backup og meta

Mengapa Saya Sering Dijangkiti UTI? Ketahui Punca & Faktor Risiko Penyakit Saluran Kencing

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 08/03/2023

    Mengapa Saya Sering Dijangkiti UTI? Ketahui Punca & Faktor Risiko Penyakit Saluran Kencing

    Jangkitan saluran kencing merupakan satu kondisi yang berlaku apabila bakteria daripada kulit atau rektum bertindak memasuki uretra dan menyebabkan jangkitan. Ada pelbagai punca kencing kotor wanita yang boleh dikenal pasti dengan mudah. 

    Ada dua jenis jangkitan yang kerap terjadi disebabkan UTI, salah satunya ialah jangkitan pundi kencing atau cystitis. Jangkitan buah pinggang (pyelonephritis) juga merupakan sejenis jangkitan saluran kencing. Walau bagaimanapun, pyelonephritis tidak berlaku sekerap cystitis.

    Selain punca atau penyebab kencing kotor, anda juga perlu tahu faktor risiko untuk menghidap jangkitan saluran kencing. Jika ingin tahu dengan lebih lanjut, mari teruskan pembacaan anda.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Jangkitan Saluran kencing, sila dapatkannya di sini. 

    Punca kencing kotor atau jangkitan saluran urin

    Punca kencing kotor

    Punca kencing kotor lazimnya berlaku pada kawasan pundi kencing dan uretra. Dua jenis penyakit kencing kotor ini mempunyai punca dan penyebab yang tersendiri iaitu:

    1. Jangkitan pada kawasan pundi kencing (cystitis)

    Cystitis merupakan sejenis inflamasi pada kawasan pundi kencing. UTI jenis ini berpunca daripada jangkitan bakteria Escherichia coli (E. coli) yang boleh ditemui di dalam saluran pencernaan (gastrointestinal tract) manusia.

    Selain UTI, cystitis juga boleh berlaku akibat reaksi terhadap beberapa jenis ubat-ubatan, terapi radiasi atau pendedahan terhadap bahan yang boleh menyebabkan iritasi.

    Sebagai contoh, pemakaian produk pembersih wanita atau kateter pada satu tempoh masa yang panjang boleh menyebabkan iritasi pada kawasan pundi kencing.

    Bukan E. coli sahaja yang boleh menjadi punca kencing kotor atau UTI. Bakteria lain juga boleh menyebabkan anda terkena jangkitan saluran kencing. Walau bagaimanapun, bakteria ini bertanggungjawab terhadap kebanyakan jangkitan saluran kencing.

    Untuk pengetahuan anda, hubungan seks juga boleh menyebabkan UTI. Selain itu, ia boleh menjangkiti sesiapa sahaja tanpa mengira betapa aktifnya kehidupan seksual anda.

    Kaum hawa lebih berisiko untuk menghidap cystitis. Salah satu sebabnya ialah wanita mempunyai jarak yang lebih pendek antara uretra ke bahagian anus. Jangkitan saluran urin boleh berlaku jika E. coli daripada usus besar secara tidak sengaja termasuk pada saluran kencing pesakit.

    2. Jangkitan pada kawasan uretra (urethritis)

    Uretra merupakan tiub yang membawa air kencing keluar dari badan. Selalunya, jangkitan yang berlaku pada saluran uretra akan menyebabkan rasa sakit dan pedih ketika membuang air kecil.

    Sama seperti cystitis, urethritis boleh berlaku apabila bakteria daripada anus merebak ke bahagian uretra. Antara bakteria yang boleh menyebabkan jangkitan pada kawasan uretra adalah:

    1. Gonococcus. Bakteria ini merebak secara seksual dan menyebabkan gonorea.
    2. Chlamydia trachomatis. Bakteria ini juga merebak secara seksual dan menyebabkan klamidia.
    3. Bakteria yang terdapat di dalam dan di sekeliling tinja.

    Jangkitan seksual (STI) seperti gonorea dan klamidia selalunya akan merebak ke bahagian pundi kencing sahaja.

    Walau bagaimanapun, jangkitan tersebut boleh mencecah organ reproduktif wanita dan menyebabkan penyakit (pelvic inflammatory disease –PID). 

    Di dalam kalangan lelaki pula, gonorea dan klamidia boleh menyebabkan epididymitis, iaitu sejenis jangkitan pada kawasan epididymis (tiub pada luar testis). PID dan epididymitis boleh menyebabkan kemandulan jika tidak dirawat. 

    Baca juga:

    Faktor risiko jangkitan saluran urin

    Ada banyak faktor risiko yang boleh menyumbang kepada jangkitan saluran kencing antaranya ialah: 

    1. Anatomi wanita punca kencing kotor

    Wanita mempunyai uretra yang lebih pendek berbanding lelaki. Oleh sebab itu, bakteria yang menyebabkan UTI lebih mudah untuk memasuki pundi kencing wanita.

    Di dalam kalangan wanita mengandung pula, perubahan dari segi fisiologi dan anatomi saluran kencing boleh menyebabkan jangkitan saluran urin.

    Oleh sebab itu, ibu mengandung perlulah lebih berhati-hati kerana jangkitan pundi kencing dan buah pinggang boleh mendatangkan bahaya kepada diri dan juga kandungan.

    Malah, jangkitan ini juga boleh meningkatkan risiko kelahiran pramatang dan lebih teruk lagi, kematian pada bayi yang belum lahir.

    2. Jangkitan saluran kencing disebabkan aktiviti seksual

    Punca kencing kotor

    Wanita yang aktif dari segi seksual lebih berisiko untuk menghidap UTI berbanding wanita yang jarang melakukan hubungan seks.

    Bakteria yang menyebabkan UTI boleh masuk lebih dalam ketika wanita melakukan hubungan seks bersama pasangan. Sebagai langkah berjaga-jaga, pastikan anda membuang air kecil setiap kali selepas bersenggama dengan pasangan.

    Selain itu, risiko UTI juga akan meningkat apabila wanita mengadakan hubungan seks bersama pasangan baharu.

    Walau bagaimanapun, bukan seks biasa sahaja yang membuatkan wanita berisiko untuk menghidap UTI tapi seks oral juga mempunyai risiko yang sama. 

    Walaupun semua orang berisiko untuk menghidap UTI melalui hubungan seks, tapi wanita yang pernah mengalami UTI lebih berisiko untuk mengalami jangkitan yang berulang.

    3. Pengambilan beberapa jenis ubat perancang kehamilan

    Penggunaan alat kontraseptif seperti diafragma dan spermicides boleh mengubah persekitaran di sekitar uretra. Disebabkan perubahan ini, bakteria lebih mudah untuk menjangkiti saluran kencing.

    4. Menopaus menyebabkan jangkitan saluran urin

    Setelah mencapai menopaus, hormon estrogen yang dihasilkan oleh wanita akan berkurang secara perlahan-lahan.

    Menopaus akan menyebabkan persekitaran pada saluran kencing untuk mengalami perubahan. Sama seperti wanita yang memakai diafragma dan spermicides, sebarang perubahan pada kawasan uretra akan membuatkan bakteria makin mudah untuk membiak.

    Selain itu, wanita bukan sahaja akan alami masalah jangkitan saluran urin, mereka juga akan mendapat masalah lemah kawalan pundi kencing dan inkontinens urin disebabkan hormon estrogen yang semakin berkurang.

    Sebagai akibatnya, wanita tersebut akan mengalami pembentukan poket-poket kecil di dalam saluran kencing yang menggalakkan pertumbuhan bakteria.

    Selain itu, perubahan pH di dalam saluran kencing juga akan berubah semasa menopaus. Perubahan ini juga akan membuatkan wanita lebih berisiko untuk mengalami jangkitan UTI.

    Selain faktor di atas, ada beberapa lagi faktor lain seperti:

    5. Kecacatan dari segi saluran kencing

    Anda lebih berisiko untuk mendapat UTI jika mengalami sebarang abnormaliti pada saluran kencing.

    Sebagai contoh, bayi yang lahir dengan sebarang abnormaliti akan alami masalah urin yang termasuk kembali ke dalam uretra selepas membuang air. Masalah ini akan membuatkan mereka lebih berisiko untuk mengalami UTI.

    6. Halangan di dalam saluran urin punca kencing kotor

    Kehadiran batu karang atau masalah prostat membengkak juga boleh menyebabkan urin tersangkut di dalam saluran kencing. Apabila saluran urin tersumbat, risiko UTI juga akan semakin bertambah.

    7. Sistem imun yang terganggu

    Individu yang alami penyakit seperti diabetes dan penyakit lain yang boleh mengganggu sistem imun mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghidap UTI.

    8. Punca kencing kotor disebabkan penggunaan kateter

    kateter

    Kateter merupakan sejenis tiub jernih yang dimasukkan ke dalam pundi kencing dengan tujuan untuk memudahkan pesakit yang tidak dapat membuang air kecil secara normal.  

    Ini termasuklah individu yang lumpuh, pernah dihospitalkan atau alami masalah neurologikal yang membuatkan pesakit sukar untuk mengawal air kencing.

    Penggunaan kateter akan meningkatkan risiko dan menjadi punca kencing kotor. Bakteria boleh masuk ke dalam tiub kateter lalu mengakibatkan jangkitan.

    9. Pernah mengalami prosedur melibatkan sistem urinari

    Jika anda pernah mengalami pembedahan atau sebarang ujian yang melibatkan sistem urinari, anda lebih berisiko untuk mengalami masalah jangkitan saluran kencing.

    Cari punca kencing kotor atau jangkitan saluran urin

    Punca kencing kotor

    Kencing kotor atau UTI kadangkala berlaku disebabkan penyakit lain. Apabila punca kencing kotor telah dirawat, selalunya pesakit boleh sembuh. 

    UTI berlaku disebabkan oleh jangkitan bakteria dan boleh dirawat menggunakan antibiotik. Namun, ada individu yang akan merasai kesan sampingan seperti naik ruam. 

    Namun, pastikan anda berhubung dengan doktor secepat mungkin jika mengalami sebarang kesan sampingan akibat pengambilan antibiotik. Jika tidak dirawat, masalah ini boleh membawa maut.

    Walaupun kebanyakan kes atau punca kencing kotor tidak berbahaya, ada juga beberapa kes yang perlukan perhatian pakar.

    Oleh sebab itu, jika anda alami simptom UTI seperti rasa pedih ketika membuang air kecil, kencing berdarah atau sakit pada bahagian bawah abdomen, pastikan berjumpa doktor dengan kadar yang segera.

    Kadangkala, simptom UTI boleh menyerupai penyakit kelamin. Namun, ia akan ditentukan oleh doktor setelah melakukan beberapa jenis ujian.

    Jangan abaikan simptom UTI yang anda alami, lebih-lebih lagi jika mempunyai faktor risiko atau punca kencing kotor seperti yang dinyatakan di atas.

    Langkah terbaik untuk mengelakkan UTI ialah dengan menjaga kebersihan diri. Pastikan anda buang air selepas melakukan hubungan seks, minum air dengan mencukupi dan elakkan penggunaan penyembur atau sebarang bedak pada kawasan kemaluan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 08/03/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan