air kencing tidak dapat mengalir dengan baik dan ini akan menyebabkan pelbagai masalah.
Malah, pembesaran prostat juga boleh menyebabkan air kencing pesakit mengalir kembali ke dalam buah pinggang disebabkan wujudnya halangan.
Banyak perkara yang boleh menyebabkan saluran ureter tersumbat. Antaranya adalah:
- Pembentukan batu karang
- Parut yang berlaku di dalam saluran air kencing akibat kecederaan atau kecacatan dari lahir.
- Tekanan daripada luar.
Simptom masalah ureter
Simptom untuk kondisi ini mungkin berbeza mengikut pesakit. Sebagai contoh, mereka yang menghidap batu karang akan alami sakit perut yang teruk.
Selain itu, perhatikan juga simptom seperti:
- Rasa sakit
- Perubahan jumlah urin yang dihasilkan.
- Kesukaran membuang air kecil.
- Kencing berdarah.
- Jangkitan saluran kencing (UTI) yang berulang.
- Hipertensi.
Rawatan untuk ureter tersumbat
Simptom yang ditunjukkan oleh ureter tersumbat mungkin serupa dengan gejala kondisi lain seperti dehidrasi dan jangkitan saluran kencing.
Rawatan yang diberikan oleh doktor juga mungkin berbeza mengikut punca sebenar halangan yang berlaku.
Tetapi, rawatan lazim akan diberikan dalam bentuk ubat-ubatan seperti alpha-blocker untuk membantu otot pada bahagian postat lebih relaks. Ini termasuklah pemberian ubat untuk mengecutkan prostat.
Jika kondisi ini berlaku disebabkan kehadiran tumor atau kecacatan yang berlaku sejak lahir, doktor akan melakukan pembedahan untuk membuang halangan tersebut.
Selain itu, doktor juga boleh meletakkan sejenis tiub nipis yang fleksibel (stent) ke dalam ureter untuk membuatkan saluran tersebut sentiasa terbuka untuk memudahkan pengaliran urin.
Glomerulonefritis

Glomerulonefritis adalah satu kondisi yang berlaku apabila penapis kecil (glomeruli) pada bahagian buah pinggang rosak atau tercedera. Apabila bahagian ini rosak, sukar untuk badan mengkumuhkan bahan buangan secara normal.
Malah, jika keadaan ini berterusan tanpa sebarang rawatan, buah pinggang mungkin akan berhenti berfungsi sepenuhnya dan mengakibatkan kegagalan buah pinggang.
Walaupun glomerulonefritis yang ringan boleh dirawat secara efektif, namun ada juga beberapa kes yang menunjukkan pesakit mengalami komplikasi jangka panjang.
Punca glomerulonefritis
Sukar untuk menentukan punca sebenar glomerulonefritis. Banyak penyakit dan kondisi yang boleh menyebabkan kecederaan pada glomeruli.
Walaupun begitu, ada juga pesakit yang mengalami glomerulonefritis tanpa menghidap penyakit atau kondisi tersebut. Antara punca glomerulonefritis adalah:
- Tekanan darah tinggi.
- Diabetes.
- Kanser.
- Strep throat (Jangkitan tekak)
- Pengambilan non-steroidal anti-inflammatory drugs (NSAIDs) secara berleluasa.
- Jangkitan virus seperti HIV, hepatitis B dan hepatitis C.
- Penyakit imun seperti lupus, sindrom Goodpasture dan IgA nephropathy.
- Vasculitis
Simptom glomerulonefritis
Simptom glomerulonefritis bergantung sama ada pesakit mempunyai glomerulonefritis akut atau kronik. Antara tanda glomerulonefritis adalah:
- Air kencing berdarah (hematuria) atau berwarna merah jambu/coklat.
- Urin berbuih.
- Hipertensi.
- Bengkak pada kawasan muka, tangan, kaki dan perut (edema).
Jika banyak protein terbocor ke dalam air kencing, pesakit akan mengalami edema atau bengkak pada kawasan kaki. Keadaan ini turut dikenali sebagai sindrom nefrotik.
Ramai pesakit yang menghidap glomerulonefritis turut mempunyai tekanan darah tinggi.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen