backup og meta

Kencing Kotor VS UTI VS Pundi Kencing Aktif: Simptom Lebih Kurang Sama, Tapi 3 Benda Ini Bezanya

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 17/01/2023

    Kencing Kotor VS UTI VS Pundi Kencing Aktif: Simptom Lebih Kurang Sama, Tapi 3 Benda Ini Bezanya

    Tahukah anda, 2 daripada 3 wanita pernah mengalami masalah ketika membuang air kencing? Jika anda merupakan salah seorang daripada mereka, pasti anda tertanya-tanya tentang punca sebenar anda susah buang air kecil.

    Selalunya, ada 3 penyebab anda susah buang air kecil. Pertama ialah masalah pundi kencing terlebih aktif. Kedua, ia mungkin berpunca daripada kencing kotor atau jangkitan saluran kencing (UTI).

    Penyebab ketiga pula ialah masalah kencing tak lawas atau inkontinens urin. Walaupun ketiga-tiga penyakit merupakan sesuatu yang berbeza, namun ia berkongsi beberapa simptom yang hampir serupa.

    Oleh sebab itu, bagaimanakah kita hendak membezakan ketiga-tiga jenis penyakit ini?

    Melalui artikel di bawah, kami akan terangkan lebih lanjut mengenai masalah pundi kencing terlebih aktif, kencing tak lawas dan juga kencing kotor.

    Beza simptom kencing tak lawas, kencing kotor dan masalah pundi kencing aktif

    susah buang air

    Walaupun ramai wanita yang mengalami masalah kencing kotor, hanya 16% yang akan mendapat penyakit pundi kencing aktif.

    Masalah kencing tidak lawas pula selalunya dikaitkan dengan usia seseorang. Malah, ia bukanlah sejenis penyakit. Inkontinens urin merupakan satu simptom kepada penyakit yang lebih serius seperti jangkitan saluran kencing.

    Jika anda mempunyai masalah susah buang air kecil, mengetahui simptom kencing tak lawas, kencing kotor dan masalah pundi kencing aktif mungkin dapat membantu.

    Simptom inkontinens urin yang anda perlu tahu ialah:

    1. Sukar mengawal air kencing.
    2. Sering ‘terbocor’ dan tidak sempat ke tandas.

    Untuk jangkitan saluran kencing pula, simptom yang anda perlu lihat ialah:

    1. Sakit ketika buang air kecil.
    2. Terdesak untuk membuang air kecil.
    3. Susah buang air walaupun rasa ingin terkencing.
    4. Air kencing berdarah atau keruh.
    5. Sakit atau kejang perut.

    Masalah pundi kencing terlebih aktif pula dapat dikenal pasti dengan simptom seperti:

    1. Perlu ke tandas dengan kerap.
    2. Rasa terdesak untuk buang air kecil.
    3. Selalu terbocor jika tiba-tiba rasa ingin terkencing.
    4. Kerap bangun malam untuk buang air.

    3 perbezaan utama yang perlu anda perhatikan

    susah buang air

    Walaupun ketiga-tiga kondisi ini hampir serupa, ada 3 perbezaan utama yang menjadi kunci untuk membezakannya:

    1. Masa ia berlaku – Jangkitan saluran kencing selalunya berlaku secara tiba-tiba. Masalah pundi kencing terlebih aktif pula merupakan sejenis penyakit kronik dan akan berlarutan dalam satu jangka masa yang panjang.
    2. Rasa sakit – Tidak seperti jangkitan saluran kencing, masalah pundi kencing terlebih aktif tidak akan menyebabkan rasa sakit.
    3. Darah di dalam urin – Kencing tak lawas dan masalah pundi kencing terlebih aktif tidak akan menyebabkan air kencing berdarah atau menjadi keruh.

    Atasi masalah susah buang air kecil

    susah buang air

    Susah buang air merupakan satu keadaan yang boleh mendatangkan ketidakselesaan kepada sesiapa sahaja.

    Menurut Pakar Urologi, Dr. Joseph Brito, beliau berjumpa dengan ramai pesakit yang mempunyai masalah susah buang air kecil.

    Kadangkala, beliau hanya memberikan nasihat mengenai cara yang betul dan sihat ketika membuang air kecil. Selalunya, pesakit tidak sedar mereka membuang air kecil dengan cara yang salah.

    Kesalahan pertama: Kerap tahan kencing

    Kadangkala, kita terpaksa tahan kencing dalam satu tempoh masa yang lama. Namun, jangan jadikan ia satu kebiasaan!

    Amalan menahan air kencing boleh menyebabkan pundi kencing mengembang secara abnormal. Lama-kelamaan, pesakit akan mulai alami simptom penyakit urinari jika mereka kerap menahan kencing.

    Kesalahan kedua: Tidak kencing sepenuhnya

    Selalunya, masalah ini lazim dalam kalangan lelaki yang berusia dengan penyakit prostat.

    Jika tidak mengosongkan pundi kencing sepenuhnya, mereka akan mengalami masalah kerap kencing dan kencing tidak lawas.

    Oleh sebab itu, ambil masa ketika membuang air kecil. Pastikan pundi kencing betul-betul kosong sebelum bangun untuk meneruskan hari anda.

    Kesalahan ketiga: Terlalu kerap ke tandas

    Nak keluar rumah? Apa kata pergi ke tandas dahulu!

    Walaupun idea ini nampak menarik, namun sebenarnya pergi ke tandas dengan kerap mungkin akan menyebabkan masalah lain.

    Secara tidak sedar, anda mungkin telah ‘melatih’ pundi kencing anda untuk ‘membuang’ walaupun ia masih belum penuh!

    Kesalahan 4: Tak minum air dengan cukup

    Kebanyakan masalah urinari berlaku disebabkan tidak minum air dengan mencukupi.

    Sebagai panduan, pastikan warna urin anda jernih atau sedikit kekuning-kuningan. Jika air kencing anda berwarna kuning gelap, ini merupakan tanda dehidrasi.

    Kesimpulan

    Jika anda mempunyai masalah untuk buang air kecil, ia berkemungkinan berlaku disebabkan penyakit seperti inkontinens urin, jangkitan saluran kencing atau masalah pundi kencing terlalu aktif.

    Selain itu, masalah buang air kecil juga mungkin berpunca daripada tabiat membuang air yang tidak sihat. Oleh sebab itu, cuba betulkan habit anda semasa membuang air dan lihat perbezaannya.

    Jika anda risau mengenai masalah yang anda alami, jangan malu untuk berjumpa doktor untuk sesi konsultasi. Mereka dapat membantu anda untuk mengenal pasti penyakit apakah yang anda alami dan rawatan yang terbaik untuk memulihkannya.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 17/01/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan