Apa Itu Penyakit Saluran Kencing “Ureter”? Ini Tanda, Punca Dan Rawatan Yang Boleh Membantu Anda

Fakta Perubatan Disemak oleh | Oleh

Kemas kini Tarikh 23/01/2021 . 6 minit bacaan
Share now

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Masalah Urologi, sila dapatkannya di sini. 

Salah satu fungsi ureter atau saluran kencing ialah menyalurkan air kencing keluar daripada badan. Otot pada bahagian ureter akan mengetat dan mengendur bagi membantu pengeluaran urin dengan baik.

Namun, saluran yang panjangnya hampir 8 ke 10 inci ini juga boleh diserang penyakit. Tiub ini boleh terluka atau tersumbat dan jika itu berlaku, pesakit berisiko untuk dijangkiti UTI. Bukan itu sahaja, urin yang tersangkut pada ureter juga berpotensi merosakkan buah pinggang.

Sebarang luka atau halangan pada saluran ureter boleh disembuhkan dengan rawatan yang bersesuaian. Walau bagaimanapun, jika tidak dirawat, simptomnya boleh menjadi teruk dalam masa yang singkat.

Sebarang halangan di dalam tiub ureter merupakan masalah kesihatan yang lazim terjadi. Malah, kaum Adam lebih berisiko untuk menghidap penyakit yang berkaitan dengan ureter apabila mereka menginjak ke umur 60 tahun.

Pada waktu ini, lelaki akan mengalami satu kondisi yang dikenali sebagai enlarged prostate atau prostat membesar. Prostat yang membesar boleh menghalang pengaliran urin dan menyebabkan air kencing bertakung pada kawasan pundi kencing.

Penyakit ureter ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, tidak kiralah lelaki atau wanita. Malah, bayi juga boleh diserang penyakit ini. 

Selalunya, punca halangan pada ureter bayi adalah disebabkan kecacatan sejak lahir yang mempengaruhi fungsi saluran kencing mereka.

Simptom penyakit saluran kencing

Fungsi uretra 

Sebarang penyakit yang mempengaruhi saluran ureter mungkin menunjukkan simptom yang berlainan. Tetapi, ada juga pesakit yang tidak menunjukkan sebarang gejala sehingga penyakit tersebut menjadi teruk.

Tanda penyakit pada tiub ureter bergantung kepada tempat berlakunya halangan, sama ada halangan tersebut bersifat separuh atau sepenuhnya.

Antara simptom penyakit ureter adalah:

1. Rasa sakit

Rasa sakit yang teruk pada kawasan bawah tulang rusuk yang boleh menjalar hingga ke kawasan bawah abdomen.

2. Kencing keluar sedikit

Ada banyak penyakit yang boleh menyebabkan anda mengalami pengurangan urin. 

Selain masalah berkaitan dengan ureter seperti batu karang, air kencing yang berkurang boleh juga berlaku akibat dehidrasi, trauma, jangkitan atau pengambilan ubat-ubatan tertentu.

3. Sukar membuang air kecil

Kesukaran membuang air kecil biasanya berlaku jika wujudnya masalah pada kawasan buah pinggang, pundi kencing atau kelenjar prostat bagi lelaki.

Masalah pada tiub ureter, jangkitan saluran kencing, batu karang dan juga masalah prostat merupakan antara pemicu utama masalah untuk membuang air kecil.

Jangan sesekali pandang remeh jika anda alami masalah kencing tidak lawas. Sesiapa sahaja yang mengalami masalah untuk kencing lebih daripada 48 jam perlu berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut. 

4. Darah dalam urin

Darah di dalam air kencing atau hematuria selalunya bukan disebabkan oleh penyakit yang serius. Walau bagaimanapun, kondisi ini perlu diperiksa oleh doktor lebih-lebih lagi jika:

  1. Anda tidak mempunyai simptom lain.
  2. Pertama kali air kencing anda berdarah.
  3. Anda tidak pasti air kencing anda berdarah atau berwarna keruh.

Jika ini yang berlaku, pastikan anda berjumpa doktor dengan kadar yang segera. Doktor akan melakukan diagnosis yang bersesuaian untuk mengetahui punca sebenar hematuria yang anda alami. 

5. Jangkitan saluran kencing yang berulang

Jangkitan saluran kencing atau UTI yang berlaku berkali-kali bukanlah tanda anda tidak menjaga kebersihan diri dengan baik.

Kadangkala, walaupun anda telah melakukan langkah pencegahan yang betul, UTI tetap berlaku. 

Jangkitan disebabkan bakteria E. coli ini boleh berlaku berulang kali disebabkan beberapa perkara. 

Sebagai contoh, wanita lebih berisiko untuk dijangkiti UTI selepas mereka mencecah menopaus disebabkan perubahan fizikal yang berlaku kepada persekitaran vagina.

Untuk pengetahuan anda, ada individu yang lebih berisiko untuk terkena jangkitan UTI yang lebih kerap berbanding orang lain disebabkan kehadiran sesuatu penyakit. Malah, UTI boleh berlaku sebagai salah satu simptom penyakit tersebut.

6. Hipertensi

Penyakit darah tinggi boleh menyebabkan saluran darah mengecut dan menyempit. Akibatnya, salur darah akan jadi lemah dan terluka di seluruh badan, terutamanya pada bahagian sistem urinari. 

Hipertensi amat berkait rapat dengan masalah buah pinggang. Apabila saluran darah di sekitar buah pinggang tidak dapat berfungsi dengan baik, organ ini tidak dapat lagi menapis semua bahan buangan dan cecair berlebihan dari badan.

Sebarang cecair yang berlebihan boleh membebankan buah pinggang dan membuatkan penyakit darah tinggi seseorang jadi semakin teruk. 

Kitaran ini amat berbahaya dan boleh menyebabkan pelbagai penyakit. Akhirnya, pesakit mungkin akan alami kegagalan buah pinggang jika ia dibiarkan melarat tanpa sebarang rawatan. 

Punca penyakit saluran kencing

Ada beberapa penyebab yang membuatkan ureter jadi lebih mudah untuk terhalang. Antaranya adalah:

1. Duplikasi saluran kencing

Ureter merupakan tiub yang membawa urin ke pundi kencing. Ada individu yang mengalami kecacatan ureter sejak lahir. Kecacatan ini menyebabkan mereka mempunyai 2 ureter.

Ureter kedua boleh jadi normal ataupun terbentuk separuh. Jika salah satu ureter tidak dapat berfungsi dengan baik, urin boleh masuk kembali ke dalam buah pinggang dan menyebabkan kerosakan.

2. Abnormaliti pada saluran ureter

Individu yang lahir dengan abnormaliti pada saluran tumor juga berisiko mendapat penyakit saluran ureter pada masa hadapan. Kadangkala, abnormaliti tersebut boleh terjadi pada sambungan di antara ureter dan juga buah pinggang.

Jika ada masalah pada sambungan ini, buah pinggang boleh membengkak dan akhirnya, berhenti berfungsi. Kecacatan ini bukan sahaja boleh berlaku sejak lahir, ia juga boleh terjadi disebabkan trauma atau tumor.

Sama seperti pesakit yang mengalami masalah duplikasi ureter, individu yang alami kecacatan pada tiub ureter juga boleh menyebabkan urin masuk kembali ke dalam buah pinggang.

3. Ureterocele

Ureterocele merupakan sejenis anomali kognital yang banyak berlaku kepada wanita berbanding lelaki. Penghidap ureterocele mempunyai bengkak yang seperti belon pada hujung ureter berdekatan dengan pundi kencing.

Bengkak ini boleh dilihat selepas pesakit melakukan imbasan ultrasound atau menggunakan pemeriksaan kamera. Ureterocele boleh menghalang pengaliran urin dan menyebabkan air kencing termasuk semula ke dalam buah pinggang.

4. Retroperitoneal fibrosis

Kondisi yang jarang berlaku ini terjadi apabila tisu berserat (fibrous tissue) tumbuh pada kawasan belakang abdomen. Fiber ini boleh tumbuh disebabkan kanser atau akibat pengambilan ubat yang digunakan untuk merawat migrain.

Fiber ini akan tumbuh di sekeliling ureter dan menghalang tiub tersebut, lalu menyebabkan urin termasuk kembali ke dalam buah pinggang.

Diagnosis dan rawatan penyakit saluran kencing

Fungsi uretra 

Jika doktor mengesyaki penyakit ureter, beliau mungkin akan mencadangkan beberapa jenis ujian dan imbasan untuk melakukan diagnosis yang bersesuaian.

1. Ujian darah dan urin

Doktor akan ambil sampel darah dan urin untuk menguji sama ada anda mempunyai sebarang jangkitan ataupun kehadiran creatinine yang mungkin menunjukkan buah pinggang tidak dapat berfungsi dengan sempurna.

2. Ultrasound

Imbasan ultrasound pada bahagian di sebalik organ abdomen dapat membantu doktor melihat buah pinggang dan saluran ureter anda dengan lebih baik.

3. Voiding cystourethrogram

Untuk menguji sama ada anda mempunyai masalah pada fungsi buanh pinggang atau kemampuan membuang air, doktor akan masukkan sejenis tiub kecil (kateter) ke dalam uretra. Kemudiannya, doktor akan menyuntik sejenis pewarna ke dalam pundi kencing.

Selepas itu, doktor akan mengambil imbasan X-ray untuk melihat keadaan serta fungsi buah pinggang, ureter, pundi kencing dan uretra sebelum dan selepas untuk melihat keadaan sebenar sistem urinari anda.

4. Renal nuclear scan

Doktor akan menyuntik sejenis pewarna yang mempunyai sedikit amaun radioaktif ke dalam lengan anda. 

Kemudian, sejenis kamera akan digunakan untuk mengesan keradioaktifan bahan tersebut. Prosedur ini akan menghasilkan imej yang boleh digunakan oleh doktor untuk melakukan diagnosis.

5. Cytoscopy

Tiub kecil yang dipasangkan dengan kamera dan lampu akan dimasukkan ke dalam uretra untuk melihat sama ada saluran uretra serta pundi kencing pesakit masih mempunyai fungsi yang baik.

6. Imbasan CT

Imbasan CT dilakukan untuk mengimbas badan pesakit daripada pelbagai sisi. Dengan bantuan teknologi, imbasan ini boleh menghasilkan imej keratan rentas buah pinggang, ureter, uretra dan pundi kencing pesakit dan dapat membantu doktor untuk melihat fungsi organ tersebut.

7. MRI

Imbasan MRI digunakan untuk menghasilakn imej organ dan tisu pada bahagian sistem urinari untuk membantu doktor melakukan diagnosis yang lebih tepat.

Dari segi rawatan pula, tujuan utamanya adalah untuk mengalihkan sebarang halangan pada saluran urinari. Jika tidak boleh, doktor akan melakukan prosedur yang bersesuaian untuk melakukan pembedahan bypass.

8. Prosedur penyaliran

Sebarang halangan pada saluran urinari boleh meletakkan pesakit dalam keadaan sakit yang amat sangat.

Sebuah prosedur boleh dilakukan secara serta merta untuk mengembalikan fungsi serta melegakan kesakitan yang disebabkan oleh saluran ureter atau uretra tersumbat. Antaranya adalah:

  1. Penggunaan ureteral stent– Sejenis tiub yang dimasukkan ke dalam ureter untuk memastikan saluran sentiasa terbuka.
  2. Percutaneous nephrostomy- Tiub akan dimasukkan pada belakang badan untuk mengalirkan air kencing keluar dari buah pinggang.
  3. Penggunaan kateter- Kateter akan dimasukkan melalui uretra untuk menyambung pundi kencing ke sebuah beg pengumpulan yang terletak pada luar badan.

9. Pembedahan untuk membetulkan fungsi uretra

Doktor juga boleh melakukan beberapa prosedur pembedahan yang bersesuaian dengan kondisi pesakit seperti endoscopic surgery, open surgery, laparoscopic surgery atau robot-assisted laparoscopic surgery untuk membetulkan sebarang masalah pada saluran uretra.

Pencegahan penyakit saluran kencing

Fungsi uretra 

Ada beberapa cara yang anda boleh lakukan untuk mencegah penyakit ureter:

1. Minum air dengan mencukupi

Pastikan anda minum air 2 hingga 3 liter sehari. Air manis seperti jus dan sebagainya boleh diminum, namun lebih baik jika anda lebihkan minum air kosong.

2. Kurangkan makanan yang mempunyai oksalat

Untuk mengurangkan pembentukan batu karang, cuba kurangkan pengambilan makanan yang kaya dengan oksalat seperti bayam dan kekacang.

Jumpa doktor jika ada masalah saluran kencing

Pastikan anda berjumpa doktor secepat mungkin jika mengalami sebarang masalah untuk membuang air kecil.

Selain itu, catatkan semua simptom termasuklah ubat-ubatan dan suplemen yang anda ambil sebelum berjumpa doktor.

Doktor mungkin akan melakukan beberapa siri ujian dan bertanyakan beberapa soalan berkaitan dengan kesihatan anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Adakah artikel ini membantu anda?
happy unhappy
Rujukan

Baca juga:

    Artikel lain untuk anda

    jenis penyakit

    Kenali 3 Jenis Lain Penyakit Saluran Kencing: Hematuria, Penyakit Ureter & Glomerulonephritis.

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Fatin Zahra
    Diterbitkan pada 23/01/2021 . 6 minit bacaan
    glomerulonefritis adalah

    3 Jenis Penyakit Lain Berkaitan Saluran Kencing, Jangan Abaikan Simptom Yang Dialami

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Fatin Zahra
    Diterbitkan pada 22/01/2021 . 4 minit bacaan